Cetak PDF

11. Adakah terdapat sumber rujukan berkaitan perbandingan pangkat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Awam berpandukan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 25 Tahun 2009?

Meskipun PDRM dan ATM merupakan sebahagian daripada perkidmatan awam di Malaysia, namun ia merupakan perkhidmatan yang unik kerana ia melibatkan elemen-elemen Arahan dan Kawalan yang lebih ketat dan kompleks berbanding dengan perkhidmatan awam lain. Sehubungan itu, tidak boleh dibuat perbandingan antara perkhidmatan PDRM dan ATM dengan perkhidmatan awam yang lain.


12. Apakah definisi dan tujuan Kelayakan Masuk Pelbagai (KMP) diwujudkan di dalam sesuatu skim perkhidmatan?

KMP membolehkan Pihak Berkuasa Melantik (PBM) membuat pengambilan dari kalangan calon-calon dengan pelbagai bidang atau peringkat kelayakan akademik. Tujuan utama KMP diwujudkan adalah bagi membolehkan perolehan modal insan yang kompeten dan berprestasi tinggi bagi memenuhi keperluan perkhidmatan awam. Kategori KMP adalah seperti berikut:

  • KMP Bidang Akademik atau profesional (cth.: sains, ekonomi, Ahli Penuh Institut Akauntan Malaysia dll.);
  • KMP Peringkat Kelayakan Akademik (cth.: Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dll.).

13. Apakah situasi/keadaan yang membolehkan sesebuah jabatan itu memohon untuk mewujudkan jawatan Khas Untuk Penyandang (KUP)?

Jawatan KUP ialah jawatan yang diwujudkan bagi mengekalkan atau menyesuaikan gred hakiki penyandang apabila berlaku perbezaan dengan hakiki jawatan yang disandarkan. Jawatan yang diwujudkan itu adalah secara KUP dan akan dimansuhkan sebaik sahaja penyandang meninggalkan jawatan tersebut. Situasi/keadaan yang membolehkan jawatan KUP ini dipohon ialah:

  • atas sebab-sebab kepentingan perkhidmatan iaitu:
    • penyandang jawatan tersebut dinaikkan pangkat sedangkan jawatannya tidak dinaik taraf; atau
    • jawatan yang disandang oleh pegawai berkenaan dinaikkan atau diturunkan tarafnya.
  • untuk menampung pegawai-pegawai yang mengisi jawatan-jawatan dalam perkhidmatan jumud; atau
  • berikutan dengan perubahan dalam dasar perkhidmatan Kerajaan hasil dari penguatkuasaan Surat Edaran JPA Bilangan 12 Tahun 2009-Pelaksanaan Kenaikan Pangkat Pegawai Kumpulan Sokongan Yang Telah Berkhidmat 15 Tahun dan Lebih Dalam Skim Perkhidmatan dan Perkhidmatan Semasa.

14. Apakah tujuan menetapkan syarat kelulusan Bahasa Melayu?

Sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia, Bahasa Melayu merupakan medium komunikasi utama di Malaysia. Sehubungan itu, seseorang yang dilantik ke perkhidmatan awam perlu menguasai kemahiran pembacaan, pertuturan dan penulisan dalam Bahasa Melayu supaya beliau boleh berkomunikasi secara berkesan dengan pelanggan. Penentuan tahap dan peringkat kelulusan Bahasa Melayu bagi setiap skim perkhidmatan adalah berdasarkan kepada keperluan perkhidmatan. Tahap kelulusan yang digunapakai adalah sama ada Kepujian atau Lulus manakala peringkat kelulusan adalah sama ada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Namun begitu, bagi skim perkhidmatan yang menetapkan syarat lantikan yang lebih rendah daripada PMR/SRP, syarat Bahasa Melayu yang ditetapkan hanyalah berkebolehan bertutur, membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu dengan memuaskan.


15. Adakah proses pengambilan bagi jawatan-jawatan kritikal sebagai contoh Pegawai Perubatan turut dibekukan mengikut surat edaran JPA.BPO(S) 71/3/4-2 Jld.3(17) bertarikh 20 Mei 2011?

Pihak Berkuasa Melantik (PBM) telah dimaklumkan mengenai isu pengambilan bagi jawatan-jawatan kritikal. Keseluruhan aspek mengenai perkara ini akan dikaji bagi memastikan tidak berlaku kekurangan tenaga sektor awam dalam tempoh pembekuan pengambilan ini. Tempoh pembekuan pengambilan baru ini berkuat kuasa mulai 20 Mei 2011 sehingga 31 Ogos 2011. Selepas tempoh berkenaan, proses pengambilan adalah seperti biasa.


16. Definisi/ Terminologi Kumpulan Perkhidmatan yang sedang berkuat kuasa.

  • Pengurusan Tertinggi : Gred JUSA C – Turus I;
  • Pengurusan dan Profesional : Gred 41 – Gred 54;
  • Kumpulan Sokongan Berkelayakan Diploma/STPM : Gred 27 – Gred 40;
  • Kumpulan Sokongan Berkelayakan SPM : Gred 17 – Gred 26; dan
  • Kumpulan Sokongan Berkelayakan PMR/SRP dan ke bawah: Gred 1 – Gred 16.

17. Encik Mikhail merupakan seorang graduan daripada University of Toledo, Ohio, USA. Beliau memiliki kelayakan akademik Bachelor of Sc. in Chemical Engineering Engine (Process Design). Beliau ingin memohon pekerjaan dalam perkhidmatan awam namun beliau perlu menyemak terlebih dahulu sama ada nilai taraf kelayakan beliau memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh skim perkhidmatan. Apakah saluran yang disediakan oleh JPA untuk semakan pengiktirafan kelayakan akademik bagi maksud pelantikan ke perkhidmatan awam?

Pengiktirafan bagi sesuatu kelayakan akademik boleh disemak melalui laman Portal Unit Pengiktirafan Kelayakan, Bahagian Pembangunan Modal Insan, JPA.


18. Seorang Pembantu Tadbir (Kewangan) Gred W17 memiliki kelayakan diploma dalam bidang Perakaunan. Semasa dilantik, beliau telah diberi penetapan gaji permulaan pada P1T1. Adakah pegawai layak diberi penetapan gaji permulaan lebih tinggi mengikut kelayakan diploma dalam bidang Perakaunan yang dimiliki beliau iaitu pada P1T9?

Skim perkhidmatan Pembantu Tadbir (Kewangan) Gred W17 menetapkan syarat lantikan minimum pada SPM di samping dua kelayakan lebih tinggi iaitu Sijil Perdagangan Malaysia dan Sijil Politeknik dalam bidang pengurusan perniagaan atau penyimpan kira-kira. Sehubungan itu, sekiranya pegawai memiliki kelayakan tersebut maka beliau boleh diberikan gaji permulaan yang lebih tinggi daripada P1T1 sepertimana dinyatakan di dalam skim perkhidmatan tersebut. Walau bagaimanapun, oleh kerana kelayakan diploma bukan merupakan syarat lantikan ke jawatan berkenaan, maka pegawai tidak boleh diberikan gaji permulaan lebih tinggi berdasarkan kelayakan diploma yang dimilikinya. Namun begitu, pegawai boleh memohon untuk mengisi jawatan Penolong Akauntan Gred W27 melalui saluran pegawai sedang berkhidmat atau melalui kaedah Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) dengan menggunakan kelayakan diploma perakaunan beliau kerana skim perkhidmatan Penolong Akauntan memperuntukkan diploma dalam bidang pengajian perdagangan atau pengajian perakaunan sebagai syarat lantikan ke perkhidmatan tersebut.


19. Apakah syarat-syarat yang diperlukan bagi sesebuah jabatan/agensi membuat permohonan penambahan jawatan baru akibat kekurangan pegawai yang kritikal

Sebarang permohonan untuk penambahan jawatan baru bagi sesebuah jabatan/ agensi perlulah mengambil kira arahan semasa Kerajaan dan melalui kaedah penempatan semula (redeployment) atau secara tukar ganti (trade-off) dengan jawatan sedia ada.


20. Adakah pengiklanan kekosongan sesuatu jawatan seperti Pegawai Tadbir Gred N41 yang menetapkan syarat kelayakan masuk ijazah sarjana muda, ijazah sarjana muda Kepujian atau Ijazah Sarjana Muda Undang-undang boleh diletakkan syarat-syarat lantikan khusus/ spesifik seperti kelayakan ijazah sarjana muda Komunikasi?

Iklan kekosongan jawatan perlu menyatakan syarat lantikan sepertimana yang ditetapkan oleh sesuatu skim perkhidmatan yang berkenaan. Oleh kerana skim perkhidmatan Pegawai Tadbir tidak menetapkan syarat lantikan khusus dalam bidang tertentu maka Pihak Berkuasa Melantik tidak boleh menetapkan secara khusus bidang-bidang tertentu di peringkat ijazah sarjana muda di dalam iklan jawatan tersebut. Walau bagaimanapun, tapisan secara pentadbiran boleh dibuat terhadap permohonan yang diterima.


21. Kami merupakan penyandang yang berada di skim perkhidmatan Juruaudio Visual Gred N17. Bolehkah permohonan pelarasan gaji dibuat mengikut kelayakan akademik lebih tinggi yang dimiliki sedangkan jawatan disandang hanya memerlukan kelayakan SPM sahaja?

Skim perkhidmatan Juruaudio Visual merupakan antara 13 skim perkhidmatan yang terlibat dalam pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2011 – Kelayakan Sijil Kemahiran Malaysia Bagi Maksud Pelantikan Ke Perkhidmatan Awam yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2011. Berdasarkan kepada pekelililng perkhidmatan tersebut, penyandang skim perkhidmatan Juruaudio Visual yang memiliki kelayakan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 dan 3 adalah layak diberi pelarasan gaji berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan dalam pekeliling perkhidmatan tersebut.


22. Mohon pihak JPA memberi perhatian dan menilai semula skim-skim perkhidmatan yang masih lagi belum ditambah baik seperti Penyelia Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), berbanding Penyelia Asrama dan Penyelia Jurupakaian yang telah dinaik taraf kepada Kumpulan Sokongan Berkelayakan SPM.

Setiap skim perkhidmatan dalam Perkhidmatan Awam Malaysia sentiasa ditambahbaik dari masa ke semasa selaras dengan keperluan perkhidmatan dan perubahan skop fungsi bidang tugas sesuatu perkhidmatan tersebut. Oleh itu, JPA mengambil perhatian atas permohonan tersebut dan akan mempertimbangkannya sekiranya ada kajian penambahbaikan skim perkhidmatan berkenaan pada masa akan datang.





Pegawai Penyelaras Aduan No. Telefon Emel
Puan Norhidayati binti Mohd Zakaria 03-8885 4193 hidayati.zakaria@jpa.gov.my
Puan Nur Hafizah binti Adam 03-8885 4187 hafizah.adam@jpa.gov.my
Puan Syahirah binti Saad 03-8885 4960 syahirah.saad@jpa.gov.my