KERAJAAN SERI PADUKA BAGINDA
MALAYSIA



PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 14 TAHUN 1999

BAYARAN KHAS PRESTASI 1999


 
 


TUJUAN
 
 

1. Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan melaksanakan keputusan kerajaan untuk memberi Bayaran Khas Prestasi 1999 kepada anggota perkhidmatan awam persekutuan dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan setaraf.
 
 

LATAR BELAKANG
 
 

 2. Kerajaan telah membuat keputusan supaya Bayaran Khas Prestasi bagi tahun 1999 dibayar kepada anggota perkhidmatan awam persekutuan dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan setaraf sebagai tanda penghargaan kerajaan ke atas sumbangan dan khidmat bakti mereka kepada negara. Kadar yang diputuskan adalah sebanyak satu bulan gaji.
 
 

PELAKSANAAN
 
 

Anggota Yang Layak
 
 

3. Bayaran Khas Prestasi dibayar kepada anggota dalam perkhidmatan awam yang berkhidmat pada tahun 1999 iaitu anggota tetap, kontrak dan anggota yang dipinjamkan.

  4. Anggota lain yang layak Bayaran Khas Prestasi adalah anggota yang bercuti separuh gaji termasuk cuti belajar dan anggota yang dikenakan hukuman tatatertib amaran.   Anggota Yang Tidak Layak   5. Anggota yang berkhidmat dalam tahun 1999 tetapi tidak layak Bayaran Khas Prestasi adalah seperti berikut–
 
 
    1. anggota yang mengambil cuti tanpa gaji sepanjang tahun 1999;
    2. anggota yang dikenakan hukuman tatatertib selain daripada amaran dalam tahun 1999;
    3. anggota yang berkhidmat di agensi yang diasingkan pengurusan saraannya;
    4. anggota yang dipinjamkan ke badan-badan antarabangsa dan syarikat swasta sepanjang tahun 1999; dan
    5. anggota yang ditamatkan perkhidmatan demi kepentingan awam atau dibersarakan atas kepentingan perkhidmatan awam dalam tahun 1999.

Anggota Yang Ditangguhkan Pemberian Bayaran Khas Prestasi
 
 

6. Anggota yang ditahan kerja, digantung kerja atau surat pertuduhan telah dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib, ditangguhkan pemberian Bayaran Khas Prestasi. Anggota hanya layak dibayar Bayaran Khas Prestasi sekiranya Pihak Berkuasa Tatatertib mendapati anggota tersebut tidak bersalah atau anggota hanya dikenakan hukuman tatatertib amaran.
 
 

Kaedah Pembayaran

  7. Kadar Bayaran Khas Prestasi adalah sebanyak sebulan gaji. Bayaran Khas Prestasi dibuat secara penuh bagi anggota yang berkhidmat mulai Januari hingga Disember 1999. Bayaran Khas Prestasi penuh adalah berdasarkan gaji bulan Disember 1999.   8. Manakala bagi anggota yang berkhidmat kurang daripada 12 bulan pada tahun 1999, Bayaran Khas Prestasi adalah dibuat secara secara proportionate berdasarkan gaji akhir diterima pada tahun 1999.   9. Bagi tujuan pembayaran Bayaran Khas Prestasi, maksud gaji anggota adalah termasuk Elaun Pemangkuan dan gaji yang diberi atas sebab pinjaman bagi anggota yang dipinjamkan.   10. Anggota yang bersara/ meninggal dunia/ letak jawatan/ tamat perkhidmatan/ tamat kontrak, tempoh perkiraan Bayaran Khas Prestasi secara proportionate adalah mengikut genap satu bulan perkhidmatan berdasarkan gaji akhir yang diterima.   11. Anggota yang dinaikkan pangkat daripada Kumpulan Pengurusan Dan Profesional ke jawatan dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dalam tahun 1999 adalah layak dibayar Imbuhan Tahunan secara proportionate dengan ditolak Bantuan Khas Kewangan 1999, jika berkenaan, bagi tempoh ia dalam Kumpulan Pengurusan Dan Profesional dan Bayaran Khas Prestasi secara proportionate bagi tempoh ia dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi.   12. Anggota yang bersara dalam tahun 1999 dan dilantik semula sebagai anggota kontrak, dibayar Bayaran Khas Prestasi secara proportionate berdasarkan kepada gaji akhir yang diterima sebelum bersara dan gaji atas jawatan kontrak.   13. Anggota yang dinaikkan pangkat/ dipinjamkan/ ditukar sementara pada pertengahan bulan, perkiraan Bayaran Khas Prestasi bagi bulan itu dan tempoh sebelumnya hendaklah dibuat secara proportionate berdasarkan gaji jawatan lama. Bagi tempoh selepas bulan berkenaan perkiraan hendaklah dibuat secara proportionate berdasarkan gaji jawatan baru.   14. Bayaran Khas Prestasi ini tidak boleh diselaraskan jika berlaku pelarasan gaji selepas tahun ini yang melibatkan pindaan gaji anggota pada tahun 1999.   15. Anggota yang layak akan dibayar dalam empat ansuran iaitu maksimum RM400.00 untuk bulan November 1999 dan bakinya dibayar sama rata pada bulan Disember 1999, Januari dan Februari 2000.   JABATAN YANG MEMBAYAR BAYARAN KHAS PRESTASI   16. Bagi anggota yang berkhidmat di beberapa Jabatan, pembayaran ansuran Bayaran Khas Prestasi adalah menjadi tanggungan Jabatan di mana anggota ditempatkan pada bulan pembayaran.   PERUNTUKAN KEWANGAN   17. Pegawai Pengawal adalah diminta berunding dengan Kementerian Kewangan mengenai peruntukan yang diperlukan.   TARIKH KUATKUASA   18. Pekeliling Perkhidmatan ini berkuatkuasa mulai tarikh ianya dikeluarkan.   PEMAKAIAN   19. Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, Pekeliling Perkhidmatan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.
 
 
 
 

"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"

( TAN SRI DATO’ SAMSUDIN BIN OSMAN )

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam

Malaysia.
 
 

 JABATAN PERKHIDMATAN AWAM
MALAYSIA
KUALA LUMPUR
 
 

20 November 1999
 
 

Semua Ketua Setiausaha Kementerian

Semua Ketua Jabatan Persekutuan

Semua Y. B. Setiausaha Kerajaan Negeri

Semua Pihak Berkuasa Berkanun

Semua Pihak Berkuasa Tempatan