Cetak PDF

  1. Pegawai diberi fleksibiliti untuk menentukan sendiri tempoh Cuti Bersalin diantara 60 hari sehingga 90 hari bagi setiap kelahiran. Adakah bermakna pegawai boleh memohon Cuti Bersalin tidak kira sama ada 68 hari, 70 hari, 75 hari, 82 hari atau 85 hari?

    Ya. Tempoh Cuti Bersalin yang dipohon adalah bergantung kepada pemilihan pegawai tertakluk kepada had tempoh di antara 60 hari sehingga 90 hari.

  2. Adakah Cuti Sakit boleh digunakan bagi tujuan menggantikan tempoh Cuti bersalin sekiranya pegawai telah menggunakan kelayakan maksimum Cuti Bersalin 300 hari?

    Tidak. Cuti Sakit tidak boleh digunakan bagi maksud menggantikan tempoh Cuti Bersalin kecuali Cuti Tibi, Kusta dan Barah atau tempoh pegawai dimasukkan ke wad hospital kerana sakit bukan atas sebab bersalin sepertimana yang telah dinyatakan dalam perenggan 10, PP 14/2010.

  3. Adakah pegawai yang bermula Cuti Bersalin pada 4 Oktober 2010 tetapi melahirkan anak pada 15 Oktober 2010 layak untuk memohon kemudahan Cuti Bersalin selama 90 hari di bawah PP 14/2010?

    Tidak. Pegawai yang bermula Cuti Bersalin sebelum 15 Oktober 2010 adalah masih tertakluk kepada tempoh Cuti Bersalin selama 60 hari dan pelaksanaannya sepertimana dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 1998.

  4. Adakah pegawai yang bermula Cuti Bersalin pada 15 Oktober 2010 boleh memohon untuk tambahan tempoh Cuti Bersalin sehingga 90 hari?

    Ya. Pegawai adalah layak untuk memohon tambahan tempoh Cuti Bersalin sehingga 90 hari tertakluk kepada syarat bahawa pegawai bermula Cuti Bersalin pada 15 Oktober 2010 dan selepasnya.

  5. Adakah pegawai boleh meminda tempoh Cuti Bersalin yang telah diluluskan oleh Ketua Jabatan?

    Tidak. Perenggan 13.2 PP 14/2010 telah menjelaskan bahawa pegawai tidak boleh meminda tempoh Cuti Bersalin yang telah diluluskan oleh Ketua Jabatan.

  6. Adakah kelayakan Cuti Bersalin pegawai yang telah menggunakan kemudahan Cuti Bersalin semasa berkhidmat secara kontrak diambil kira setelah pegawai tersebut dilantik ke jawatan tetap?

    Ya. Kelayakan Cuti Bersalin pegawai diambil kira semasa pegawai berkhidmat secara kontrak dan dianggap telah digunakan.

  7. Adakah pegawai yang mengalami keguguran pada usia kandungan 24 minggu layak untuk mengambil Cuti Bersalin?

    Ya. Bagi pegawai yang telah melahirkan anak selepas 22 minggu mengandung, sama ada bayi itu hidup atau meninggal dunia adalah layak untuk diberi Cuti Bersalin memandangkan tubuh badan pegawai telah mengalami perubahan fizikal dan memerlukan Cuti Bersalin bagi tujuan pemulihan.

  8. Puan A telah melahirkan 4 orang anak sepanjang perkhidmatan. Beliau telah mendapat cuti belajar separuh gaji mulai tahun 2007 hingga 2010. 2 daripada 4 orang anak beliau dilahirkan dalam tempoh pengajian. Beliau telah mengambil cuti khas semasa pengajian untuk melahirkan anak kedua. Manakala anak ketiga dilahirkan pada cuti semester pengajian. Adakah kedua-dua orang anak yang dilahirkan dalam tempoh cuti belajar separuh gaji itu diambil kira dalam kemudahan Cuti Bersalin?

    Tidak. Sekiranya pegawai bersalin dan sedang menikmati kemudahan Cuti Belajar Separuh Gaji/ Tanpa Gaji di mana tempoh kemudahan cuti tersebut telah meliputi tempoh Cuti Bersalin, maka ianya tidak diambil kira dalam kemudahan Cuti Bersalin memandangkan tempoh Cuti Bersalin itu telah diliputi oleh cuti belajar separuh gaji/ tanpa gaji tersebut.

  9. Pegawai telah memohon untuk menggunakan 80 hari Cuti Bersalin bagi anak keempat namun tidak diluluskan oleh Ketua Jabatan. Ketua Jabatan hanya meluluskan Cuti Bersalin selama 60 hari disebabkan oleh kekurangan tenaga kerja di Jabatan tersebut. Adakah Ketua Jabatan mempunyai hak untuk berbuat demikian?

    Ya. Dari segi dasar pemberian kemudahan Cuti Bersalin, pegawai diberi fleksibiliti untuk menentukan sendiri tempoh Cuti Bersalin di antara 60 hari sehingga 90 hari bagi setiap kelahiran. Namun, tempoh Cuti Bersalin yang diberi adalah diputuskan dengan rundingan di antara pegawai dengan Ketua Jabatan di mana keputusan yang ditetapkan adalah berdasarkan kepada kelulusan Ketua Jabatan dan tertakluk kepada kepentingan perkhidmatan.