KERAJAAN SERI PADUKA BAGINDA
MALAYSIA

 


PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 13 TAHUN 2000


PANDUAN PELANTIKAN SECARA PINJAMAN,
PERTUKARAN SEMENTARA DAN PERTUKARAN TETAP

 

TUJUAN

1.     Pekeliling ini bertujuan menguatkuasakan pemakaian Panduan Pelantikan Secara Pinjaman, Pertukaran Sementara Dan Pertukaran Tetap seperti di Lampiran A (selepas ini disebut Panduan ini atau Panduan di Lampiran A sahaja) untuk menguruskan peminjaman, pertukaran sementara dan pertukaran tetap pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan kepada agensi lain.


LATAR BELAKANG

2.     Walaupun dasar dan prinsip pinjaman dan pertukaran sementara ada diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, Perintah-Perintah Am Bab A 1973 serta pekeliling dan surat pekeliling tertentu, namun setakat ini satu panduan yang komprehensif mengenainya belum pernah dikeluarkan. Ini telah menyulitkan agensi awam untuk melaksanakannya dan menyukarkan Jabatan ini membuat pemantauan.


TUJUAN PINJAMAN

3.     Pinjaman atau pertukaran sementara adalah salah satu daripada beberapa kaedah pelantikan pegawai sedang berkhidmat yang boleh digunakan oleh sesebuah agensi awam bagi mendapatkan perkhidmatan pegawai daripada agensi lain yang berpengalaman, berkemahiran tinggi, berwibawa dan sesuai yang sukar diperolehi melalui proses lantikan biasa. Ia juga merupakan langkah jangka pendek untuk membantu sesebuah agensi, terutamanya agensi yang baru ditubuhkan, memantapkan operasi masing-masing.


SKOP

4.     Panduan di Lampiran A menjelaskan beberapa aspek penting dalam urusan pelantikan secara pinjaman, pertukaran sementara dan pertukaran tetap, khususnya mengenai prinsip, syarat dan prosedurnya. Panduan ini adalah untuk urusan pinjaman, pertukaran sementara dan pertukaran tetap pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan kepada agensi yang lain. Walau bagaimanapun untuk urusan yang melibatkan jawatan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Berkanun, pemakaiannya perlu mengambilkira peruntukan dasar yang terkandung dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 Tahun 1988.


PRINSIP PENTING

5.     Antara prinsip pinjaman, pertukaran sementara dan pertukaran tetap yang penting ialah:

  5.1 Persetujuan Pihak Terbabit
Oleh kerana pinjaman, pertukaran sementara dan pertukaran tetap merupakan satu tawaran pelantikan ke jawatan dalam skim perkhidmatan yang lain, maka semua pihak yang terbabit, iaitu pegawai yang dicalonkan, agensi pembekal dan agensi peminjam, perlu menyatakan persetujuan masing-masing secara bertulis. Sesuatu pinjaman, pertukaran sementara atau pertukaran tetap tidak boleh diperakukan kepada Pihak Berkuasa Melantik jika salah satu pihak yang terlibat tidak menyetujuinya. Syarat pinjaman, pertukaran sementara dan pertukaran tetap sepatutnya disedia dan ditawarkan oleh agensi pembekal, tetapi agensi peminjam juga boleh mencadangkan syarat yang difikirkan sesuai untuk pertimbangan agensi pembekal.
 
5.2 Insentif Pinjaman Dan Pertukaran Sementara
Pegawai yang dipinjamkan atau ditukar sementara akan ditawarkan syarat pinjaman yang tidak kurang baiknya (secara pakej) berbanding dengan syarat perkhidmatan yang sedang mereka nikmati di jawatan asal. Pegawai yang dipinjamkan kepada agensi swasta dan agensi antarabangsa boleh menerima syarat yang ditawarkan oleh agensi peminjam, asalkan syarat itu tidak kurang baiknya jika dibandingkan dengan syarat yang dicadangkan oleh agensi pembekal.
 
5.3 Pelarasan Gaji Dalam Tempoh Pinjaman
Sekiranya gaji jawatan asal pegawai berubah sehingga menyebabkan ianya lebih tinggi daripada gaji jawatan pinjaman atau jawatan pertukaran sementara, maka gaji jawatan pinjaman atau pertukaran sementara hendaklah diselaraskan semula mengikut kaedah penetapan gaji permulaan seperti yang dihuraikan dalam Panduan di Lampiran A.
 
5.4 Tarikh Pergerakan Gaji
Tarikh pergerakan gaji jawatan asal pegawai akan terus dikekalkan sebagai tarikh pergerakan gaji jawatan pinjaman atau pertukaran sementara.
 
5.5 Pertukaran Tetap
Pegawai yang sedang berkhidmat secara pinjaman atau pertukaran sementara boleh memohon supaya ditukar tetap ke agensi peminjam, iaitu sama ada ke jawatan yang sedang mereka sandang secara pinjaman atau pertukaran sementara, ataupun ke jawatan yang lain.
 

PENGECUALIAN

6.     Agensi yang ingin memohon atau mencadangkan syarat pinjaman, pertukaran sementara dan pertukaran tetap yang berbeza daripada yang ditetapkan dalam Panduan ini perlu merujuk kepada Jabatan ini terlebih dahulu untuk dipertimbangkan.


TARIKH KUATKUASA

7.     Peruntukan Pekeliling ini dan Panduan di Lampiran A dikuatkuasakan pada tarikh ianya dikeluarkan.


PEMAKAIAN

8.     Pekeliling ini dan Panduan di Lampiran A terpakai kepada pinjaman, pertukaran sementara dan pertukaran tetap yang baru atau yang diperbaharui, berkuatkuasa pada atau selepas tarikh Pekeliling ini dikeluarkan. Pemakaiannya kepada pegawai Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa agensi berkenaan.


PEMBATALAN

9.     Dengan berkuatkuasanya Pekeliling ini, Pekeliling Perkhidmatan Bil. 3 Tahun 1992 bertajuk Penempatan Pegawai Kerajaan Malaysia Di Pertubuhan Antarabangsa adalah dibatalkan.

 

"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"

(TAN SRI DATO’ SAMSUDIN BIN OSMAN )

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam,
Malaysia

JABATAN PERKHIDMATAN AWAM
MALAYSIA
KUALA LUMPUR

Tarikh: 22 MEI, 2000

 

Semua Ketua Setiausaha Kementerian

Semua Ketua Jabatan Persekutuan

Semua Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri

Semua Pihak Berkuasa Berkanun

Semua Pihak Berkuasa Tempatan