Rabu, 18 Januari 2017
 
+
 
-
 
:

Pencapaian Kami

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif. Inisiatif-inisiatif ini merupakan sebahagian daripada perjalanan transformasi penambahbaikan perkhidmatan awam yang menjurus kepada bentuk perkhidmatan yang dapat membantu meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Teras Strategik 1 Transformasi Perkhidmatan Awam menekankan pentingnya usaha bagi meningkatkan kompetensi, prestasi, produktiviti dan daya inovasi penjawat awam. Teras ini merupakan teras utama JPA kerana ia berkaitan dengan pengurusan sumber manusia. Perkara yang dititikberatkan dalam usaha ini antaranya ialah pembangunan, penarikan dan pengekalan bakat serta memupuk daya kepimpinan. Teras ini juga merangkumi penjagaan kebajikan, pengurusan kerjaya dan pengiktirafan. Antara pencapaian di bawah Teras 1 bagi tahun 2013 ialah seperti berikut:

    1. gred perkhidmatan pegawai ATM dan PDRM disetarakan dengan Perkhidmatan Awam Am yang telah dapat dimanfaatkan oleh seramai 233,192 pegawai;
    2. 1.4 juta penjawat awam mendapat faedah kenaikan gaji pada Julai 2013; dan
    3. 182,434 penjawat awam di gaji maksimum telah menikmati faedah tiga tambahan kenaikan gaji tahunan.

Teras Strategik 2 memberi fokus kepada usaha meningkatkan keupayaan dan memberi nafas baharu kepada organisasi. Pengecilan saiz dan penjimatan kos penting bagi mengurangkan kerenah birokrasi dan meningkatkan produktiviti. Usaha ini akan terus dipergiatkan dengan mengoptimumkan sumber sedia ada dan memperluaskan aplikasi pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan sektor awam. Antara pencapaian di bawah Teras 2 bagi tahun 2013 ialah seperti berikut:

    1. pengurangan 507 perjawatan dengan penjimatan kos emolumen sebanyak RM 12.8 juta;
    2. penambahbaikan 81 skim perkhidmatan yang telah dapat dinikmati oleh 613,743 penjawat awam dari segi kenaikan gaji dan kemajuan karier bagi memastikan kadar gaji minimum dan elaun penjawat awam selaras dengan kos sara hidup semasa;
    3. pemansuhan 38,051 perjawatan untuk keseluruhan sektor awam dengan penjimatan emolumen sebanyak RM195 juta setahun melalui kaedah tukar ganti (trade-off), redeployment dan melalui kerjasama strategik ke arah sektor awam yang lebih kejat; dan
    4. 66 agensi telah disusun dan distrukturkan semula bagi membolehkan pendekatan kerja secara matriks.

Teras Strategik 3 bertujuan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam. Bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan responsif, perkhidmatan awam perlu melaksanakan kaedah kerja baharu yang lebih fleksibel, berfokuskan keberhasilan (outcome), memudah cara (facilitate) dan melaksanakan penyampaian perkhidmatan secara lebih kreatif dan berinovatif. Perubahan ini penting memandangkan kehendak pelanggan pada masa sekarang adalah lebih terarah kepada keberhasilan dan mementingkan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan. Pelanggan kini lebih terdidik dan mereka mengehendaki perkhidmatan yang lebih mesra pelanggan (customer oriented). Antara pencapaian di bawah Teras 3 bagi tahun 2013 ialah seperti berikut:

    1. penggunaan kaedah lebih mesra pelanggan (advisory dan hand holding) dalam urusan penstrukturan semula agensi sektor awam yang telah memendekkan proses pertimbangan dan kelulusan permohonan perjawatan daripada 120 hari kepada 30 hari;
    2. pengklasifikasian Pekeliling Perkhidmatan (PP) dan Surat Pekeliling Perkhidmatan (SPP) kepada 50 PP dan 6 SPP mengikut 12 kluster seperti elaun, gaji dan skim perkhidmatan bagi memudah cara urusan penjawat awam; dan
    3. pewujudan talian hotline mengenai pertukaran dan penempatan penjawat awam membolehkan pertanyaan dilayan dengan segera.

Teras Strategik 4 mengangkat kepentingan memperluas jaringan kerja dan kolaborasi strategik. Ini adalah penting bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan memenuhi kehendak dan keperluan pelanggan sejajar dengan prinsip “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Fokus perkhidmatan awam telah berubah kepada peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan seiring dengan matlamat menjadi sebuah negara maju. Kepesatan teknologi, persaingan global yang sengit dan ekspektasi pelanggan yang semakin meningkat memerlukan pengenalan kaedah kerja baharu yang melibatkan pelbagai pihak dalam membuat dasar. Keterangkuman juga harus menumpukan kepada usaha meningkatkan komunikasi dan perhubungan strategik di pelbagai peringkat tempatan dan antarabangsa yang melibatkan semua sektor. Antara pencapaian di bawah Teras 4 bagi tahun 2013 ialah seperti berikut:

    1. peningkatan program turun padang JPA (JPA di mana-mana) termasuk Misi Bantuan kepada mangsa banjir di Pahang dan Terengganu; dan
    2. pewujudan kolaborasi strategik peringkat antarabangsa menerusi 17 program yang melibatkan 12 agensi tempatan/antarabangsa dan 611 peserta dari lebih 15 negara.

Teras Strategik 5 meletakkan keutamaan membudayakan patriotisme, nilai-nilai murni, etos dan integriti bagi melahirkan penjawat awam yang cintakan negara, berbudi pekerti dan beretika tinggi. Penjawat awam yang menegakkan prinsip integriti serta akauntabiliti merupakan peneraju ke arah mencapai sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih cemerlang. Penerapan semangat patriotisme yang tinggi dalam kalangan penjawat awam amat penting bagi memastikan rahsia kerajaan tidak bocor. Antara pencapaian di bawah Teras 5 bagi tahun 2013 ialah seperti berikut:

    1. penubuhan Unit Integriti di 8 buah kementerian;
    2. penyuburan patriotisme melalui aktiviti-aktiviti Kibar Jalur Gemilang, perbarisan Hari Merdeka dan Sambutan Bulan Bahasa; dan
    3. pembangunan empat modul iaitu Patriotisme, Etos, Integriti dan Nilai Murni yang diterapkan dalam kursus-kursus di INTAN.

 

Cetak

icopejpm  icomsc  hrmis  intan  esila  esila  pencen  1mcsrs  spa  jpm