Lampiran C
PENJELASAN
KEPADA SURAT AKU JANJI
1. Akan Sentiasa Taat
Setia Kepada Yang di-Pertuan Agong, Negara Dan Kerajaan
1.1 Pegawai awam memegang jawatan selama mana ianya
diperkenankan oleh Yang di-Pertuan
Agong (at the pleasure of the King). Oleh yang demikian amat wajarlah setiap
pegawai awam menumpukan taat setia mereka kepada Yang di-Pertuan Agong yang
juga merupakan simbol kedaulatan negara kita. Aku Janji ini juga selaras dengan
prinsip kedua Rukun Negara iaitu “Kesetiaan kepada Raja dan negara“. Dengan
mematuhi Aku Janji ini, Kerajaan berharap akan dapat melahirkan pegawai awam
yang berdedikasi, komited, bertanggungjawab dan mempunyai semangat patriotisme
yang tinggi untuk memajukan negara kita ini.
1.2 Tugas yang dilaksanakan oleh seseorang pegawai itu adalah
demi kepentingan awam (in the public interest) dalam rangka memberi
perkhidmatan yang terbaik kepada orang ramai. Oleh itu mereka hendaklah
menumpukan kesetiaan dan memberikan sokongan sepenuhnya kepada Kerajaan yang
memerintah (the government of the day)
serta dasarnya tanpa mengira parti
yang berkuasa. Pegawai yang menentang atau mengkritik dasar Kerajaan akan
merosakkan kebolehpercayaan dan keutuhan perkhidmatan awam keseluruhannya.
Prinsip tanggungjawab bersama (collective
responsibility) dan kesatuan (unity)
dalam perkhidmatan awam akan dipersoalkan. Akibatnya kewibawaan pegawai untuk
berfungsi dengan berkesan akan terhakis. Tambahan pula, pegawai yang tidak
patriotik akan dianggap sebagai tidak berkemampuan melaksanakan dasar dan
program untuk kemakmuran rakyat dan negara. Oleh itu semua pegawai awam
hendaklah sentiasa menjaga, memelihara dan mempertahankan kedaulatan dan maruah
negara, hormat serta patuh kepada undang-undang dan sentiasa berusaha berbakti
kepada negara.
1.3 Contoh Pelanggaran:
a) bersubahat dengan musuh negara;
b) membocorkan rahsia Kerajaan;
c) memburuk serta
memperkecilkan dasar dan tindakan Kerajaan;
d) berlakon dalam filem yang memburukkan negara.
2. Akan Sentiasa
Melaksanakan Tugas Dengan Cermat, Bersungguh-Sungguh, Cekap, Jujur, Amanah Dan
Bertanggungjawab
2.1 Cermat, bersungguh-sungguh, cekap, jujur, amanah dan
bertanggungjawab merupakan nilai murni yang sejagat (universal) dan telah dijadikan nilai teras dalam perkhidmatan awam.
Nilai-nilai ini amat berkesan untuk meningkatkan produktiviti, kualiti dan
kecemerlangan perkhidmatan awam jika diamalkan dengan bersungguh-sungguh dan
ikhlas. Aku Janji ini diharap dapat mendorong pegawai awam menjalankan tugas
dengan cekap, jujur, bertanggungjawab dan patuh kepada semua peraturan yang
dikeluarkan oleh Kerajaan. Pegawai yang gagal mematuhi peraturan dan enggan
mengamalkannya atau bersifat negatif terhadap nilai murni tersebut dengan
sendirinya telah memperlihatkan sikap yang tidak bertanggungjawab. Mereka
sebenarnya telah mengkhianati amanah orang ramai yang mengharapkan perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti.
2.2 Contoh Pelanggaran:
(a) Kurang cekap atau kurang berusaha:
i)
gagal
menguruskan penyata bank dan buku tunai dengan teratur;
ii)
membuat
bayaran tanpa disertakan dengan baucer, bil, resit dan invois;
iii) tidak berkebolehan
dan terpaksa diarah sepanjang masa.
(b) Tidak jujur atau tidak amanah:
i)
tidak
melaporkan harta yang dimiliki olehnya
atau ahli keluarganya;
ii)
membuat
tuntutan palsu;
iii)
tidak
melaporkan hutang-piutangnya.
(c) Tidak bertanggungjawab:
i) menghasut pegawai lain supaya tidak
bertugas dengan bersungguh-sungguh;
ii) bercuti semasa perkhidmatannya amat diperlukan;
iii) tidak melaporkan kesalahan pegawai
bawahannya.
3. Tidak Membelakangkan Tugas Awam Demi
Kepentingan Peribadi
3.1 Sebagai seorang warganegara dan anggota masyarakat,
seseorang pegawai awam, khususnya yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan,
tidak dapat menolak sepenuhnya kepentingan peribadi (self interest) semasa membuat sesuatu keputusan yang membabitkan
diri mereka. Keadaan ini secara tidak langsung akan menjadi faktor penentu
sejauh mana keberkesanan keputusan yang akan dibuatnya bagi faedah orang ramai.
Dalam konteks ini pegawai berkenaan mestilah mengutamakan tugas awamnya
daripada kepentingan diri. Dalam erti kata yang lain dia mestilah melaksanakan
tanggungjawabnya dengan mengutamakan kepentingan awam dan bukannya kepentingan
peribadi.
3.2 Contoh Pelanggaran:
(a) menguruskan
perniagaan atau pelaburan sendiri, atau ahli keluarganya, dalam waktu pejabat;
(b) mengutamakan saudara-mara, rakan-rakan
atau orang yang rapat dengannya semasa menimbangkan sesuatu permohonan;
(c) menguruskan tender / sebut harga
sedangkan pegawai tahu di antara mereka
yang mengemukakan tender / sebut harga terdiri daripada saudara-maranya.
4. Tidak Akan
Berkelakuan Dengan Cara Yang Mungkin Menyebabkan Kepentingan Peribadi
Bercanggah Dengan Tugas Awam
4.1 Seseorang pegawai itu tidak terlepas daripada menghadapi
situasi di mana tugas awamnya bercanggah dengan kepentingan peribadinya.
Apabila timbul situasi sedemikian, pegawai hendaklah mengambil sikap tidak
memihak (impartial) dan seterusnya menghalang kepentingan peribadinya
itu daripada mengatasi tugas awamnya. Seseorang pegawai itu seharusnya boleh
menjangkakan sesuatu situasi yang boleh menimbulkan percanggahan kepentingan
dan seterusnya berusaha sedaya-upaya mengelakkan dirinya daripada terlibat
dengan situasi tersebut.
4.2 Contoh Pelanggaran:
(a) tidak mengelakkan dirinya daripada
bergaul terlalu rapat dengan mereka yang jelas akan mendapat keuntungan
daripada tugas rasminya;
(b) tidak mengelak diri daripada menerima
hadiah yang berharga daripada syarikat, ahli perniagaan atau individu;
(c) memproses, menimbang atau meluluskan
sesuatu permohonan daripada ahli keluarganya.
5. Tidak Akan
Berkelakuan Dengan Cara Yang Boleh Menimbulkan Syak Yang Munasabah Bahawa
Pegawai Telah Membiarkan Kepentingan Peribadinya Bercanggah Dengan Tugas Rasmi
Sehingga Menjejaskan Kegunaannya Sebagai Pegawai Awam
5.1 Walaupun Aku Janji ini masih lagi menyentuh mengenai
percanggahan kepentingan peribadi dengan tugas awam, namun penekanannya di sini
ialah seseorang pegawai awam itu perlu mengelakkan tindak-tanduknya daripada
menimbulkan syak yang munasabah bahawa dia telah membiarkan kepentingan
peribadinya bercanggah dengan tugas rasmi sehingga menjejaskan kegunaannya
sebagai pegawai awam. Syak yang munasabah (reasonable
suspicion) di sini menunjukkan terdapat rasional dan asas yang kukuh bagi
mengatakan bahawa salah laku atau tindakan yang tidak beretika telah dilakukan
oleh seseorang pegawai awam semasa melaksanakan tugas rasminya dan ini
hendaklah dibezakan daripada syak yang biasa semata-mata.
5.2 Contoh Pelanggaran:
(a) tidak mengambil tindakan terhadap
seseorang yang telah melanggar sesuatu peraturan dengan tujuan mendapat ganjaran daripadanya;
(b) berhutang
dengan seorang ahli lembaga pengarah yang syarikatnya ada memohon tanah untuk
tapak kilang di daerah yang berada di bawah pentadbiran pegawai atau isteri
pegawai adalah salah seorang ahli lembaga pengarah syarikat tersebut.
6. Tidak Akan Menggunakan Kedudukan Sebagai Pegawai Awam Bagi
Faedah Diri Sendiri
6.1 Setiap pegawai awam dibekalkan dengan kuasa tertentu sesuai
dengan kedudukan atau jawatan yang mereka sandang. Tanpa disiplin diri,
kedudukan dan kuasa yang dimiliki itu boleh disalahgunakan untuk kepentingan
peribadi pegawai berkenaan. Dengan adanya Aku Janji ini, adalah diharapkan
pegawai akan insaf bahawa kedudukan mereka sebagai pegawai awam bukanlah
merupakan satu tiket untuk mengumpul kekayaan. Menggunakan kedudukan sebagai
pegawai awam untuk faedah diri sendiri merupakan satu tindakan yang tidak
bertanggungjawab dan boleh dianggap sebagai pengkhianatan kepada bangsa dan
negara. Tindakan pegawai juga boleh
diertikan sebagai tidak menunjukkan ketaatsetiaan kepada Yang di-Pertuan Agong.
6.2 Contoh Pelanggaran:
(a) menggunakan
kenderaan jabatan sebagai kemudahan peribadi untuk pergi dan balik pejabat, menghantar anak ke sekolah dan
sebagainya;
(b) menggunakan pengaruh kedudukannya untuk
mengubah lot tanah yang telah diluluskan kepada isterinya sedangkan pegawai tidak
diberi kuasa berbuat demikian.
7. Tidak Akan
Berkelakuan Dengan Cara Yang Boleh Memburuk Dan Mencemarkan Nama Perkhidmatan
Awam
7.1 Persoalan imej atau nama baik perkhidmatan awam merupakan
suatu perkara yang penting kerana ianya sering dikaitkan dengan keutuhan dan
kecekapan perkhidmatan awam. Oleh itu menjadi kewajipan setiap pegawai agar
menjaga dan memelihara nama baik perkhidmatan awam supaya sentiasa dipandang
bersih bukan sahaja oleh rakyat jelata tetapi juga oleh pelabur asing.
7.2 Sehubungan dengan itu setiap pegawai mestilah menunjukkan ciri-ciri sebagai
seorang yang berperibadi mulia. Mereka hendaklah mengelak daripada berkelakuan
dengan cara yang boleh diertikan sebagai telah mencemarkan nama baik
perkhidmatan awam. Ini bertujuan untuk memupuk keyakinan orang ramai terhadap
keutuhan dan kewibawaan perkhidmatan awam keseluruhannya.
7.3 Dalam era yang amat kompetitif hari ini kepuasan pelanggan
menjadi suatu keutamaan sama ada bagi
sektor awam atau swasta. Misalnya, kita sering mendengar slogan yang berbunyi
“Kepuasan Pelanggan Keutamaan Kami“. Di antara faktor yang dapat memberi
kepuasan kepada pelanggan kita ialah layanan yang mesra, bersopan-santun serta
perkhidmatan yang berkualiti (tanpa cacat atau zero defect). Sekiranya faktor tersebut dapat direalisasikan imej
perkhidmatan awam akan meningkat. Oleh
itu, sebagai pegawai awam kita hendaklah mengelak daripada menunjukkan kelakuan
yang boleh mencemarkan nama baik perkhidmatan awam seperti kurang sopan, malas,
suka memaki-hamun dan sebagainya.
7.4 Contoh Pelanggaran:
(a) terlibat dalam penyalahgunaan dadah;
(b) disabitkan atas kesalahan jenayah /
mahkamah syariah;
(c) berada dalam keterhutangan kewangan yang serius;
(d) sengaja melengahkan kelulusan
permohonan lesen daripada orang ramai;
(e) bersikap kurang sopan seperti mabuk
atau memarahi dan memaki orang ramai yang berurusan di kaunter.
8. Tidak Akan Membawa
Sebarang Bentuk Pengaruh Atau Tekanan Luar Untuk Menyokong Atau Memajukan
Tuntutan Diri Sendiri Atau Pegawai Lain Berhubung Dengan Perkhidmatan Awam
8.1 Sebarang masalah yang dihadapi oleh seseorang pegawai
seharusnya diurus dan diselesaikan mengikut saluran rasmi yang disediakan.
Tidak ada pihak lain yang lebih layak dan sesuai untuk menyelesaikan masalah
yang kita hadapi semasa menjalankan tugas rasmi selain daripada pegawai awam
yang telah diamanahkan dengan tanggungjawab tersebut. Kecekapan dan
keberkesanan perkhidmatan awam banyak bergantung kepada kemampuan pegawainya
menguruskan keperluan dan masalah mereka mengikut saluran yang betul. Dengan
lain perkataan, jentera pentadbiran awam akan berjalan lancar tanpa campur
tangan atau tekanan oleh pihak luar. Penggunaan pengaruh luar juga boleh
memberi gambaran seolah-olah kepimpinan dalam
perkhidmatan awam tidak mampu dan tidak cekap menangani masalah yang
dihadapi oleh warganya. Dengan menggunakan pengaruh luar menunjukkan bahawa
pegawai terbabit tidak mempunyai keyakinan terhadap kemampuan sistem pengurusan
yang terdapat dalam perkhidmatan awam untuk menyelesaikan masalah yang
dihadapinya itu. Walau bagaimanapun tindakan kesatuan membantu mana-mana
anggota perkhidmatan awam yang terkilan dengan sesuatu keputusan yang dibuat
oleh ketua jabatan tidak dianggap sebagai menggunakan pengaruh luar, dengan
syarat tindakan itu dibuat melalui saluran rasmi yang telah disediakan seperti
Majlis Bersama Jabatan (MBJ), Majlis
Bersama Kebangsaan (MBK) dan CUEPACS.
8.2 Contoh Pelanggaran:
(a) meminta orang kenamaan untuk
menggunakan jasa baiknya mempengaruhi Lembaga Kenaikan Pangkat bagi menaikkan
pangkatnya;
(b) meminta bantuan ahli politik untuk
menyokong permohonannya bagi mendapatkan tanah Kerajaan, rumah atau jawatan.
9. Tidak Ingkar Perintah Atau Berkelakuan Dengan Cara Yang
Boleh Ditafsirkan Sebagai Ingkar Perintah
9.1 Arahan
atau perintah merupakan salah satu unsur terpenting dalam pentadbiran sesebuah
organisasi. Setelah sesuatu keputusan dibuat atau dipersetujui, arahan yang
jelas dan khusus adalah perlu untuk memastikan keputusan atau dasar itu
dilaksanakan bertepatan dengan matlamat ianya diputuskan. Pegawai yang diberi
tanggungjawab melaksanakan keputusan atau dasar tersebut sudah pasti tidak mampu melakukannya secara bersendirian tanpa
bantuan pegawai lain. Oleh itu beliau tidak mempunyai pilihan lain kecuali
mengarahkan pegawai bawahannya melaksanakan tugas tersebut. Sekiranya pegawai
yang berkenaan enggan mematuhi perintah yang dikeluarkan, maka pelaksanaan
tugas tersebut sudah pasti akan terjejas. Jika sikap ini tidak dicegah segera melalui tindakan yang
setimpal, ia boleh menghakis kepatuhan pegawai yang lain.
9.2 Dalam konteks ini juga, Kerajaan dari semasa ke semasa ada
mengeluarkan arahan atau garis panduan tertentu melalui undang-undang,
peraturan, pekeliling atau surat pekeliling. Arahan ini bertujuan untuk
memelihara kecekapan perkhidmatan awam dan keadilan kepada semua warganya. Oleh
itu adalah menjadi kewajipan semua pegawai mematuhi arahan tersebut sepenuhnya.
Pegawai yang enggan mematuhinya boleh diertikan sebagai ingkar perintah atau
berkelakuan dengan cara yang boleh ditafsirkan sebagai ingkar perintah.
9.3 Keperluan mematuhi arahan ini amat penting terutamanya di
kalangan pegawai dalam perkhidmatan beruniform yang tugas mereka berkaitan
dengan keselamatan dan ketenteraman negara. Sekiranya terdapat di antara mereka
yang mengingkari perintah ketua atau pegawai atasannya, sudah pasti sesuatu
yang tidak diingini akan berlaku. Soal keselamatan tidak boleh dikompromi.
9.4 Contoh Pelanggaran:
(a) membantah atau melawan pegawai atasan;
(b) membawa keluar fail terperingkat
jabatan tanpa kebenaran ketua jabatan;
(c) keluar negara atas urusan persendirian
tanpa kebenaran Ketua Setiausaha Kementerian;
(e) mengambil bahagian aktif dalam politik
tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam / Ketua Setiausaha
Kementerian.