Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk kepada surat Mentimun, Pokok Sena, Kedah dalam akhbar Berita Harian bertarikh 4 Mac 2010 bertajuk “Peluang Naik Pangkat Polis, Wadar Tak Selaras”.

Kerajaan telah menaik taraf skim perkhidmatan Pegawai Penjara daripada lantikan pada Gred KX11 dengan syarat kelayakan masuk PMR/SRP kepada Gred KX17 dengan kelayakan SPM, melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 23 Tahun 2005 pada 1 Julai 2005. Dengan penambahbaikan skim perkhidmatan ini, Pegawai Penjara telah mendapat faedah kenaikan pangkat ke gred yang lebih tinggi secara tukar lantik dan turut melibatkan kenaikan gaji.

Gaji Pegawai Penjara tidak wajar dibandingkan dengan Pegawai PDRM memandangkan ia adalah dari kelompok perkhidmatan dan klasifikasi perkhidmatan yang berbeza. Jadual Gaji Matriks (JGM) di antara skim-skim perkhidmatan ditetapkan berdasarkan kepada klasifikasi perkhidmatan dan skop fungsi tugas supaya tidak menjejaskan relatif pariti perkhidmatan awam keseluruhannya. Oleh itu, tidak timbul cadangan untuk mewujudkan lapisan gred baru Lans Koperal dalam skim perkhidmatan Pegawai Penjara.

 

Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
25 Mac 2010