KERAJAAN SERI PADUKA BAGINDA
MALAYSIA


PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 18 TAHUN 2000


IMBUHAN TAHUNAN 2000

 

TUJUAN

1.      Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan melaksanakan keputusan kerajaan untuk memberi Imbuhan Tahunan kepada anggota perkhidmatan awam persekutuan bagi tahun 2000.


LATAR BELAKANG

2.      Kerajaan telah membuat keputusan supaya Imbuhan Tahunan bagi tahun 2000 dibayar kepada anggota perkhidmatan awam persekutuan sebagai tanda keprihatinan Kerajaan dengan kebajikan mereka. Pembayaran ini adalah untuk meringankan beban perbelanjaan anggota perkhidmatan awam khususnya yang berpendapatan rendah lebih-lebih lagi pada penghujung tahun, di mana mereka terpaksa membuat berbagai persiapan dan perbelanjaan terutamanya bagi persekolahan anak-anak. Kadar yang diputuskan adalah sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM500.00.


PELAKSANAAN

Anggota Yang Layak

3.      Imbuhan Tahunan dibayar kepada anggota tetap (anggota di bawah Sistem Saraan Baru dan Jawatankuasa Kabinet 1976), sementara, sangkut, sambilan, kontrak (termasuk anggota bagi projek khas Kerajaan) dan guru sandaran yang berkhidmat dalam tahun 2000.

4.      Anggota lain yang layak Imbuhan Tahunan adalah seperti berikut –

    1. anggota yang bercuti separuh gaji termasuk cuti belajar ;
    2. anggota yang dikenakan hukuman tatatertib seperti berikut –
      (i) amaran untuk anggota awam;
      (ii) amaran atau amaran keras untuk anggota Angkatan Tentera Malaysia; dan
      (iii) amaran untuk Anggota Kanan Polis, Polis DiRaja Malaysia dan celaan atau celaan keras untuk Anggota Rendah Polis dan Konstabel serta Anggota Rendah Polis dan Konstabel Tambahan.
    1. pemandu yang dilantik oleh anggota Jawatan Utama ‘B’ dan ke atas serta Gred Khas ‘A’ yang layak pemandu tetapi tidak disediakan pemandu oleh Jabatannya; dan
    2. anggota kontrak yang putus perkhidmatannya selama satu hari sebelum disambung semula perkhidmatan kontraknya.

Anggota Yang Tidak Layak

5.      Anggota yang berkhidmat dalam tahun 2000 tetapi tidak layak Imbuhan Tahunan adalah seperti berikut–
    1. anggota dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan setaraf;
    2. anggota kontrak yang bergaji lebih daripada RM5,478.00 yang dianggap setaraf dengan anggota dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi;
    3. anggota yang mengambil cuti tanpa gaji sepanjang tahun 2000;
    4. anggota yang dikenakan hukuman tatatertib selain daripada hukuman-hukuman yang dinyatakan di perenggan 4 b(i), (ii) dan (iii);
    5. anggota yang berkhidmat di agensi yang diasingkan pengurusan saraannya;
    6. anggota yang dipinjamkan ke badan-badan antarabangsa dan syarikat swasta sepanjang tahun 2000; dan
    7. anggota yang ditamatkan perkhidmatan demi kepentingan awam atau dibersarakan atas kepentingan perkhidmatan awam dalam tahun 2000.

Anggota Yang Ditangguhkan Pemberian Imbuhan Tahunan

6.       Anggota yang ditahan kerja, digantung kerja atau surat pertuduhan telah dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib, ditangguhkan pemberian Imbuhan Tahunannya. Anggota hanya layak dibayar Imbuhan Tahunan sekiranya Pihak Berkuasa Tatatertib mendapati anggota tersebut tidak bersalah atau anggota hanya dikenakan hukuman tatatertib seperti yang dinyatakan di perenggan 4 b(i), (ii) dan (iii).

Kaedah Pembayaran

7.      Kadar Imbuhan Tahunan adalah sebanyak setengah bulan gaji atau RM500.00 bagi anggota yang menerima gaji RM1,000.00 sebulan dan ke bawah.

8.      Bayaran Imbuhan Tahunan dibuat secara penuh bagi anggota yang berkhidmat selama 12 bulan mulai Januari hingga Disember 2000. Imbuhan Tahunan penuh adalah berdasarkan gaji bulan Disember 2000.

9.      Manakala bagi anggota yang berkhidmat kurang daripada 12 bulan pada tahun 2000, bayaran Imbuhan Tahunan adalah dibuat secara proportionate berdasarkan gaji akhir diterima pada tahun 2000.

10.     Bagi tujuan pembayaran Imbuhan Tahunan, maksud gaji anggota adalah termasuk juga perkara–perkara berikut -

    1. Elaun Pemangkuan bagi anggota yang memangku;
    2. gaji yang diberi atas sebab pinjaman bagi anggota yang dipinjamkan ;
    3. pendahuluan gaji lapan peratus dan sepuluh peratus, jika ada, bagi anggota di bawah Jawatankuasa Kabinet 1976.

12.     Anggota yang bersara/ meninggal dunia/ letak jawatan/ tamat perkhidmatan/ tamat kontrak, tempoh perkiraan Imbuhan Tahunan secara proportionate adalah mengikut genap satu bulan perkhidmatan berdasarkan gaji akhir yang diterima.

13.     Tempoh anggota tidak dibayar gaji sepanjang sesuatu bulan tidak diambilkira dalam perkiraan Imbuhan Tahunan. Bagi anggota yang bercuti tanpa gaji, tempoh perkiraan Imbuhan Tahunan secara proportionate adalah mengikut genap satu bulan perkhidmatan.

14.     Anggota yang bersara dalam tahun 2000 dan dilantik semula sebagai anggota sementara atau anggota kontrak, dibayar Imbuhan Tahunan secara proportionate mengikut genap satu bulan perkhidmatan berdasarkan gaji akhir yang diterima sebelum bersara, dan gaji atas jawatan sementara atau kontrak.

15.     Anggota yang dinaikkan pangkat/ dipinjamkan/ ditukar sementara atau bertukar skim perkhidmatan selepas 1 haribulan pada sesuatu bulan, perkiraan Imbuhan Tahunan bagi bulan itu dan tempoh sebelumnya hendaklah dibuat secara proportionate berdasarkan gaji jawatan lama. Bagi tempoh selepas bulan berkenaan perkiraan hendaklah dibuat secara proportionate berdasarkan gaji jawatan baru.

16.     Bagi anggota sambilan, perkiraan genap satu bulan perkhidmatan adalah dengan syarat mereka bekerja tidak kurang daripada 21 hari dalam sebulan kecuali 19 hari dalam bulan Februari 2000.

17.     Bayaran Imbuhan Tahunan kepada guru kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) ditetapkan pada kadar sebanyak RM125.00 bagi mereka yang genap 12 bulan perkhidmatan, setelah mengambil kira masa bekerja mereka yang kurang berbanding masa bekerja seorang guru sekolah. Bayaran Imbuhan Tahunan bagi anggota yang tidak genap perkhidmatan adalah dikira secara proportionate.

18.     Imbuhan Tahunan ini tidak boleh diselaraskan jika berlaku pelarasan gaji selepas tahun ini yang melibatkan pindaan gaji anggota pada tahun 2000.

19.     Anggota yang layak akan dibayar Imbuhan Tahunan dalam bulan Disember 2000.

20.     Contoh pelaksanaan Imbuhan Tahunan adalah seperti di LAMPIRAN.


JABATAN YANG MEMBAYAR IMBUHAN TAHUNAN

21.     Bagi anggota yang berkhidmat di beberapa Jabatan, pembayaran Imbuhan Tahunan adalah menjadi tanggungan Jabatan di mana anggota ditempatkan pada bulan pembayaran.


TARIKH KUATKUASA

22.     Pekeliling Perkhidmatan ini berkuatkuasa mulai tarikh ianya dikeluarkan.


PEMAKAIAN

23.     Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, Pekeliling Perkhidmatan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.



"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"


( TAN SRI DATO’ SAMSUDIN BIN OSMAN )

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Malaysia.

JABATAN PERKHIDMATAN AWAM
MALAYSIA
KUALA LUMPUR

14 Disember 2000


Semua Ketua Setiausaha Kementerian

Semua Ketua Jabatan Persekutuan

Semua Y. B. Setiausaha Kerajaan Negeri

Semua Pihak Berkuasa Berkanun

Semua Pihak Berkuasa Tempatan