KERAJAAN SERI PADUKA BAGINDA
MALAYSIA
 

PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 8 TAHUN 1999

BAYARAN INSENTIF TUGAS PENGURUSAN STOR
 
 

TUJUAN

1.     Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan melaksanakan keputusan Kerajaan untuk memberi insentif kepada
        Pembantu  Tadbir (Perkeranian/Operasi) PT(P/O) yang menjalankan tugas dalam bidang pengurusan
        stor.
 

LATAR BELAKANG

2.     Kerajaan telah memutuskan untuk memberi Bayaran Insentif Tugas Pegurusan Stor (BITPS) kepada
        PT(P/O) yang menjalankan tugas dalam bidang pengurusan stor. Keputusan Kerajaan membayar BITPS
        adalah sebagai galakan kepada PT(P/O) untuk meningkatkan kecekapan dan kemahiran dalam bidang
        pengurusan stor.
 

PELAKSANAAN

Kelayakan

3.     PT(P/O) yang layak dibayar BITPS adalah mereka yang menjalankan tugas pengurusan stor sepenuh
        masa dalam bidang berikut –

                               a.    kawalan stok; dan

                                b.    penstoran;

4.    Tugas yang terlibat dengan bidang pengurusan stor di perenggan 3 di atas adalah seperti di Lampiran A.
        Penjelasan lanjut berhubung dengan bidang tugas berkenaan boleh dirujuk kepada Bahagian
        Pengurusan Perolehan Kerajaan, Perbendaharaan Malaysia.

5.    PT(P/O) yang dilantik secara kontrak dan sementara yang menjalankan tugas pengurusan stor sepenuh
       masa dalam bidang seperti yang dinyatakan di perenggan 3 juga layak dibayar BITPS.
 

KADAR

6.    BITPS dibayar di atas kadar berikut –

                                a.    RM40.00 sebulan kepada PT(P/O) yang tidak mempunyai sijil; dan

                                b.    RM80.00 sebulan kepada PT(P/O) yang mempunyai sijil.

7.    Bagi tujuan memperolehi sijil, PT(P/O) perlu menduduki dan lulus peperiksaan yang dikendalikan oleh
       Bahagian Pengurusan Perolehan Kerajaan, Perbendaharaan Malaysia.
 

PERATURAN

8.    PT(P/O) yang dibayar BITPS tetapi meninggalkan tugasnya selama 28 hari dan lebih secara berturut-turut
       tidak layak dibayar bayaran insentif berkenaan bagi tempuh tersebut. Walau bagaimanapun,
       pengecualian diberi kepada mereka yang meninggalkan tugasnya bagi tempuh yang tidak melebehi 92
       hari berturut-turut termasuk hari kelepasan mingguan dan kelepasan am, dalam keadaan berikut –

                                a.    Menghadiri kursus yang diarahkan oleh Ketua Jabatan;

                                b.    Menjalankan tugas rasmi atas arahan Ketua Jabatan; dan

                                c.    Bercuti sakit yang disokong oleh sijil sakit mengikut Perintah Am Bab ‘C’.

9.    BITPS dibayar secara proportionate bagi PT(P/O) yang tidak bertugas genap sebulan.
 

TARIKH KUATKUASA

10.   Pekeliling Perkhidmatan ini berkuatkuasa mulai 1 Mei 1999.
 

PEMAKAIAN

11.   Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, Pekeliling Perkhidmatan ini pada
         keseluruhannya  dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan
         Pihak Berkuasa Tempatan.
 
 

"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"

 

 
( TAN SRI DATO’ SAMSUDIN BIN OSMAN )

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Malaysia.

 
JABATAN PERKHIDMATAN AWAM
MALAYSIA
KUALA LUMPUR

18 Ogos 1999
 

Semua Ketua Setiausaha Kementerian
Semua Ketua Jabatan Persekutuan
Semua Y. B. Setiausaha Kerajaan Negeri
Semua Pihak Berkuasa Berkanun
Semua Pihak Berkuasa Tempatan