Maklum Balas Akhbar: “Pesara Bantah Potong Pampasan”

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk kepada surat Bakal Pesara Hampa dalam akhbar Berita Harian bertarikh 3 Mac 2010 bertajuk “Pesara Bantah Potong Pampasan”.

Persaraan pilihan ialah suatu keistimewaan yang boleh dipertimbangkan bagi anggota sektor awam dengan mengambil kira kepentingan jabatan, kepentingan perkhidmatan serta keadaan kewangan negara.

“Pampasan” yang dimaksudkan oleh Bakal Pesara Hampa ialah ganjaran yang hanya akan dibayar 20 peratus atau RM10,000 mengikut mana yang lebih, ketika bersara. Baki selebihnya akan dibayar pada tarikh yang akan ditetapkan oleh Kerajaan, tidak melampaui tarikh anggota mencapai umur bersara wajib mengikut syarat pelantikan atau opsyen umur persaraan wajib. Peraturan ini hanya bagi persaraan pilihan yang berkuatkuasa selepas 1 Februari 2010.

Walau bagaimanapun, surat edaran JPA bertajuk “Penangguhan Bayaran Sebahagian Ganjaran Persaraan Pilihan” pada 25 Januari 2010 dengan jelas menyatakan terdapat kelonggaran atas sebab-sebab seperti:

(a) Rawatan perubatan diperlukan oleh anggota atau ahli keluarganya. (Berasaskan surat akuan bertulis oleh Pegawai Perubatan Kerajaan).

(b) Perbelanjaan pendidikan diperlukan bagi anggota atau ahli keluarga. (Berasaskan surat tawaran pengajian dan surat penerimaan pengajian dari institusi pendidikan).

(c) Anggota memerlukan kewangan bagi mengelakkan diri daripada tindakan kebankrapan. (Berasaskan dokumen berkaitan tindakan undang-undang ke atas anggota).

Sekiranya bakal pesara ada sebab-sebab selain di atas, permohonan pengecualian boleh dipohon daripada Bahagian Pasca Perkhidmatan, JPA dengan mengemukakan bukti bertulis yang menyatakan sebab pengecualian untuk pertimbangan JPA.

Berkenaan potongan pinjaman perumahan pula ianya adalah tertakluk kepada arahan potongan pencen/ganjaran daripada Bahagian Pinjaman Perumahan, Perbendaharaan Malaysia. Rayuan untuk mengurangkan potongan boleh diajukan kepada bahagian yang terbabit.