1. Apakah yang dimaksudkan dengan pegawai yang bertukar wilayah dan takrifan berasal?

    Mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2001, pegawai yang bertukar wilayah bermaksud pegawai yang berasal dari Sabah atau Sarawak yang berkhidmat di Semenanjung atau pegawai yang berasal dari Semenanjung yang berkhidmat di Sabah atau Sarawak. Manakala Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 29 Tahun 2005 menyatakan bahawa Kerajaan telah bersetuju supaya Labuan ditakrif sebagai wilayah berasingan dari Sabah.

    Takrifan “berasal” pegawai pula adalah merujuk kepada wilayah kelahiran ibu atau bapa pegawai seperti yang dinyatakan melalui Surat Edaran Jabatan ini bil. JPA(S) 63/75/2/(SV61) bertarikh 12 Oktober 2000.

  2. Bolehkah EPW dibayar kepada Pegawai yang bertugas di Sabah sedangkan ianya telah dilahirkan di Sabah dan ibu bapanya juga adalah berasal dari Sabah?

    Tidak. Dalam kedudukan ini, pegawai tidak layak dibayar EPW kerana tidak memenuhi kriteria takrif berasal seperti yang telah dinyatakan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 22 Tahun 2008.

  3. Bagaimanakah kedudukan EPW pegawai yang bertugas di Semenanjung dan dilahirkan di Semenanjung sedangkan bapa pegawai berasal dari Sarawak manakala ibunya berasal dari Semenanjung?

    Dalam keadaan ini, pegawai mestilah mengisytiharkan terlebih dahulu wilayah asalnya dan direkodkan dalam buku perkhidmatan pegawai. Sekiranya ibu bapa pegawai dilahirkan di wilayah yang berbeza, pegawai perlu memilih sama ada wilayah kelahiran ibu atau bapa sebagai wilayah asalnya tertakluk kepada sekali pemilihan dalam tempoh perkhidmatan.

  4. Adakah pegawai layak dibayar EPW sekiranya pegawai mendiami rumah yang telah dibeli oleh pasangannya melalui pinjaman perumahan Kerajaan?

    Ya. Mengikut Surat Edaran Jabatan ini bil. JPA(S) 63/151 Klt. 23 (8) bertarikh 14 Julai 2009, Kerajaan telah bersetuju meminda supaya pegawai yang mendiami rumah yang dibeli oleh pasangan pegawai dengan pinjaman perumahan Kerajaan di dalam stesen pegawai berkhidmat adalah layak diberi EPW.

  5. Adakah EPW dibayar mengikut tarikh pegawai lapor diri di wilayah penempatan atau memohon terlebih dahulu?

    Mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2001 menyatakan bahawa EPW dibayar kepada pegawai mulai dari tarikh pegawai melapor diri di wilayah baru.

  6. Adakah pegawai yang membeli rumah berhampiran dengan pejabat beliau bekerja menggunakan pinjaman swasta layak dibayar EPW?

    Tidak. Perenggan 6.7, PP11/2001 menjelaskan bahawa Pegawai yang telah diberi kemudahan Skim Pinjaman Perumahan Kerajaan adalah tidak layak dibayar EPW. Pegawai yang membeli rumah dengan pinjaman swasta adalah layak dibayar EPW.

  7. Pegawai ingin menukarkan EPW kepada Imbuhan Tetap Perumahan (ITP). Ini kerana pegawai melihat kadar ITP lebih tinggi daripada kadar EPW. Adakah pegawai layak untuk menukar elaun tersebut?

    Tidak. Pegawai yang telah memilih EPW adalah tidak layak menukarkan EPW kepada ITP dalam tempoh pertukaran wilayah yang sama. Walau bagaimanapun, pegawai dibenarkan membuat pemilihan baru sekiranya melibatkan pertukaran wilayah baru kecuali ditukarkan kembali ke wilayah asalnya.

 

Rujukan

  • Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 tahun 2001
  • Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 22 Tahun 2008
  • Surat Edaran JPA(S) 63/151 Klt. 23 (8) bertarikh 14 Julai 2009.
  • Surat Edaran JPA(S) 63/75/2/(SV61) bertarikh 12 Oktober 2000.