Khamis, 23 Mac 2017
 
+
 
-
 
:

Empat Bahagian Terawal di JPA

Empat bahagian terawal di Jabatan Perkhidmatan Awam adalah Bahagian Perjawatan, Bahagian Perkhidmatan, Dewan Latihan Pegawai-Pegawai Kerajaan serta Bahagian Pentadbiran Am.

 

Bahagian ini terdiri daripada dua cawangan iaitu Cawangan Perjawatan dan Penyeliaan serta Cawangan Skim Perkhidmatan. Secara umumnya bahagian ini menguruskan kawalan ke atas syarat-syarat dan peraturan perkhidmatan pegawai Kerajaan, serta mengendalikan urusan perjawatan bagi Jabatan-jabatan Persekutuan dan Negeri, termasuk jawatan-jawatan yang bersekutu di Sabah dan Sarawak. Aktiviti utama yang dilaksanakan pada masa tersebut ialah pewujudan skim perkhidmatan baru, pemantauan iklan kekosongan jawatan perkhidmatan awam, kajian permohonan kelonggaran syarat skim khususnya berkaitan Peperiksaan Bahasa Melayu, penyediaan kertas kajian perjawatan dan lawatan pemeriksaan anggaran perjawatan di Kementerian, Jabatan Persekutuan dan Negeri.


Bahagian ini terdiri daripada empat cawangan dan fungsi yang dilaksanakan adalah seperti berikut:

  1. Cawangan Kenaikan Pangkat dan Tatatertib bertanggungjawab mewujudkan Lembaga Naik Pangkat serta Lembaga Tatatertib di Kementerian dan Jabatan Persekutuan. Cawangan ini juga bertanggungjawab menyemak dan menyimpan Laporan Sulit Tahunan bagi kira-kira 3,800 pegawai di dalam 50 jenis skim perkhidmatan.

  2. Cawangan Pencen terdiri daripada Unit Pencen serta Unit Balu dan Anak Yatim. Unit Penchen bertanggungjawab menguruskan semua perkara berkaitan pembayaran pencen, ganjaran, elaun kemalangan dan Workmen's Compensation, dasar berkaitan skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta isu dan masalah berkaitan pencen dan imbuhan-imbuhan lain bagi Angkatan Bersenjata. Unit Balu dan Anak Yatim pula bertanggungjawab melaksanakan Skim Pencen Balu dan Anak Yatim bagi Negeri-negeri Malaysia Barat serta menggubal dasar berkaitan Skim Penchen Balu dan Anak Yatim di Malaysia Timur.

  3. Cawangan Perkhidmatan Gunasama bertanggungjawab menguruskan pengambilan, penempatan, pertukaran serta latihan bagi pegawai Perkhidmatan Gunasama pada ketika itu yang merangkumi Perkhidmatan-perkhidmatan Tadbir, Perkhidmatan Pegawai Kerja dan Perkhidmatan Kerani.

  4. Cawangan Lain-lain Perkhidmatan bertindak sebagai penyelaras mengenai dasar, isu dan masalah bagi perkhidmatan yang tidak termasuk di bawah Perkhidmatan Gunasama, khususnya berkaitan peperiksaan dalam perkhidmatan. Cawangan ini juga mengemaskini dan menyelenggara butir-butir perkhidmatan bagi setiap pegawai Kerajaan yang berjumlah kira-kira 300,000 orang ketika itu. Cawangan ini telah digabungkan dengan Pusat Rekod Kerajaan bagi meningkatkan kecekapan proses pengumpulan dan pengemaskinian data pegawai perkhidmatan awam.

Pada 9 Jun 1970, Seksyen Pencen telah dikeluarkan dari Bahagian Perkhidmatan dan digabungkan dengan Seksyen Penchen, Jabatan Audit Negara serta dinaik taraf kepada sebuah bahagian berdasarkan perkembangan skop dan fungsi yang dilaksanakan pada ketika itu. Bahagian baru ini dikenali sebagai Bahagian Penchen dengan 49 perjawatan. Bahagian Perkhidmatan telah disusun semula dari semasa ke semasa dan menyaksikan pertambahan fungsi iaitu pembangunan kerjaya anggota perkhidmatan awam. Justeru itu, namanya berubah kepada Bahagian Perkhidmatan dan Pembangunan Kerjaya. Pada tahun 1996, nama bahagian ini ditukarkan kepada Bahagian Perkhidmatan selaras dengan objektif utamanya iaitu untuk menentukan supaya perkhidmatan awam mempunyai anggota yang cemerlang melalui penggubalan dan pelaksanaan dasar perkhidmatan dan kerjaya yang strategik. Objektif ini adalah kunci untuk menzahirkan pembangunan sumber manusia yang cekap, mantap dan berkesan.


Bagi memperkemaskan sistem pentadbiran, pada September 1959, pihak Kerajaan telah menyewa sebuah bangunan yang terletak di tepi pantai kira-kira lapan batu dari bandar Port Dickson untuk memberikan latihan bagi pegawai-pegawai pentadbirnya. Di awal penubuhannya, institusi ini dikenali sebagai Dewan Latihan Pegawai-pegawai Kerajaan dan diletakkan di bawah pentadbiran Pejabat Perjawatan Persekutuan.
Berkonsepkan pusat latihan berkediaman, Dewan latihan ini dilengkapi dengan 16 buah bilik tidur, lengkap dengan perkakas, bilik mandi dan tandas. Pengetuanya yang pertama ialah B.W.B. Chapman sementara Encik Abdul Majid Bin Mohd Yusoff adalah anak watan yang pertama dilantik menjadi Pengetua Dewan Latihan pada tahun 1962.

Bahagian ini terdiri daripada dua komponen iaitu Bahagian Latihan dan Kerja-arah dan Dewan Latihan Pegawai-pegawai Kerajaan. Secara umumnya Bahagian Latihan dan Kerja-arah melaksanakan perancangan latihan bagi pegawai-pegawai di Jabatan Persekutuan melalui tawaran biasiswa serta kursus di dalam dan luar negara termasuk latihan khas bagi semua Pegawai Pentadbir dalam Perkhidmatan Dalam dan Luar Negeri. Selain itu, Bahagian ini menggubal dasar latihan dan kemajuan kerjaya serta memantau pelaksanaannya melalui Dewan Latihan Pegawai-pegawai Kerajaan dan Jabatan-jabatan Persekutuan. Selari dengan perancangan yang digagaskan, Dewan Latihan Pegawai-pegawai Kerajaan di Port Dickson pula menganjurkan kursus-kursus jangka pendek bagi pegawai perkhidmatan awam. Dewan Latihan ini terus berkembang dan beroperasi dengan nama barunya Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) mulai Jun 1972 dan berpindah premis operasi di Jalan Elmu, Petaling Jaya. Selain INTAN, entity yang dikekalkan di bawah Bahagian Latihan dan Kemajuan Kerjaya pada masa tersebut ialah Sekolah Bahasa Cina dan Pusat Pentadbiran Pembangunan Asia.


Selain fungsi utama yang dijalankan oleh tiga bahagian tersebut, pentadbiran kakitangan, penyelarasan antara bahagian dan kewangan jabatan diuruskan oleh Bahagian Pentadbiran Am.

Pada tahun 1976, Pusat Rekod Kakitangan Kerajaan yang asalnya merupakan sebahagian daripada Bahagian Perkhidmatan, telah dikeluarkan dan diletakkan di bawah pengurusan Bahagian Pentadbiran Am bagi melancarkan urusan operasinya.
Seterusnya Pusat Rekod Kakitangan Kerajaan telah disusun semula sejajar dengan penekanan terhadap perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pada masa tersebut dan ditukar nama kepada Bahagian Teknologi Maklumat.

 

 

 

Cetak

icopejpm  icomsc  hrmis  intan  esila  esila  pencen  spa  jpm