KERAJAAN SERI PADUKA BAGINDA
MALAYSIA

PEKELILING PERKHIDMATAN BIL.6 TAHUN 1999

SKIM PERKHIDMATAN PEGAWAI PERKHIDMATAN
PENDIDIKAN LEPASAN DIPLOMA
 
 

TUJUAN

1. Pekeliling ini bertujuan untuk melaksanakan keputusan Kerajaan mengenai skim perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD).
 

LATAR BELAKANG

2. Kerajaan telah menilai semula kelayakan perguruan untuk menjadikan perkhidmatan pendidikan lebih kompetitif, berdayasaing, mampu menarik calon baru dan mengekalkan penyandang sedia ada serta meningkatkan profesionalisma perkhidmatan perguruan.

3. Berikutan penilaian semula tersebut, Kerajaan telah menetapkan kelayakan Diploma Perguruan Malaysia (DPM) dari maktab perguruan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai syarat minimum untuk lantikan ke skim perkhidmatan PPPLD.
 

SKIM PERKHIDMATAN

4. Kerajaan telah bersetuju meluluskan skim perkhidmatan PPPLD di bawah klasifikasi Perkhidmatan Pendidikan. Dengan menetapkan kelayakan masuk minimum ke skim perkhidmatan di atas, maka perbekalan Hadiah Pergerakan Gaji (HPG) tidak lagi diperuntukkan di bawah skim perkhidmatan PPPLD ini.

5. Skim perkhidmatan berkenaan adalah seperti di Lampiran A . Jadual Gaji Baru bagi skim perkhidmatan PPPLD adalah seperti di Lampiran B, Lampiran C dan Lampiran D.

6. Dengan berkuatkuasanya skim perkhidmatan PPPLD ini, maka segala urusan yang melibatkan pemakaian syarat-syarat skim perkhidmatan hendaklah berasaskan syarat-syarat perkhidmatan yang telah ditetapkan di bawah skim ini.

7. Skim perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Bukan Siswazah (PPPBS) yang berkuatkuasa mulai 1 Oktober 1993 yang diedarkan menerusi surat JPA.SULIT 324/10/5 Klt. 2 ( 9 ) bertarikh 28 September 1994 dikekalkan untuk menampung penyandang sedia ada yang menolak opsyen memasuki skim perkhidmatan PPPLD ini dan juga menyediakan ruang kemajuan kerjaya kepada PPPBS Gred DG8 (KUP) yang belum layak dilantik sebagai PPPBS Gred DG6.
 

PELAKSANAAN

Pemberian Opsyen

8. Pelaksanaan skim perkhidmatan PPPLD ini dibuat melalui pemberian opsyen dan pilihan yang dibuat adalah muktamad. PPPBS adalah diberi tempoh 3 bulan bermula dari 1 Julai 1999 untuk membuat opsyen sama ada menerima atau menolak tawaran opsyen ini. PPPBS yang tidak membuat sebarang opsyen atau gagal mengembalikan borang opsyen dalam tempoh yang ditetapkan tanpa sebarang sebab yang munasabah akan dianggap sebagai telah tidak memilih untuk memasuki skim perkhidmatan PPPLD ini. Walau bagaimana pun, mereka akan kekal di bawah skim perkhidmatan PPPBS secara Khas Untuk Penyandang (KUP) dan boleh dipertimbangkan kenaikan pangkat mengikut skim perkhidmatan berkenaan dengan syarat apabila dinaikkan pangkat anggota itu adalah tertakluk kepada syarat-syarat perkhidmatan di bawah skim perkhidmatan PPPLD mulai tarikh kenaikan pangkatnya.

9. Tawaran opsyen ini juga hendaklah diberi kepada PPPBS yang berada dalam keadaan berikut :-
 
                9.1. dipinjamkan atau ditukarkan sementara;

                9.2. sedang bercuti;

                9.3. tidak hadir bertugas semasa opsyen dikeluarkan dan berkuatkuasa;

                9.4. sedang dalam proses tindakan tatatertib ; dan
 
                9.5. sedang menjalani hukuman tatatertib selain daripada hukuman buang kerja.
 

10. PPPBS yang sedang dalam proses tindakan tatatertib, jika sabit kesalahannya dan dijatuhi hukuman buang kerja dalam tempoh opsyen, maka tawaran opsyen tersebut dengan sendirinya terbatal.

11. Tawaran opsyen ini tidak akan diberi kepada PPPBS yang bertaraf sementara, sandaran atau kontrak.

12. Sekiranya surat tawaran opsyen tidak dapat disampaikan, termasuk kepada mereka yang berada dalam keadaan seperti di perenggan 9, Kementerian Pendidikan Malaysia boleh menawarkan surat tawaran opsyen dengan memberikan tempoh yang sama (3 bulan) untuk membolehkan mereka membuat pilihan, walaupun tempoh opsyen asal telah tamat.

13. PPPBS Gred DG6 yang belum memenuhi syarat berkhidmat genap tiga (3) tahun layak diberi opsyen dengan menggunakan borang opsyen khas.
 

Kaedah Pelarasan

14. Kaedah pelarasan penyandang ke skim perkhidmatan PPPLD ditetapkan seperti berikut:-

            14.1. anggota yang memiliki kelayakan DPM dilantik terus ke skim perkhidmatan
                     PPPLD di atas gaji permulaan Gred DGA6 P1T1 : RM917;

            14.2. anggota yang memiliki kelayakan di peringkat diploma di dalam bidang
                     tertentu yang diiktiraf oleh Kerajaan sebagai setaraf dengan diploma biasa dari
                     IPTA serta Sijil Kursus Perguruan Lepas Diploma (KPLD) akan dilantik terus
                     ke skim perkhidmatan PPPLD dengan gaji permulaan pada Gred DGA6
                     P1T3 : RM1003;

            14.3. anggota yang memiliki kelayakan Diploma Kejuruteraan atau Pertanian dari
                     IPTA atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan serta Sijil
                     KPLD akan dilantik terus ke skim perkhidmatan PPPLD dengan
                     gaji permulaan pada Gred DGA6 P1T4 : RM1046;

            14.4. PPPBS Gred DG6 dengan kelulusan SPM/STPM serta Sijil Asas Perguruan
                     yang telah berkhidmat genap tiga (3) tahun pada 1 Julai 1999 dan berada
                     sekurang-kurangnya di atas matagaji T4 serta matagaji mereka belum
                     mencapai RM917 hendaklah diselaraskan ke mata gaji DPM (RM917).
                     Tempoh berkhidmat selama 3 tahun yang boleh dimasukira hendaklah dalam
                     perkhidmatan tetap, tidak termasuk tempoh cuti tanpa gaji;

            14.5. PPPBS Gred DG6 yang pada 1 Julai 1999 berada di antara mata gaji P1T4
                     (RM754), P2T4 (RM796), P3T4 (RM849) hingga P1T7 (RM874), P2T7
                     (RM931), P3T7 (RM990) Gred DG6 diselaraskan ke mata gaji dalam gred gaji
                     baru DGA6 mengikut peringkat mata gaji yang berkenaan mulai 1 Julai 1999
                     seperti di Lampiran E, Lampiran F dan Lampiran G.

            14.6. PPPBS Gred DG6 yang berada di atas mata gaji DPM (RM917) atau di atas
                     mata gaji yang lebih tinggi seperti P1T8 (RM917), P2T8 (RM976), P3T8
                     (RM1037) hingga P1T28 (RM1865), P2T28 (RM1991), P3T28 (RM2121)
                     Gred DG6 pada 1 Julai 1999 diselaraskan ke mata gaji dalam gred gaji baru
                     DGA6 mengikut peringkat gaji masing-masing ke satu mata gaji tinggi
                     berhampiran. Sifir pelarasan gaji adalah seperti di Lampiran H, Lampiran I
                     dan Lampiran J;

            14.7. PPPBS Gred DG6 yang berada di matagaji maksimum pada tarikh kuatkuasa
                     skim perkhidmatan PPPLD akan dipindahkan ke matagaji KUP. PPPBS Gred
                     DG6 yang berada di mata gaji maksimum P1, P2 atau P3 pada 1 Julai 1999
                     sifir pelarasan gaji mereka adalah seperti di Lampiran K. Sifir pelarasan gaji
                     ini hanya khas untuk penyandang yang berada di mata gaji maksimum semasa
                     pelaksanaan skim PPPLD ini sahaja. Sifir pelarasan gaji ini tidak boleh
                     digunakan bagi maksud pemberian pergerakan gaji mengikut prestasi;

            14.8. PPPBS Gred DG6 yang belum memenuhi syarat berkhidmat genap tiga (3)
                     tahun seperti dinyatakan di perenggan (13) akan hanya dipindahkan ke
                     matagaji Gred DGA6 P1T1 sehari selepas perkhidmatan mereka genap 3 tahun
                     dan berada sekurang-kurangnya di atas matagaji T4 Gred DG6. Mereka akan
                     dikekalkan di atas Gred DG6 secara KUP sehingga memenuhi syarat tersebut;
                     dan

            14.9. PPPBS Gred DG6 yang memiliki kelayakan di peringkat diploma
                     biasa/diploma iktisas dari IPTA, PPPBS Gred DG5 dan PPPBS Gred DG4
                     pada tarikh kuatkuasa pekeliling ini akan dipindahkan terus ke gred gaji
                     DGA6,DGA5 dan DGA4 tanpa melibatkan pelarasan gaji.
 

Tarikh Pergerakan Gaji

15. Tarikh Pergerakan Gaji (TPG) asal bagi PPPBS Gred DG6 yang terlibat dengan pelarasan gaji ke dalam skim perkhidmatan PPPLD hendaklah diubah kepada satu TPG baru pada tahun berikutnya selepas pelaksanaan pelarasan gaji yang berkuatkuasa mulai 1 Julai 1999. TPG baru ialah 1 Julai tahun berikutnya.

16. PPPBS Gred DG6 yang TPG asal sama dengan tarikh kuatkuasa skim perkhidmatan PPPLD ini hendaklah diberi pergerakan gaji tahunan mengikut keputusan Panel Penyelarasan Penilaian Prestasi dan Pergerakan Gaji (PPG) terlebih dahulu sebelum diberi pelarasan gaji baru dalam skim perkhidmatan PPPLD.

17. PPPBS Gred DG6 yang TPG asal pada 1 Oktober 1999 hendaklah diawalkan pergerakan gaji pada 1 Julai 1999 sebelum diberi pelarasan gaji dalam skim perkhidmatan PPPLD. TPG baru bagi mereka ialah pada 1 Julai tahun berikutnya.

18. PPPBS Gred DG6 yang belum memenuhi syarat untuk menerima faedah pelarasan gaji baru sepertimana dinyatakan di perenggan (14.8), selepas diselaraskan TPG mereka akan berubah kepada tarikh ulang tahun pelarasan gaji mereka ke Gred DGA6 P1T1 :RM917 mengikut salah satu daripada empat tarikh pergerakan gaji dalam setahun, iaitu, 1 Januari, 1 April, 1 Julai atau 1 Oktober.

19. PPPBS Gred DG6 yang memiliki kelayakan di peringkat diploma biasa/diploma iktisas dari IPTA pada tarikh kuatkuasa Pekeliling Perkhidmatan ini, PPPBS Gred DG5 dan PPPBS Gred DG4 selepas dipindahkan ke skim perkhidmatan baru TPG mereka tidak berubah.
 

Kaedah Pelaksanaan

20. Bagi melaksanakan skim perkhidmatan PPPLD ini, Kementerian Pendidikan Malaysia, Ketua Jabatan dan Anggota yang terlibat hendaklah mematuhi kaedah yang ditetapkan seperti berikut:-

        20.1.      Kementerian Pendidikan Malaysia

        i.            mengedarkan surat tawaran opsyen pertukaran ke skim perkhidmatan PPPLD
                      kepada Ketua Jabatan yang berkenaan. Contoh surat tawaran opsyen skim
                      perkhidmatan PPPLD, borang opsyen dan surat akuan penerimaan oleh Ketua
                      Jabatan adalah seperti di Lampiran Ldan Lampiran M.

        ii.           mengedarkan surat tawaran opsyen pertukaran ke skim perkhidmatan PPPLD
                      kepada Ketua Jabatan yang berkenaan khusus kepada anggota yang belum
                      memenuhi syarat untuk bertukar ke skim perkhidmatan PPPLD dengan
                      menggunakan borang opsyen khas. Contoh surat tawaran opsyen dan surat
                      akuan penerimaan oleh Ketua Jabatan adalah seperti di Lampiran N dan
                      Lampiran O.

        20.2.      Ketua Jabatan

        i.            memberi penjelasan secara terperinci mengenai opsyen kepada anggota yang
                      terlibat dan implikasi keputusan yang dibuat;

        ii.           menyedia dan menyampaikan surat tawaran opsyen kepada anggota yang
                      terlibat;

        iii.          mengemaskini kenyataan perkhidmatan anggota yang terlibat selaras dengan
                      perubahan-perubahan berkaitan.

        iv.          melaporkan kepada Bahagian Saraan, Jabatan Perkhidmatan Awam mengenai
                      implikasi kewangan yang terlibat dalam melaksanakan urusan ini dengan
                      menggunakan borang seperti di Lampiran P.

        20.3.      Anggota

        i.            membaca dengan teliti serta faham mengenai opsyen sebelum membuat
                      keputusan. Sebarang opsyen yang dibuat adalah muktamad. Anggota
                      dikehendaki melengkapkan 4 (empat) salinan borang opsyen iaitu, satu
                      salinan untuk Kementerian Pendidikan Malaysia, satu salinan untuk Ketua
                      Jabatan, satu salinan untuk fail peribadi dan satu salinan untuk simpanan
                      pegawai; dan

        ii.           membuat pilihan dalam tempoh tiga (3) bulan mulai dari 1 Julai 1999.
 

TARIKH KUATKUASA

21. Pekeliling Perkhidmatan ini berkuatkuasa mulai 1 Julai 1999.
 

PEMAKAIAN

22. Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, peruntukan Pekeliling Perkhidmatan ini pada keseluruhannya boleh dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Negeri dan Pihak Berkuasa Berkanun.

 

"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"
 

  

(TAN SRI DATO' SAMSUDIN BIN OSMAN)

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam,
Malaysia.
 

JABATAN PERKHIDMATAN AWAM
MALAYSIA
KUALA LUMPUR

1 Julai 1999.

Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Malaysia
Semua Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri,
Semua Pihak Berkuasa Berkanun
Setiausaha, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan.