KERAJAAN SERI PADUKA BAGINDA
MALAYSIA


PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 4 TAHUN 2001


PELAKSANAAN KEMUDAHAN PERUBATAN

TUJUAN

1. Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan menerangkan tatacara pelaksanaan bagi kemudahan perubatan yang tidak diperolehi di hospital/klinik Kerajaan dan membenarkan Ketua Jabatan meluluskan permohonan serta membuat bayaran bagi perbelanjaan perubatan berkenaan.

LATAR BELAKANG

2. Anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan dan pesara Perkhidmatan Awam Persekutuan yang menerima pencen serta keluarga mereka adalah layak mendapat kemudahan perubatan percuma di hospital/klinik Kerajaan mengikut Perintah Am Bab 'F'. Sejak 1 Januari 1992, kemudahan rawatan perubatan untuk ibu bapa yang sah telah diberi kepada anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan mengikut Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 1993.

3. Walau bagaimanapun terdapat keadaan di mana hospital/klinik Kerajaan tidak dapat membekal atau menyediakan beberapa kemudahan perubatan dengan sepenuhnya. Untuk mengatasinya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan permohonan perbelanjaan bagi kemudahan tersebut dan pembayaran dibuat oleh Jabatan yang berkenaan. Namun pelaksanaan kemudahan ini di samping beberapa kemudahan perubatan lain tidak disertakan dengan tatacara pelaksanaan yang terperinci.

4. Untuk mempertingkatkan lagi keberkesanan jentera pentadbiran di samping menjaga kebajikan anggota, pesara dan keluarga serta ibu bapa anggota Perkhidmatan Awam, Ketua Jabatan hendaklah melaksanakan kemudahan perubatan mengikut tatacara yang ditetapkan dalam Pekeliling ini.

PELAKSANAAN

5. Mereka yang layak mendapat kemudahan perubatan ialah-

(i)

anggota dan pesara Perkhidmatan Awam Persekutuan yang menerima pencen mengikut Perintah Am 1(vi) Bab F;

(ii)

keluarga anggota dan pesara Perkhidmatan Awam Persekutuan yang menerima pencen mengikut Perintah Am 1(iii) Bab F; dan

(iii)

ibu bapa yang sah bagi anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan mengikut Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 1993, terhad kepada kemudahan perubatan tertentu.

6. Permohonan perbelanjaan bagi ubat, alat ortopedik dan anggota palsu (artificial limbs), perkhidmatan perubatan dan rawatan penyakit buah pinggang [Hemodialisis/Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD)] dilaksanakan mengikut tatacara berikut -

(i)

mendapat rawatan di hospital/klinik Kerajaan; dan

(ii)

kemudahan yang diperlukan tidak dapat dibekal/disediakan oleh hospital/klinik Kerajaan; dan

(iii)

perakuan keperluan dan pengesahan oleh pegawai perubatan Kerajaan mengenai (ii) di atas hendaklah menggunakan borang SARAUBAT JPA (PPK) seperti di lampiran; dan

(iv)

permohonan hendaklah menggunakan borang SARAUBAT JPA (AM) seperti di lampiran; dan

(v)

permohonan diluluskan oleh Ketua Jabatan.

7. Permohonan perbelanjaan bagi rawatan kemandulan di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dilaksanakan mengikut tatacara berikut -

(i) mendapat rawatan di klinik LPPKN; dan
(ii) rawatan primary infertility sahaja; dan
(iii) pengesahan oleh pakar perubatan LPPKN mengenai (ii) di atas; dan
(iv) permohonan hendaklah menggunakan borang SARAUBAT JPA (AM) seperti di lampiran; dan
(v) permohonan diluluskan oleh Ketua Jabatan.

8. Permohonan perbelanjaan bagi rawatan kecemasan di hospital/klinik swasta dilaksanakan mengikut tatacara berikut:-

(i) mendapat rawatan di hospital/klinik swasta berdekatan dengan tempat kejadian kecemasan kerana tiada hospital Kerajaan yang berhampiran; dan
(ii) keperluan rawatan serta-merta yang tidak boleh dilengahkan bagi menyelamatkan nyawa pesakit (life-threatening); dan
(iii) pesakit dalam keadaan kritikal/tenat semasa dibawa ke hospital/klinik swasta; dan
(iv) pengesahan kecemasan oleh Pakar Perubatan hospital/klinik swasta berkenaan mengenai (ii) di atas; dan
(v) permohonan hendaklah menggunakan borang SARAUBAT JPA (RCS) seperti di lampiran; dan
(vi) permohonan diluluskan oleh Ketua Jabatan.

9. Permohonan perbelanjaan bagi rawatan kepakaran di hospital swasta dilaksanakan mengikut tatacara berikut -

(i) mendapat rawatan di hospital Kerajaan; dan
(ii) rawatan kepakaran berkenaan tidak diperolehi di hospital Kerajaan; dan
(iii) pengesahan Pakar Perubatan hospital Kerajaan bahawa rawatan kepakaran diperlukan dan boleh diperolehi di dalam negeri; dan
(iv) perakuan Ketua Pengarah Kesihatan mengenai (ii) di atas; dan
(v) permohonan hendaklah menggunakan borang SARAUBAT JPA (RPS) seperti di lampiran; dan
(vi) permohonan diluluskan oleh JPA, Bahagian Saraan.

10. Permohonan perbelanjaan bagi rawatan di luar negeri dilaksanakan mengikut tatacara berikut -

(i) mendapat rawatan di hospital Kerajaan; dan
(ii) rawatan khas diperlukan dan tidak diperolehi di dalam negeri; dan
(iii) pengesahan Lembaga Perubatan mengenai (ii) di atas; dan
(iv) perakuan Ketua Pengarah Kesihatan bahawa rawatan sedemikian tiada pada Kerajaan; dan
(v) permohonan hendaklah menggunakan borang SARAUBAT JPA (RLN) seperti di lampiran; dan
(vi) permohonan diluluskan oleh Jemaah Pegawai Bagi Rawatan di Luar Negeri.

11. Kemudahan rawatan percuma di Institut Jantung Negara Sdn. Bhd. (IJNSB) boleh diperolehi mengikut tatacara berikut:-

(i) mendapat rawatan di hospital Kerajaan; dan
(ii) dirujuk oleh Pakar Perubatan hospital Kerajaan ke IJNSB; dan
(iii) mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan dalam "Panduan Mengenai Kemudahan Di IJNSB Bagi Pelbagai Golongan Pesakit Di Bawah Tanggungan Kerajaan Persekutuan – Kemudahan Perubatan Bagi Pegawai Kerajaan" mengikut surat Kementerian Kesihatan Malaysia rujukan (68) dlm.KKM.203/30 Bhg.5 bertarikh 16 September 1997.

12. Untuk memudahkan pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan ini, satu panduan pelaksanaan disediakan seperti di lampiran.

TANGGUNGJAWAB KETUA JABATAN

13. Dengan berkuatkuasanya Pekeliling Perkhidmatan ini, Ketua Jabatan adalah bertanggungjawab melaksanakan peraturan sepertimana diperuntukkan dalam Pekeliling ini dan hendaklah meluluskan permohonan perbelanjaan di mana berkaitan serta membuat bayaran bagi perbelanjaan perubatan yang terlibat.

14. Bagi maksud Pekeliling ini, Ketua Jabatan untuk pesara Perkhidmatan Awam Persekutuan yang menerima pencen ialah Pengarah Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia.

TARIKH KUATKUASA

15. Pekeliling Perkhidmatan ini berkuatkuasa mulai 1 Oktober 2001.

PEMAKAIAN

16. Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, Pekeliling Perkhidmatan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan. Ketua Jabatan pihak berkuasa berkenaan hendaklah melulus serta membuat bayaran perbelanjaan perubatan kepada anggota dan pesara masing-masing.

 

"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"

       


(DATO’ SERI JAMALUDDIN BIN HJ AHMAD DAMANHURI)

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Malaysia

JABATAN PERKHIDMATAN AWAM
MALAYSIA
PUTRAJAYA

28 SEPTEMBER  2001

Semua Ketua Setiausaha Kementerian
Semua Ketua Jabatan Persekutuan
Semua Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri
Semua Pihak Berkuasa Berkanun
Semua Pihak Berkuasa Tempatan