Cetak PDF

Meninjau Penempatan & Lokasi Di Mana JPA Beroperasi


Sejarah Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) bermula pada 22 Ogos 1934 melalui penubuhan Malayan Establishment Office (MEO) atau Pejabat Perjawatan Malaya yang beroperasi di City Hall, Singapura. Apabila pentadbiran dipindahkan ke Tanah Melayu pada tahun 1954, Jabatan ini turut dipindahkan ke Kuala Lumpur dan beribu pejabat di Bangunan Persekutuan, Jalan Sultan Hishamuddin. Pertambahan fungsi dan saiz seterusnya memerlukan Jabatan ini berpindah ke lokasi baru di Bangunan UMBC, Jalan Sulaiman seterusnya ke Bangunan Sulaiman, Jalan Damansara sebelum berpindah ke Wisma Bernama, Jalan Tun Razak. Bagi memudahkan pelanggan berurusan, beberapa Bahagian yang menyediakan perkhidmatan kaunter telah ditempatkan di pusat bandaraya Kuala Lumpur seperti Cawangan Perundingan dan Rekod di Wisma PKNS, Jalan Raja Laut, Bahagian Pencen di Bangunan KWSG, Jalan Kampung Attap dan Bahagian Latihan danPembangunan Kerjaya di Bangunan PERKIM, Jalan Raja Laut.

Hanya pada tahun 1993, kesemua bahagian berjaya dikumpulkan di bawah satu bumbung apabila JPA berpindah ke bangunan milik sendiri di Kompleks JPA, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur. Bagi memudahkan pelanggan di Malaysia Timur, pejabat cawangan Bahagian Pasca Perkhidmatan dibuka di Kota Kinabalu, Sabah dan di Kuching, Sarawak. Berikutan dasar Kerajaan memusatkan kesemua pejabat Kerajaan di satu lokasi di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya, maka pada tanggal 15 April 2001, JPA telah berpindah ke Kompleks C, Putrajaya. Cawangan Pengurusan Kompetensi telah ditempatkan di bangunan Sapura@Mines, Seri Kembangan. Berikutan penjenamaan semula JPA pada tahun 2009, tiga Bahagian telah berpindah ke Bangunan MKN – Embassy Techzone, Cyberjaya iaitu Bahagian Pengurusan Maklumat , Bahagian Pengurusan Psikologi, Bahagian Saraan dan Unit Audit Dalam.