Ahad, 19 November 2017
 
   
 
+
 
-
 
:
     
Carian:
  • Laman Utama
  • Transformasi
  • Inisiatif Transformasi
  • Eksplorasi Transformasi

Program Eksplorasi Transformasi 2014

Pada 8 November 2014 yang lalu, Bahagian Transformasi Sektor Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam (BTSA JPA) dengan kerjasama Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD), INTAN dan Kelab JPA telah menganjurkan Program Eksplorasi Transformasi 2014, yang bermula dari JPA Putrajaya ke INTAN Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Program ini merupakan satu kembara treasure hunt yang berteraskan pengetahuan berkaitan transformasi perkhidmatan awam.

Acara Pelepasan program ini disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia pada jam 8.00 pagi di hadapan Blok C1, JPA, Putrajaya. Program ini telah berjaya menarik minat sebanyak 65 buah pasukan yang terdiri daripada 260 orang peserta yang mewakili pelbagai kementerian/agensi. Di antara penyertaan yang diterima adalah dari bahagian-bahagian yang mewakili JPA dan INTAN, Jabatan Perdana Menteri, Tourism Malaysia, Perbadanan Putrajaya, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Malaysian Palm Oil Board (MPOB), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Penyiaran Malaysia.

Setiap pasukan telah menunjukkan semangat juang yang tinggi. Hujan lebat di awal eksplorasi ini tidak sedikit pun melunturkan semangat dan tekad setiap pasukan yang bertanding untuk  menamatkan eksplorasi.

Sesuatu yang menarik mengenai Eksplorasi Transformasi ini, di samping setiap pasukan perlu menyelesaikan cabaran yang diberikan, mereka juga turut melakukan kerja amal bagi membantu mereka yang memerlukan. Setiap pasukan perlu menyelesaikan cabaran yang memerlukan mereka untuk membeli barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak dan gula. Barangan ini telah diserahkan kepada PPTD untuk program-program kebajikan mereka. Di akhir program Eksplorasi ini, mereka juga perlu melontarkan idea dan pandangan berkaitan transformasi perkhidmatan awam ke dalam sistem Idea Hatch, sebagai melengkapkan Eksplorasi.

Nyata di atas ketekunan, kemahiran menyelesaikan masalah berbentuk anagram dan pengetahuan mengenai transformasi perkhidmatan awam serta semangat berpasukan yang mantap menyaksikan tempat pertama Eksplorasi Transformasi 2014 telah dimenangi oleh pasukan Potong Tang Korner daripada Jabatan Penyiaran Malaysia. Manakala tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh 4 Carat daripada Hospital Selayang dan Cryptic Hunt 2S daripada Kementerian Pengangkutan. Penyampaian hadiah kepada pemenang dan penyerahan sumbangan kepada badan kebajikan telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri Dr. Sharifah Zarah Binti Syed Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan). Program berbentuk riadah ini merupakan salah satu inisiatif ke arah menyebarluaskan agenda transformasi, di samping mengukuhkan semangat kekitaan di kalangan penjawat awam dalam menyokong pelaksanaaan Program Transformasi  Kerajaan.

Eksplorasi Transformasi 2014

Program : EKSPLORASI TRANSFORMASI 2014
Tarikh : 8 November 2014 (Sabtu)
Tempat : Acara Pelepasan di Blok C1, Kompleks C, JPA Putrajaya dan Majlis Penyampaian Hadiah di INTAN Bukit Kiara
Masa : 7.00 pagi – 3.00 petang

Cetak

icopejpm  icomsc  hrmis  intan  esila  esila  pencen  spa  jpm  Puspanita JPA