1. Apakah yang dimaksudkan dengan Rumah Kerajaan?

    Rumah Kerajaan merujuk kepada rumah yang dibina/ dibeli/ disewa oleh Kerajaan dan mempunyai kemudahan bekalan air bersih, elektrik, sistem kumbahan, sistem pembentungan serta mempunyai jalan masuk.

    Terdapat beberapa jenis Rumah Kerajaan iaitu:

    • Rumah Biasa Kerajaan
    • Rumah Khas Jabatan
    • Rumah Khas Jawatan
    • Kediaman Penjawat Tinggi Kerajaan
    • Rumah Kediaman Luar Negeri; dan Mes/ berek/ asrama
  2. Adakah Kerajaan bertanggungjawab menyediakan Rumah Kerajaan kepada setiap anggotanya?

    Tidak. Pihak Kerajaan tidak bertanggungjawab menyediakan kemudahan perumahan kepada anggotanya kecuali bagi jawatan yang tertentu yang diperuntukkan Rumah Khas Jawatan, Rumah Khas Jabatan, Rumah Kediaman Luar Negeri, Rumah Rasmi Penjawat Tinggi termasuk rumah bagi anggota Polis, Tentera, Penjara dan Bomba.

  3. Bilakah seseorang yang telah bersara mesti mengosongkan Rumah Kerajaan / Kuarters yang didudukinya?

    Mengikut Perintah Am 33 Bab “E”, seseorang pegawai yang menduduki Rumah Kerajaan mestilah mengosongkan rumah tersebut pada hari terakhir beliau bekerja sebelum bersara melainkan diberi kebenaran seperti dalam kes Perintah Am 33(b) & 33(c) Bab “E”.

    Perintah Am 33(b) - seseorang pegawai bercuti sebelum bersara boleh dibenarkan oleh Pegawai Perumahan untuk menduduki terus rumah yang bukan rumah khas Jabatan atau Jawatan semasa bercuti itu dan selama tidak melebihi 30 hari lagi selepas akhir cutinya. Bagi tujuan Perintah Am ini, seorang pegawai yang tidak berkelayakan mengumpul cuti rehat sebelum bersara mengikut syarat-syarat perkhidmatannya akan dibenarkan tinggal di rumah tersebut tidak melebihi 30 hari lagi selepas hari akhir ia bekerja. Perintah Am 33(c) menjelaskan bahawa Seseorang pegawai yang mendiami Rumah Khas Jawatan atau Jabatan akan dikehendaki mengosongkan rumah tersebut di hari terakhir ia bekerja tetapi sekiranya tidak ada pegawai lain yang berhak mendapat rumah itu atau pun penggantinya belum ada lagi, maka dengan persetujuaan Ketua Jabatan yang berkenaan, ia boleh dibenarkan tinggal di rumah itu selama tidak lebih daripada 30 hari.

  4. Adakah seseorang yang menduduki Rumah Kerajaan layak menerima Imbuhan Tetap Perumahan?

    Tidak. Mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 1996, seseorang pegawai yang duduk di Rumah Kerajaan tidak dikenakan sewa rumah dan tidak layak menerima Imbuhan Tetap Perumahan. Imbuhan Tetap Perumahan adalah dianggap sebagai ganti sewa rumah kerana menduduki rumah Kerajaan.

  5. Adakah pegawai yang menduduki rumah Sub-Standard (tiada kemudahan asas & kemudahan awam) layak menerima Imbuhan Tetap Perumahan?

    Ya. Pegawai yang menduduki rumah Sub-Standard di kawasan Pedalaman layak menerima Imbuhan Tetap Perumahan.

  6. Jika lebih daripada seorang berkongsi sebuah rumah bagaimanakah cara bayaran sewa rumah tersebut?

    Semua pegawai dalam rumah tersebut tidak layak menerima ITP dan tidak dikenakan sewa rumah.

     

Rujukan

  • Perintah Am Bab E
  • Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 1994
  • Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 1996
  • Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2002
  • Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 1997
  • Surat Pekeliling Am Bilangan 1 tahun 2001
  • Perintah Am 2(a) Bab E
  • Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 Tahun 1996
  • JPA(S) 2760/10 Klt.7 (114) bertarikh 25 Ogos 2000
  • JPA(S) 2760/10 Klt.6 (28) bertarikh 7 Ogos 1996