
KERAJAAN SERI PADUKA
BAGINDA
MALAYSIA
PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 6 TAHUN 2002
IMBUHAN TAHUNAN 2002
TUJUAN
1. Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan melaksanakan keputusan Kerajaan untuk memberi Imbuhan Tahunan kepada anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan bagi tahun 2002.
LATAR BELAKANG
2. Kerajaan telah membuat keputusan supaya Imbuhan Tahunan bagi tahun 2002 dibayar kepada anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan sebagai tanda penghargaan di atas sumbangan dan pengorbanan mereka. Tanpa profesionalisme mereka serta pengurusan pentadbiran yang cekap, negara tidak akan dapat menikmati pertumbuhan ekonomi yang baik. Imbuhan Tahunan ini juga bertujuan mengurangkan beban, terutama mereka yang bergaji rendah untuk perbelanjaan hari-hari perayaan dan persekolahan anak-anak. Kadar yang diputuskan adalah sebanyak satu bulan gaji atau minimum RM1,200.00.
PELAKSANAAN
3. Syarat-syarat pembayaran Imbuhan Tahunan 2002 adalah sama seperti syarat-syarat pembayaran Imbuhan Tahunan 2000 yang dijelaskan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 18 Tahun 2000 dengan dibuat penyesuaian tahun 2000 kepada tahun 2002.
4. Bayaran Imbuhan Tahunan 2002 dibuat berdasarkan gaji bulan Oktober 2002.
5. Anggota yang layak akan dibayar sebanyak separuh daripada kadar Imbuhan Tahunan 2002 pada bulan Oktober dan separuh lagi pada bulan Disember 2002.
JABATAN YANG MEMBAYAR IMBUHAN TAHUNAN
6. Bagi anggota yang berkhidmat di beberapa Jabatan dalam tahun 2002, pembayaran Imbuhan Tahunan adalah menjadi tanggungan Jabatan di mana anggota ditempatkan pada bulan pembayaran.
TARIKH KUATKUASA
7. Pekeliling Perkhidmatan ini berkuatkuasa mulai tarikh ianya dikeluarkan.
PEMAKAIAN
8. Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, Pekeliling Perkhidmatan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.
"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"

(TAN SRI JAMALUDDIN
BIN HAJI AHMAD DAMANHURI)
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Malaysia.
JABATAN PERKHIDMATAN AWAM
MALAYSIA
PUTRAJAYA
28 September 2002
Semua Ketua Setiausaha Kementerian
Semua Ketua Jabatan Persekutuan
Semua Y. B. Setiausaha Kerajaan Negeri
Semua Pihak Berkuasa Berkanun
Semua Pihak Berkuasa Tempatan