Khamis, 29 Jun 2017
 
+
 
-
 
:

Pengenalan

Kembara Trnasformasi

Sejajar dengan Agenda Transformasi Negara untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah diberi mandat untuk menerajui transformasi perkhidmatan awam. Ketua Setiausaha Negara semasa berucap di Majlis Perdana Penjawat Awam (MAPPA) ke-13 pada 11 Mac 2013 telah menyatakan paradigma baharu dalam konteks transformasi negara menuntut perkhidmatan awam untuk menjadi lebih fleksibel dan tangkas dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat. Beliau seterusnya mengumumkan transformasi perkhidmatan awam akan diterajui oleh dua agensi pusat iaitu JPA dan Kementerian Kewangan bagi memastikan perkhidmatan awam kekal relevan.  

Kembara transformasi JPA bermula dengan pembangunan Kerangka Transformasi Jabatan Perkhidmatan Awam (KTJPA). KTJPA melalui beberapa proses pemurnian berdasarkan maklum balas yang telah diterima dari sesi-sesi rundingan dan konsultasi dengan pihak berkepentingan sebelum diluluskan oleh mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Gaji dan Perjawatan Sektor Awam (JKK-MPGSA) untuk diperluaskan ke seluruh perkhidmatan awam. KTJPA selanjutnya telah dijenamakan sebagai Kerangka Transformasi Perkhidmatan Awam (KTPA).  

Semasa Ucapan Bajet 2014, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan Kerajaan akan melaksanakan pelan transformasi di setiap kementerian bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam kekal relevan dan memenuhi ekspektasi rakyat. Selanjutnya, mesyuarat KSN bersama Ketua Setiausaha dan Ketua Perkhidmatan pada 4 Februari 2014 telah bersetuju agar setiap kementerian/agensi memulakan inisiatif untuk melaksanakan transformasi bermula dengan pembentangan pelan transformasi masing-masing. JPA seterusnya telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan Lab Transformasi Perkhidmatan Awam (LTPA) dengan semua kementerian bagi memberi panduan ke arah pembangunan pelan transformasi berdasarkan KTPA. 

Dengan mengambil kira keperluan dan persekitaran semasa, KTPA ditunjangi lima teras strategik:

  1. Mendaya upaya bakat;
  2. Merekayasa organisasi;
  3. Merakyatkan penyampaian perkhidmatan;
  4. Merangkum dan sepunya; dan
  5. Membudaya nilai.

 

KTPA

Bagi mencapai matlamat perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi, berintegriti, dinamik dan berjiwa rakyat, empat prinsip dijadikan panduan pelaksanaan transformasi agar perkhidmatan awam kekal relevan iaitu:

  • merangkumi keseluruhan sektor awam;
  • merangkumi keseluruhan agensi;
  • memberikan impak signifikan; dan
  • Merangkum dan sepunya; dan
  • Membudaya nilai.

 

Prinsip Asas

JPA selaku peneraju transformasi perkhidmatan awam telah mengenal pasti sebanyak 123 inisiatif transformasi JPA pada tahun 2014 yang dikenali sebagai TI-100. Inisiatif ini dibangunkan bagi memberi manfaat kepada perkhidmatan awam secara keseluruhannya di samping bertujuan untuk memastikan perkhidmatan awam dapat berperanan dengan lebih cemerlang. Semua usaha transformasi yang dijalankan hendaklah menuju kepada perkhidmatan awam yang siap siaga bagi mendepani cabaran semasa dan masa hadapan serta merealisasikan matlamat transformasi perkhidmatan awam.  

Mutiara Kata

Cetak

icopejpm  icomsc  hrmis  intan  esila  esila  pencen  spa  jpm  Puspanita JPA