Cetak PDF

 

1.    Apakah elaun dan kemudahan yang layak diberi kepada pegawai yang bertukar wilayah? 

Pegawai Perkhidmatan Awam yang bertukar wilayah layak diberi elaun dan kemudahan seperti berikut:-

   i. Bayaran Insentif Wilayah (BIW)

   ii.Elaun Perumahan Wilayah

   iii. Elaun Gangguan (EG)

iv.  Tambang Mengunjungi Wilayah Asal (TMWA)

v. Tambang Ehsan (TE)

vi.Tambang Mengiringi Jenazah kepada  keluarga pegawai yang bertukar wilayah

2.    Apakah yang dimaksudkan dengan bertukar wilayah?

Pegawai yang bertukar wilayah bermaksud pegawai yang berkhidmat di wilayah selain dari wilayah asalnya. Wilayah dalam konteks ini bermaksud Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan. Wilayah asal seseorang pegawai adalah berdasarkan wilayah kelahiran ibu atau bapa pegawai. Sekiranya ibu bapa pegawai dilahirkan di wilayah yang berbeza, pegawai boleh memilih sama ada wilayah kelahiran ibu atau wilayah kelahiran bapa sebagai wilayah asalnya.

3.    Adakah pegawai yang dilahirkan di Semenanjung Malaysia dan bertugas di Semenanjung Malaysia boleh mengisytiharkan wilayah asalnya dari Sabah kerana ibunya lahir di Sabah manakala bapanya lahir di Semenanjung?

Ya. Pegawai boleh mengistiharkan wilayah asalnya sebagai Sabah kerana peraturan membenarkan pegawai memilih sama ada wilayah kelahiran ibu atau wilayah kelahiran bapa sebagai wilayah asalnya.

4.    Adakah pegawai yang bertukar wilayah perlu dibayar Elaun Perumahan Wilayah (EPW) atau boleh memilih untuk dibayar Imbuhan Tetap Perumahan (ITP)?

Pegawai yang bertukar wilayah boleh memilih sama ada menerima Elaun Perumahan Wilayah (EPW) atau Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) dengan menggunakan Borang JPA (EPW) yang terdapat di dalam PP Bil. 11 Tahun 2001. Borang tersebut hendaklah dikemukakan kepada Ketua Jabatan.

5.    Bilakah tarikh pegawai layak dibayar Elaun Perumahan Wilayah (EPW)?

Pegawai layak dibayar Elaun Perumahan Wilayah (EPW) mulai dari tarikh pegawai melaporkan diri di wilayah penempatan.

6.    Apakah yang dimaksudkan kemudahan Tambang Ehsan?

Tambang Ehsan disediakan kepada Pegawai Perkhidmatan Awam yang ‘bertukar wilayah’. Kemudahan ini disediakan dari tempat pegawai bertugas ke ibu kota wilayah asal pegawai sekali bagi salah satu daripada tujuan iaitu untuk menziarahi ibu, bapa, ibu mertua, bapa mertua yang sakit tenat atau meninggal dunia.

7.    Apakah yang dimaksudkan dengan Elaun Gangguan?

Elaun Gangguan merupakan suatu bayaran yang diberi kepada pegawai yang bertukar wilayah apabila pegawai ditukarkan balik ke wilayah asalnya. Elaun Gangguan dibayar atas kadar sebulan gaji hakiki pegawai. Sekiranya perlu, Elaun Gangguan dibayar secara pendahuluan sebanyak separuh daripada gaji yang diterimanya ketika itu. Baki bayaran Elaun Gangguan akan dibayar berasaskan kepada gaji terakhir yang diterima oleh oleh pegawai itu sejurus sebelum ia bertukar semula ke wilayah asalnya. Bagi dua orang pegawai suami isteri yang bertukar semula ke wilayah asal, hanya seorang sahaja yang layak menuntut Elaun Gangguan mengikut gaji siapa yang lebih tinggi.

8.    Siapakah yang layak diberi kemudahan Tambang Mengiringi Jenazah kepada keluarga pegawai yang bertukar wilayah?

Kemudahan Tambang Mengiringi Jenazah (TMJ) diberi kepada keluarga pegawai yang bertukar wilayah bagi tujuan mengiringi jenazah pegawai dari tempat tinggal di wilayah berkhidmat ke tempat pengebumiannya.

Keluarga bermaksud keluarga pegawai iaitu isteri / suami dan anak-anak pegawai yang di bawah umur 21 tahun, dan masih dalam tanggungan pegawai kecuali anak yang daif disebabkan oleh kelemahan otak atau jasmani.

Rujukan :

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2012
Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 22 Tahun 2008
Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2002
Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 tahun 2001
Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 1988
Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 1978

 

Pegawai Pemantau Informasi Tel Emel
Puan Siti Ainul Basyirah binti Ab Ghani 03-8316 4473 Alamat e-mail ini dilindungi dari spambots. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk paparkannya
Cik Nurulhuda binti A. Padzil 03-8316 4471 Alamat e-mail ini dilindungi dari spambots. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk paparkannya Alamat e-mail ini dilindungi dari spambots. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk paparkannya