KERAJAAN SERI PADUKA BAGINDA
MALAYSIA



PEKELILING PERKHIDMATAN BIL.5 TAHUN 1999


GARIS PANDUAN BAGI PENGURUSAN HARTA INTELEK
YANG DIMILIKI OLEH KERAJAAN DAN AGIHAN SAGUHATI
HASIL PENYELIDIKAN YANG DIKOMERSIALKAN
KEPADA PEGAWAI-PEGAWAI AWAM

 

 

TUJUAN

1. Pekeliling ini bertujuan untuk memaklumkan mengenai garis panduan bagi pengurusan harta intelek yang di miliki oleh Kerajaan dan agihan kadar saguhati yang boleh diterima oleh pegawai awam yang terlibat dalam kerja-kerja penyelidikan dimana hasil-hasil penyelidikan berkenaan telah dikomersialkan.

LATAR BELAKANG

2. Pada masa ini tidak terdapat panduan yang jelas dan seragam tentang bagaimana untuk menguruskan harta intelek yang dimiliki oleh Kerajaan. Di samping itu tidak terdapat dasar yang membenarkan pegawai-pegawai awam yang terlibat dengan kerja-kerja penyelidikan menerima apa-apa pendapatan atau saguhati mengikut kadar-kadar tertentu apabila hasil penyelidikan atau rekacipta mereka dikomersialkan. Keadaan seperti ini tidak dapat meningkatkan dorongan dan minat pegawai-pegawai berkenaan untuk menjalankan kerja-kerja penyelidikan yang boleh menghasilkan ciptaan baru yang menguntungkan negara. Jika ini berterusan ianya akan merugikan negara dan akan menjejaskan usaha Kerajaan untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

3. Hasrat Kerajaan untuk membentuk perkhidmatan awam negara ini yang kreatif, inovatif dan cemerlang bukan sahaja dapat memperbaiki kaedah kerja, mengurangkan kos operasi, menjimatkan masa dan meningkatkan kualiti kerja tetapi juga menghasilkan rekacipta atau teknologi baru. Rekacipta atau teknologi baru ini perlu dikomersialkan agar ianya memberi faedah kepada negara. Di samping itu, mereka yang terlibat menghasilkan rekacipta atau teknologi baru wajar diberi pengiktirafan dan ganjaran di atas usaha-usaha penyelidikan mereka supaya negara dapat melahirkan lebih ramai pegawai penyelidik yang inovatif dan kreatif.

4. Oleh yang demikian adalah wajar diwujudkan satu garis panduan untuk menguruskan harta intelek milik Kerajaan dan menentukan kadar pengagihan ganjaran atau saguhati bagi hasil penyelidikan yang dikomersialkan untuk menjadi dorongan dan insentif kepada pegawai awam dalam usaha-usaha penyelidikan mereka.

5. Dengan keluarnya pekeliling ini kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan tidak lagi perlu membuat permohonan kepada agensi-agensi pusat seperti Perbendaharaan dan juga Jabatan Perkhidmatan Awam memohon kebenaran untuk menjalankan kerja-kerja penyelidikan yang melibatkan imbuhan hasil dari penjualan hasil-hasil ciptaan dan penentuan kadar yang boleh diterima. Ini dijangka akan dapat mengurangkan kerenah birokratik dan meningkatkan lagi usaha-usaha penyelidikan oleh jabatan-jabatan yang berkenaan.

DEFINISI

6. Bagi maksud pekeliling ini melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain-

"harta intelek" ertinya harta dalam hasil kreativiti manusia yang merangkumi pelbagai perkara seperti paten, hakcipta, cap dagangan, rekabentuk dan perkara-perkara serta hak-hak lain yang berkaitan sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang;

"Jawatankuasa Pengurusan Harta Intelek" ertinya Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian atau Ketua Jabatan di peringkat Ibu Pejabat di mana berkenaan dan dianggotai sekurang-kurangnya oleh 3 orang ahli yang dipilih oleh Ketua Jabatan yang pakar dalam bidang harta intelek yang hendak dikomersialkan;

"saguhati" ertinya pemberian yang diberikan kepada pegawai awam dalam apa-apa bentuk yang mempunyai nilai wang daripada pendapatan yang diperolehi daripada harta intelek yang dikomersialkan;

"dikomersialkan" ertinya penjualan sesuatu harta intelek dengan apa-apa cara sekalipun.

PENGURUSAN HARTA INTELEK DAN PENENTUAN HAKMILIK

7. Sesuatu harta intelek yang dimiliki oleh Kerajaan jika ianya sesuai hendaklah didapatkan perlindungan mengikut undang-undang yang berkaitan. Sama ada sesuatu harta intelek itu hendak dilindungi undang-undang perlu ditentu dan diluluskan terlebih dahulu oleh ketua-ketua jabatan dimana kerja-kerja penyelidikan itu dijalankan.

8. Sesuatu harta intelek adalah menjadi hakmilik jabatan, sekiranya:-

  1. dihasil dan dimajukan oleh jabatan;

  2. dimajukan dengan mengguna peruntukan atau kemudahan atau peralatan atau bahan-bahan jabatan; atau

  3. dimajukan tanpa menggunakan peruntukan atau kemudahan atau peralatan atau bahan-bahan jabatan tetapi ianya termasuk dalam bidang tugas rasmi.

9. Di samping itu, sesuatu harta intelek itu boleh menjadi hak milik jabatan sekiranya:-

  1. dihasil dan dimajukan dengan kerjasama pihak luar, di mana ianya ditentukan mengikut syarat-syarat perjanjian di antara kedua-dua pihak; atau

  2. berdasarkan syarat-syarat yang dipersetujui bersama jabatan menghendaki hak milik diserahkan kepadanya walaupun harta intelek itu dihasilkan sendiri oleh pegawai tanpa menggunakan apa-apa peruntukan, peralatan, kemudahan atau bahan-bahan jabatan serta tiada kena mengena dengan tugas-tugas rasminya.

10. Bagi karya-karya yang dilindungi oleh Akta Hakcipta 1987 yang dihasilkan sendiri oleh pegawai tanpa arahan atau kehendak jabatan dan tidak menggunakan peruntukan, kemudahan, peralatan atau bahan-bahan jabatan, walaupun karya-karya tersebut termasuk dalam bidang tugas rasmi pegawai, ianya menjadi hakmilik pegawai.

11. Hak milik terhadap harta intelek yang dinyatakan di para 8 dan 9 akan terus kekal dengan jabatan walaupun pegawai berkenaan tidak lagi berkhidmat dalam perkhidmatan awam kerana apa-apa sebab sekalipun.

JAWATANKUASA PENGURUSAN HARTA INTELEK

12. Bagi tujuan untuk menguruskan harta intelek jabatan hendaklah menubuhkan satu Jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Pengurusan Harta Intelek. Tugas Jawatankuasa ini adalah:-

  1. membuat keputusan sama ada sesuatu harta intelek itu hendak didapatkan perlindungan mengikut undang-undang yang berkaitan;

  2. membuat keputusan sama ada sesuatu harta intelek itu hendak dikomersialkan;

  3. mengenalpasti dan menetapkan pegawai yang terlibat dalam kerja-kerja menghasilkan harta intelek yang berhak menerima bayaran saguhati;

  4. menetapkan kaedah bayaran saguhati; dan

  5. meneliti dan menetapkan syarat-syarat bagi menjaga kepentingan Kerajaan.

PENGAGIHAN SAGUHATI

13. Untuk memberi galakan kepada para penyelidik dan perekacipta maka pendapatan daripada harta intelek yang dikomersialkan hendaklah sebahagiannya diberi dalam bentuk saguhati kepada pegawai atau kumpulan pegawai yang terlibat dalam ciptaan harta intelek tersebut. Pembahagian saguhati bolehlah diasaskan seperti berikut:

  1. 50% "kepada pegawai atau kumpulan pegawai yang terlibat dalam menghasilkan harta intelek tersebut, tertakluk kepada kadar maksima RM30,000.00 sebulan atau RM360,000.00 setahun. Walau bagaimanapun sekiranya bayaran diterima dalam bentuk sekali bayaran maka jumlah maksima yang boleh diterima tidak melebihi RM500,000.00; dan

    50% "kepada Kumpulan Wang Amanah Majlis Penyelidikan dan Kemajuan Sains Negara (MPKSN) yang diuruskan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar.

  2. kadar saguhati di atas adalah bagi setiap satu (1) harta intelek yang dikomersialkan;

  3. saguhati boleh diterima dalam bentuk sekali bayaran atau boleh berterusan selama mana jabatan tersebut menerima bayaran daripada pihak yang membeli atau mengguna harta intelek tersebut, tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Pengurusan Harta Intelek;

  4. sekiranya bayaran saguhati dibayar secara berterusan, pegawai atau kumpulan pegawai boleh terima saguhati itu semasa berkhidmat dengan Kerajaan dan selepas bersara. Walau bagaimanapun, pegawai tidak berhak kepada bayaran saguhati seterusnya sekira ia meletak jawatan atau dibuang kerja atau ditamatkan perkhidmatan.

14. Pendapatan daripada harta intelek yang dikomersialkan boleh juga diberi kepada pegawai atau kumpulan pegawai yang terlibat dalam bentuk pemilikan saham syarikat, mengikut syarat-syarat antara Kerajaan dengan syarikat yang berkenaan yang nilainya semasa perolehan tertakluk kepada kadar saguhati dalam perenggan 13 (i) dan (ii) dan syarat lain dalam perenggan yang berkaitan dengannya.

PENGURUSAN PEMBAYARAN SAGUHATI DAN TERIMAAN BAGI PENDAPATAN HARTA INTELEK

15. Pengurusan pemberian saguhati hendaklah dilaksanakan dengan menggunakan Kumpulan Wang Amanah Majlis Penyelidikan dan Kemajuan Sains Negara (MPKSN) yang dikendalikan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar.

16. Segala pendapatan hasil harta intelek yang dikomersialkan dan apa-apa jenis sumbangan yang berkaitan hendaklah disampaikan kepada Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kumpulan Wang Amanah MPKSN untuk dikreditkan ke dalam Tabung Kumpulan Wang Amanah tersebut.

17. Segala bayaran kepada agensi-agensi Kerajaan atau pegawai-pegawai yang layak menerimanya hendaklah dituntut dari Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar yang bertanggungjawab menguruskan terimaan dan bayaran bagi Kumpulan Wang Amanah MPKSN.

TARIKH KUATKUASA

18. Pekeliling Perkhidmatan ini adalah berkuatkuasa mulai tarikh ianya dikeluarkan.

PEMAKAIAN

19. Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, peruntukan Pekeliling Perkhidmatan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

 

"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"

(TAN SRI DATO' SAMSUDIN BIN OSMAN)
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam,
Malaysia.

 

JABATAN PERKHIDMATAN AWAM
MALAYSIA
KUALA LUMPUR

Tarikh: 1 JULAI 1999

Semua Ketua Setiausaha Kementerian

Semua Ketua Jabatan Persekutuan

Semua Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri

Semua Pihak Berkuasa Berkanun

Semua Pihak Berkuasa Tempatan