Cetak PDF

  1. Bilakah tarikh yang sebenar diambilkira bagi Bayaran Insentif Tugas Kewangan dari RM40.00 kepada RM80.00 selepas seseorang pegawai itu lulus peperiksaan?
    Adakah ianya diambilkira dari tarikh peperiksaan diadakan atau mengikut tarikh keputusan peperiksaan dikeluarkan?

    Mengikut peraturan yang sedang berkuatkuasa, seseorang pegawai yang telah lulus peperiksaan Bayaran Insentif Tugas Kewangan, kenaikan kadar bayaran tersebut dari RM40.00 ke RM80.00 adalah diambilkira pada bulan berikutnya selepas keputusan peperiksaan tersebut dikeluarkan.
    Sebagai contoh, sekiranya keputusan tersebut dikeluarkan pada 3 Januari ataupun 28 Januari 2006, maka kenaikan kadar Bayaran Insentif Tugas Kewangan akan dikira mulai 1 Februari 2006.

  2. Apakah yang dimaksudkan dengan "Menjalankan tugas kewangan sepenuh masa"?

    Maksud menjalankan tugas kewangan sepenuh masa ialah keseluruhan tugas harian pegawai berkenaan adalah merupakan tugas kewangan semata-mata seperti yang dinyatakan di lampiran A Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 1999 atau tugas-tugas seperti yang dinyatakan melalui Surat Pekeliling Jabatan Akauntan Negara Bilangan 2 Tahun 1999. Sekiranya tugas kewangan hanya merupakan salah satu daripada bidang tugas harian pegawai berkenaan maka ini tidaklah boleh ditakrifkan sebagai menjalankan tugas kewangan sepenuh masa dan pegawai berkenaan tidak layak dibayar Bayaran Insentif Tugas Kewangan.

  3. Seorang pegawai yang telah diluluskan Bayaran Insentif Tugas Kewangan telah mengambil Cuti Bersalin selama 60 hari. Bagaimanakah kedudukan Bayaran Insentif Tugas Kewangan yang diterimanya?

    Mengikut perkara 9, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 1999, seseorang pegawai yang menerima Bayaran Insentif Tugas Kewangan tetapi telah meninggalkan tugasnya selama 28 hari atau lebih secara berturut-turut, bayaran tersebut hendaklah dihentikan dalam tempoh berkenaan. Walau bagaimanapun, pengecualian adalah diberikan bagi pegawai yang meninggalkan tugas bagi tempoh tidak melebihi 92 hari berturut-turut termasuk cuti mingguan dan hari kelepasan am dalam keadaan berikut:

    • Menghadiri kursus yang diarahkan oleh Ketua Jabatan;
    • Menjalankan tugas rasmi atas arahan Ketua Jabatan; dan
    • Bercuti sakit yang disokong oleh Sijil Sakit mengikut Perintah Am Bab 'C'.
    Dalam hal yang dibangkitkan, Bayaran Insentif Tugas Kewangan hendaklah dihentikan kerana Cuti Bersalin bukan dianggap sebagai cuti sakit tetapi Cuti Pemulihan.
  4. Bayaran Insentif Tugas Kewangan adalah dibayar kepada PT (P/O), PT (K) dan Pembantu Akauntan atas kadar RM40.00 sebulan kepada pegawai yang tidak mempunyai sijil dan RM80.00 sebulan kepada mereka yang mempunyai sijil. Di Jabatan ini terdapat pegawai yang menjalankan tugas kewangan sepenuh masa dan mereka mempunyai kelayakan Sijil Perdagangan Malaysia Peringkat Tertinggi dan Diploma dalam bidang Perniagaan yang dikeluarkan oleh IPTA. Bolehkah mereka ini diberi Bayaran Insentif Tugas Kewangan atas kadar RM80.00 sebulan?

    Seperti yang ditetapkan dalam para 7 dan 8 Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 1999, PT (P/O) dan Pembantu Akauntan yang mempunyai sijil yang dikeluarkan oleh Jabatan Akauntan Negara adalah layak diberi Bayaran Insentif Tugas Kewangan atas kadar RM80.00 sebulan. Berhubung dengan perkara yang dibangkitkan, jenis sijil yang layak dibayar RM80.00 sebulan hanya boleh ditetapkan oleh Jabatan Akauntan Negara.

  5. Mengikut perenggan 6 Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 1999 menjelaskan bahawa PT (P/O) yang bertugas bersendirian di pejabat kecil boleh diberi Bayaran Insentif Tugas Kewangan walaupun ia menjalankan tugas kewangan di samping tugas-tugas lain yang bukan kewangan. Apakah takrifan yang dimaksudkan dengan bertugas bersendirian di pejabat kecil?

    Bagi maksud pekeliling ini, bertugas bersendirian di pejabat kecil bermaksud terdapat hanya seorang PT (P/O) bertugas di sebuah pejabat kecil tersebut. Pejabat kecil ialah sebuah pejabat yang wujud secara bersendirian dan tidak termasuk Bahagian atau Unit di satu pejabat besar. Sebagai contoh, pejabat di sekolah yang hanya mempunyai seorang Pembantu Tadbir adalah ditakrifkan sebagai bertugas bersendirian di pejabat kecil.

  6. Seorang Pegawai Tadbir Gred N27 telah ditempatkan di Unit Kewangan di mana beliau ditugaskan untuk menyelia dan mentadbir di unit tersebut. Keseluruhan tugas harian beliau adalah tugas kewangan. Sementara itu, seorang Pembantu Am Rendah juga ditempatkan di unit tersebut dan menjalankan tugas kewangan sepenuh masa kerana kekurangan PT (P/O). Kedua-dua pegawai tersebut telah memohon untuk dibayar Bayaran Insentif Tugas Kewangan. Mengikut peraturan sedia ada, bolehkah kedua-dua pegawai tersebut dibayar Bayaran Insentif Tugas Kewangan?

    Mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 1999, Bayaran Insentif Tugas Kewangan hanya dibayar kepada PT (P/O) dan Pembantu Akauntan yang menjalankan tugas kewangan sepenuh masa. Walau bagaimanapun dengan keluarnya Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2001, perkara 4 pekeliling tersebut menjelaskan Bayaran Insentif Tugas Kewangan telah dipanjangkan kepada skim perkhidmatan lain yang setaraf atau lebih rendah dari PT (P/O), Pembantu Akauntan dan PT (K) yang menjalankan tugas kewangan sepenuh masa. Dengan penjelasan ini, Pegawai Tadbir Gred N27 adalah tidak layak dibayar Bayaran Insentif Tugas Kewangan sementara Pembantu Am Rendah boleh dibayar Bayaran Insentif Tugas Kewangan mengikut kadar yang dijelaskan dalam perkara 7, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 1999.

 

Pegawai Pemantau Informasi Tel Emel
Pn. Solahah binti Husain 03-8316 4457

Alamat e-mail ini dilindungi dari spambots. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk paparkannya

Cik Satminder a/p Kawan Singh 03-8316 4458 Alamat e-mail ini dilindungi dari spambots. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk paparkannya