Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk kepada surat Pensyarah Farmasi, Pulau Pinang bertajuk “Semak Struktur Kenaikan Pangkat, Gaji Pensyarah Farmasi IPTA” yang disiarkan di dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 25 Januari 2011.

Surat Pekeliling Perkhidmatan yang dirujuk dalam surat Pensyarah Farmasi, Pulau Pinang tersebut ialah Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2010 iaitu Pelaksanaan Penambahbaikan Jadual Gaji Matriks bagi Skim Perkhidmatan Pensyarah Perubatan dan Pensyarah Pergigian yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2010. Surat Pekeliling Perkhidmatan ini adalah merupakan penambahbaikan Jadual Gaji Matriks (JGM) bagi skim perkhidmatan Pensyarah Perubatan gred DU51/52 dan gred DU53/54 serta Pensyarah Pergigian gred DUG51/52 dan gred DUG53/54. Surat Pekeliling Perkhidmatan ini tidak melibatkan skim perkhidmatan Pensyarah Universiti bidang farmasi.

Skim perkhidmatan Pensyarah Universiti dalam bidang farmasi, Pensyarah Perubatan dan Pensyarah Pergigian adalah merupakan tiga skim perkhidmatan yang mempunyai skop fungsi dan bidang tugas yang berbeza yang mana penetapan gaji permulaan adalah berdasarkan prinsip kadar upah untuk kerja dan kelayakan yang diperlukan. Dalam hal ini, Pensyarah Universiti bidang farmasi diiktiraf sebagai perkhidmatan kritikal diimbuh dengan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal selain menerima Imbuhan Tetap Perumahan, Imbuhan Tetap Khidmat Awam/ Imbuhan Tetap Keraian dan Bantuan Sara Hidup.

Kerajaan secara berterusan melihat keperluan untuk menambah baik pakej saraan pegawai perkhidmatan awam dan cadangan yang dikemukakan akan diberi perhatian dan pertimbangan.


Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Perkhidmatan Awam
02 Februari 2011