1. Seorang Pembantu Setiausaha Pejabat/Setiausaha Pejabat (PSP/SP) yang telah menerima Elaun PA kerana menjadi Pembantu Khas kepada Pegawai yang diluluskan seorang PA telah mengambil Cuti Bersalin. Bolehkah elaun tersebut dibayar dalam tempoh beliau cuti bersalin tersebut?

    Tidak. Berdasarkan peraturan semasa, seorang PSP/SP yang menerima Elaun Pembantu Khas dan sedang dalam Cuti Bersalin akan dihentikan pembayaran elaun tersebut bagi tempoh Cuti Bersalin pegawai berkenaan. Walau bagaimanapun, pembayaran elaun tersebut akan disambung semula sebaik sahaja pegawai kembali menjalankan tugas sebagai Pembantu Khas kepada pegawai yang diperuntukkan Pembantu Khas berkenaan.

  2. Seorang PSP/SP telah diminta oleh Ketua Jabatannya untuk menjadi PA sementara kepada seorang Ketua Jabatan kerana PA beliau yang sedia ada telah Cuti bersalin. Dalam keadaan ini bolehkah PSP/SP tersebut dibayar Elaun PA sepanjang tempoh beliau menjadi PA ganti tersebut.

    Ya. PSP/SP yang diarahkan oleh Ketua Jabatan untuk menjadi PA Sementara kepada pegawai yang diperuntukkan Pembantu Khas kerana PA sedia ada sedang bercuti bersalin layak diberikan Elaun Pembantu Khas bagi tempoh PSP/SP berkenaan menjalankan tugas sebagai Pembantu Khas.

  3. Seorang PSP/SP Gred N17 telah ditempatkan oleh Ketua Jabatannya menjadi Pembantu Khas kepada seorang Pegawai yang berada di Gred Utama C. Dalam keadaan ini berapakah kadar yang boleh dibayar kepada PSP/SP Gred N17 tersebut? Adakah mengikut kadar RM75.00 ataupun RM100.00 iaitu mengikut kadar jawatan Gred N22?

    PSP/SP Gred N17 yang telah ditempatkan untuk menjadi Pembantu Khas kepada pegawai di Gred Utama C layak diberikan Elaun Pembantu Khas sebanyak RM150.00 sebulan. Ini kerana, pemberian Elaun Pembantu Khas adalah berdasarkan gred pegawai yang diperuntukkan Pembantu Khas dan bukannya gred PSP/SP yang menjadi Pembantu Khas tersebut. Walau bagaimanapun, pembayaran elaun tersebut  adalah tertakluk kepada kelulusan daripada Jabatan ini terlebih dahulu.

  4. Seorang PSP/SP Gred N17 telah diletakkan secara pentadbiran oleh Jabatannya menjadi Pembantu Khas kepada seorang pegawai yang berada di Gred M48. Beliau telah memohon untuk dibayar elaun PA. Dalam keadaan ini bolehkah Jabatannya membayar elaun tersebut kepada beliau?

    Tidak. PSP/SP yang diletakkan secara pentadbiran menjadi Pembantu Khas kepada pegawai di Gred M48 tidak layak dibayar Elaun Pembantu Khas. Ini kerana, elaun hanya layak dibayar jika terdapat perjawatan PSP/SP yang diberi kepada pegawai Gred M48.

  5. Seorang Ketua Jabatan yang telah diluluskan seorang Pembantu Khas telah bertukar ke jabatan lain kerana kenaikan pangkat. Setelah beberapa bulan jawatan yang ditinggalkannya masih juga belum ada pengganti atau masih belum diiisi. Dalam keadaan ini bagaimanakah kedudukan Elaun Pembantu Khas yang diterima oleh PSP/SP yang menjadi PA pegawai tersebut?

    Sekiranya PSP/SP tersebut masih menjalankan tugas-tugas sebagai Pembantu Khas kepada pegawai yang menanggung tugas Pegawai Penyelia yang telah bertukar, PSP/SP tersebut layak dibayar Elaun Pembantu Khas mengikut kadar sebagaimana dinyatakan di dalam PP1/2010

  6. Seorang PSP/SP Gred N17 telah ditempatkan bertugas di  Pejabat seorang Timbalan Menteri dan bertugas secara terus dengan Timbalan Menteri tersebut dalam segala hal ehwal pentadbiran di Pejabat Timbalan Menteri tersebut. Beliau telah memohon untuk dibayar Elaun Pembantu Khas. Dalam keadaan ini bolehkah beliau menerima elaun tersebut?

    Tidak. Pembantu Khas kepada seorang Timbalan Menteri adalah Setiausaha Sulit. PSP/SP yang ditempatkan di pejabat Timbalan Menteri tidak dikhaskan kepada mana-mana pegawai dan tidak bertanggungjawab melaksanakan tugas sebagai Pembantu Khas kepada mana-mana pegawai. Oleh itu, PSP/SP tersebut  tidak layak dibayar Elaun Pembantu Khas. Memandangkan penempatan PSP/SP berkenaan juga adalah secara pentadbiran di pejabat Timbalan Menteri tersebut, tiada Elaun Pembantu Khas layak dibayar kepada beliau.

    Pejabat Sumber Manusia kementerian dinasihatkan mematuhi peruntukan dan peraturan yang ditetapkan di dalam pekeliling-pekeliling berkaitan penempatan Pembantu Khas (PP27/2009 dan PP1/2010) bagi mengelakkan sebarang kekeliruan di kalangan pegawai dan kakitangan.

 

Rujukan

  • Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1 Tahun 2010