
MALAYSIA
_____________________________
PEKELILING
PERKHIDMATAN BILANGAN 1 TAHUN 2002
________________________________
PELANTIKAN DAN
PENAMATAN PERKHIDMATAN
PENGERUSI
LEMBAGA DAN KETUA EKSEKUTIF
PIHAK BERKUASA
BERKANUN
1. Pekeliling ini bertujuan menjelaskan
kaedah pelantikan dan penamatan perkhidmatan Pengerusi Lembaga dan Ketua
Eksekutif Pihak Berkuasa Berkanun.
DEFINISI
2. Untuk tujuan Pekeliling ini:
Ketua Eksekutif
ialah pegawai yang dilantik dan diberi kuasa mengetuai pengurusan dan
pentadbiran sesebuah Pihak Berkuasa Berkanun;
Lembaga termasuklah
Lembaga Pengarah, Lembaga Pengurus atau mana-mana entiti yang mempunyai kuasa
membuat keputusan mengenai dasar dan fungsi Pihak Berkuasa Berkanun berkenaan
berdasarkan kawalan dan nasihat Menteri / Menteri Besar / Ketua Menteri;
pegawai awam
bermaksud pegawai awam Persekutuan, pegawai awam negeri, pegawai Pihak Berkuasa
Berkanun (Persekutuan dan Negeri) dan pegawai Pihak Berkuasa Tempatan;
Pengerusi
bermaksud seseorang yang dilantik untuk mengetuai sesebuah Lembaga; dan
Pihak Berkuasa Berkanun
ialah badan berkanun yang menggunakan sistem saraan dan syarat perkhidmatan
yang sama seperti sistem saraan dan syarat perkhidmatan yang berkuatkuasa untuk
pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan.
LATAR BELAKANG
3. Kerajaan telah memutuskan bahawa:
(i)
Pengerusi dan Ketua Eksekutif sesebuah Pihak
Berkuasa Berkanun hendaklah terdiri daripada dua orang yang berlainan dan
dilantik secara berasingan;
(ii)
Pengerusi hendaklah dilantik dan berkhidmat
secara separuh masa;
(iii)
tugas dan tanggungjawab Pengerusi hendaklah
ditumpukan kepada perkara dasar untuk membuat keputusan di peringkat tertinggi,
manakala Ketua Eksekutif pula bertanggungjawab mengendalikan urusan harian dan
bertindak sebagai pelaksana dasar-dasar yang telah ditetapkan oleh Lembaga di samping menganggotai Lembaga sebagai
ahli tetap; dan
(iv)
jawatan Ketua Eksekutif merupakan jawatan
terbuka. Ini bertujuan untuk memberikan lebih fleksibiliti kepada Pihak
Berkuasa Melantik memilih, melantik dan menamatkan perkhidmatan penyandang
jawatan tersebut.
KAEDAH PELANTIKAN
Pengerusi
4. Pengerusi hendaklah dilantik oleh
Menteri / Menteri Besar / Ketua Menteri mengikut peruntukan dalam akta atau
enakmen tubuh Pihak Berkuasa Berkanun berkenaan.
5. Dalam keadaan tertentu dan istimewa
yang memerlukan pelantikan seorang Pengerusi yang memainkan peranan dan
tanggungjawab sebagai Ketua Eksekutif, pelantikan hanya boleh dilakukan setelah
mendapat kelulusan Kerajaan.
Ketua Eksekutif
6. Ketua Eksekutif hendaklah dilantik
mengikut salah satu daripada tiga kaedah berikut:
(i)
dilantik secara pinjaman jika pegawai
yang dipilih terdiri daripada pegawai dari agensi awam yang lain. Prosedur pelantikan
mereka boleh diuruskan mengikut peruntukan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13
Tahun 2000 (PP 13/2000); atau
(ii)
dilantik secara pertukaran sementara jika
pegawai yang dipilih terdiri daripada pegawai Pihak Berkuasa Berkanun itu
sendiri. Pelantikan mereka boleh
diuruskan berpandukan kepada
PP 13/2000; atau
(iii)
dilantik secara kontrak jika calon yang
dipilih bukan pegawai awam.
7. Pengisian jawatan Ketua Eksekutif tidak
boleh dibuat melalui proses kenaikan pangkat atau pelantikan secara tetap.
KAEDAH PENAMATAN PERKHIDMATAN
Pengerusi
8. Penamatan perkhidmatan seseorang
Pengerusi hendaklah diuruskan mengikut dasar yang ditetapkan oleh Kerajaan dari
semasa ke semasa.
Ketua Eksekutif
9. Perkhidmatan Ketua Eksekutif akan
berakhir apabila tempoh perkhidmatan tamat seperti yang ditetapkan dalam syarat
pelantikan. Sekiranya perkhidmatan seseorang Ketua Eksekutif tidak diperlukan
lagi sebelum tamat tempoh yang ditetapkan, Pihak Berkuasa Melantik boleh
menamatkannya mengikut syarat yang dinyatakan dalam surat pelantikan mereka.
Cara penamatan bergantung kepada bentuk perkhidmatan mereka seperti berikut:
(i)
jika pegawai telah dilantik secara pinjaman
atau pertukaran
sementara, mereka hendaklah diarahkan kembali ke perkhidmatan asal
masing-masing mengikut peruntukan PP 13/2000;
(ii)
sekiranya pegawai yang berkhidmat secara
pinjaman atau pertukaran sementara itu telah ditukar tetap, nasihatkan mereka
supaya bersara. Jika pegawai enggan bersara, mereka hendaklah ditempatkan di
jawatan kosong yang lain yang sama grednya dengan gred hakiki mereka. Sekiranya jawatan yang dimaksudkan itu tidak
ada, maka permohonan bolehlah
dikemukakan kepada Bahagian Pembangunan Organisasi, Jabatan Perkhidmatan Awam
supaya:
(a)
diwujudkan satu jawatan yang setaraf dengan gred
hakiki pegawai secara Khas Untuk Penyandang (KUP); atau
(b)
menggunakan mana-mana jawatan lain yang kosong
yang disesuaikan tarafnya dengan gred hakiki pegawai secara KUP; dan
(iii)
bagi pegawai yang dilantik secara kontrak,
perkhidmatan mereka boleh ditamatkan mengikut syarat dalam perjanjian kontrak.
PERTUKARAN TETAP KETUA EKSEKUTIF
10. Pegawai yang menyandang jawatan Ketua
Eksekutif secara pinjaman dan pertukaran
sementara boleh dipertimbangkan oleh Pihak Berkuasa
Melantik untuk dilantik secara pertukaran tetap. Walau bagaimanapun urusan pertukaran tetap hendaklah
dibuat dengan teliti setelah mengambilkira kepentingan organisasi. Tanpa
mengambilkira tempoh pinjaman / pertukaran sementara yang ditetapkan dalam
PP 13/2000, pertukaran tetap boleh dipertimbangkan dengan syarat:
(i)
pegawai telah menyandang jawatan Ketua Eksekutif
secara pinjaman / pertukaran sementara
selama tidak kurang dari enam bulan; dan
(ii)
prestasi pegawai adalah memuaskan.
11. Pihak Berkuasa Melantik boleh
menguatkuasakan pertukaran tetap pegawai pada tarikh semasa tetapi tidak lebih
awal dari tarikh tempoh pinjaman / pertukaran sementara mereka genap enam
bulan.
12. Pegawai berikut tidak layak ditukar tetap
ke jawatan Ketua Eksekutif:
(i)
pegawai yang prestasi kerjanya tidak memuaskan;
(ii)
pegawai yang menyandang jawatan tersebut kurang
dari enam bulan dari tarikh pinjaman / pertukaran sementara mereka
dikuatkuasakan; dan
(iii)
pegawai yang bersara atau dibersarakan mengikut
peruntukan seksyen 10 (5) (d), (e) dan (f) Akta Pencen 1980 (Akta 227) atau
Akta Pencen Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980 (Akta 239).
13. Dengan berkuatkuasanya pelantikan pegawai
secara pertukaran tetap, maka mereka layak menikmati faedah persaraan
berdasarkan kepada gred jawatan Ketua Eksekutif, iaitu sekiranya pegawai telah
memilih skim pencen dan bersara atau dibersarakan semasa berada di gred jawatan
tersebut. Tindakan ini juga membolehkan jawatan asal pegawai diisi secara
hakiki oleh pegawai lain dan jawatan Ketua Eksekutif yang bertaraf jawatan terbuka
itu akan bertukar kepada jawatan tertutup secara KUP selagi ianya disandang
oleh pegawai berkenaan secara pertukaran tetap.
PEWUJUDAN JAWATAN TAMBAHSENTARA
14. Untuk
menjaga hak pencen
pegawai yang menyandang
jawatan Ketua Eksekutif secara pinjaman
atau pertukaran sementara, agensi asal pegawai (agensi pembekal) hendaklah
memohon pewujudan jawatan tambahsentara kepada Bahagian Pembangunan Organisasi,
Jabatan Perkhidmatan Awam. Jawatan tambahsentara itu hendaklah sama grednya
dengan gred hakiki pegawai. Walau
bagaimanapun jawatan tambahsentara tidak perlu diwujudkan jika pegawai berada
dalam Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
PENGISIAN JAWATAN HAKIKI
15. Jawatan
asal pegawai yang
dilantik secara pinjaman
atau pertukaran sementara tidak
boleh diisi secara
hakiki oleh pegawai
lain. Namun, untuk memastikan pelaksanaan tugas jawatan
berkenaan tidak terjejas,
pengisian boleh dibuat sama ada
secara pemangkuan, penanggungan kerja, pinjaman / pertukaran sementara ataupun
pelantikan kontrak atau
sementara, mengikut mana
yang sesuai. Pengisian secara
pemangkuan hendaklah dibuat
bukan dengan tujuan kenaikan pangkat.
KUATKUASA DAN PEMBATALAN
16. Pekeliling ini dikuatkuasakan mulai
tarikh ianya dikeluarkan. Dengan berkuatkuasanya pekeliling ini maka
Pekeliling Perkhidmatan Bil.
2 Tahun 1988 dan Surat
Pekeliling Perkhidmatan Bil. 4 Tahun 1989 adalah dibatalkan.
PEMAKAIAN
17. Oleh kerana dasar, peraturan, kaedah dan
prosedur yang dihuraikan di atas merupakan
satu keputusan Kerajaan, maka
semua Pihak Berkuasa Berkanun Persekutuan
dan Negeri dikehendaki menerima pakai dan
melaksanakan sepenuhnya peruntukan pekeliling ini.
BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

( TAN SRI JAMALUDDIN BIN HAJI AHMAD
DAMANHURI )
Ketua
Pengarah Perkhidmatan Awam
Malaysia
JABATAN
PERKHIDMATAN AWAM
MALAYSIA
PUTRAJAYA
Tarikh :
10 JUN 2002
Semua Ketua Setiausaha
Kementerian
Semua Ketua Jabatan
Persekutuan
Semua Y.B. Setiausaha
Kerajaan Negeri
Semua Pihak Berkuasa Berkanun
Semua Pihak Berkuasa
Tempatan