Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk kepada surat pembaca dengan nama gelaran "Waris Penjawat Awam", Pahang Darul Makmur bertajuk "Skim Jawatan Statik Perlu Dinilai Semula", "Juruteknik Tiada Peluang Naik Pangkat" dan "Kakitangan Sokongan Ada Ijazah Di Anak Tiri" yang disiarkan di dalam akhbar Berita Harian bertarikh 28 September 2012, 6 November 2012 dan 28 November 2012. Terlebih dahulu Jabatan ini merakamkan penghargaan terima kasih kepada pengadu di atas pandangan dan cadangan yang dikemukakan dalam usaha menambah baik skim perkhidmatan yang berkuat kuasa dalam Perkhidmatan Awam.

Merujuk kepada isu penyandang masih di gred lantikan walaupun telah 20 tahun berkhidmat, sukacita dimaklumkan Kerajaan pada 14 Mei 2009 telah bersetuju supaya Pegawai Kumpulan Pelaksana yang berkhidmat 15 tahun dan lebih, telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan serta masih berada di gred lantikan dalam skim perkhidmatan dan perkhidmatan semasa, boleh dipertimbang untuk kenaikan pangkat sebagaimana yang ditetapkan dalam skim perkhidmatannya secara Khas Untuk Penyandang (KUP) berkuat kuasa mulai 1 Julai 2009. Pegawai yang masih belum menerima faedah daripada urusan tersebut boleh merujuk kepada bahagian sumber manusia jabatan/kementerian masing-masing untuk tindakan sewajarnya.

Merujuk kepada persoalan mengenai perbezaan gred di antara skim perkhidmatan Juruteknik Perancang Bandar dan Desa serta skim perkhidmatan Penolong Pegawai Tanah, perkara ini berlaku disebabkan keperluan perkhidmatan berkenaan serta struktur perkhidmatan yang berbeza. Manakala berhubung isu skim perkhidmatan Pembantu Setiausaha Pejabat/Setiausaha Pejabat (PSP/SP), dimaklumkan kelayakan masuk ke perkhidmatan ini bagi lantikan di Gred N17 adalah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala bagi lantikan di Gred N27 adalah di peringkat diploma. Bagi penyandang yang memiliki kelayakan lebih tinggi seperti ijazah sarjana muda, laluan kemajuan kerjaya ke gred lebih tinggi di bawah Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P & P) telah disediakan di bawah perbekalan Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) ke skim perkhidmatan Pegawai Tadbir Gred N41.

Bagi skim perkhidmatan Juru X-Ray pula, ia merupakan skim perkhidmatan bersepadu yang memperuntuk lantikan di peringkat diploma dan ijazah. Juru X-Ray di Gred U29 atau U32 yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam skim perkhidmatan tersebut boleh memohon kepada Ketua Perkhidmatan untuk dipertimbang bagi kenaikan pangkat ke Gred U42.

Kerajaan sentiasa menggalakkan penjawat awam menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam usaha melahirkan pegawai yang berpengetahuan dan mampu menguasai pelbagai kemahiran serta melaksanakan pelbagai tugas (multi-skilling, multi-tasking). Dalam usaha Kerajaan membentuk perkhidmatan awam yang kejat, pewujudan jawatan baru bagi menampung penyandang Kumpulan Pelaksana dengan kelayakan yang lebih tinggi tidak dapat dilaksanakan kecuali bagi perkhidmatan pendidikan di bawah Program Pensiswazahan Guru (PPG) melalui proses tukar ganti jawatan. Namun demikian, mana-mana penyandang yang memiliki kelayakan lebih tinggi dan berhasrat dilantik ke lain-lain skim perkhidmatan Kumpulan P & P bersesuaian dengan kelayakan yang dimiliki boleh mengemukakan permohonan melalui prosedur yang telah ditetapkan.

JPA memberi perhatian ke atas isu yang dibangkitkan dan kajian ke atas penambahbaikan skim perkhidmatan sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa berdasarkan kepada keperluan perkhidmatan berkenaan. Dalam hal ini, sebarang perubahan sesuatu skim perkhidmatan perlu diperhalusi kesannya kepada lain-lain skim perkhidmatan yang berkaitan dan dibincangkan dengan Ketua Perkhidmatan, pihak yang berkenaan serta tertakluk kepada persetujuan Kerajaan.


Muat Turun Keratan Akhbar: Feedback Statement: "Kakitangan Sokongan Ada Ijazah Di Anak Tiri"

Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
Putrajaya
17 Disember 2012