JPA(S)324/14/24-1 Klt.11 ( 16 )  Siri No.

 

KERAJAAN SERI PADUKA BAGINDA
MALAYSIA

____________________________

PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 9 TAHUN 1999

____________________________

PINDAAN SKIM-SKIM PERKHIDMATAN
JURURAWAT PERGIGIAN GRED U8 DAN
JURUTEKNIK PERGIGIAN GRED U8

 

 

TUJUAN

1. Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan untuk meminda skim-skim perkhidmatan Jururawat Pergigian Gred U8 dan Juruteknik Pergigian Gred U8 yang dilaksanakan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil. 9 Tahun 1991.

 

LATAR BELAKANG

2. Kerajaan telah mengiktiraf kelayakan-kelayakan Sijil Jururawat Pergigian dan Sijil Teknologi Pergigian setaraf dengan Diploma. Selaras dengan keputusan tersebut, beberapa perbekalan dalam skim-skim perkhidmatan berkenaan dipinda sewajarnya sesuai dengan pengiktirafan tersebut.

 

PINDAAN

3. Skim-skim perkhidmatan Jururawat Pergigian dan Juruteknik Pergigian yang berkuatkuasa sekarang dipinda seperti berikut:-

(i) perbekalan di perenggan 1(c)(ii) skim-skim berkenaan ditambah dengan memasukkan peruntukan "(Gaji permulaan ialah pada gred U8: P1T6)";

(ii) lapisan gred ditambah dari 3 lapisan U8, U7 dan U6 menjadi 5 yang meliputi gred-gred tambahan U5, dan U4; dan

(iii) nama skim perkhidmatan Jururawat Pergigian dikekalkan, manakala nama skim perkhidmatan Juruteknik Pergigian ditukar kepada Juruteknologi Pergigian.

Skim-skim perkhidmatan Jururawat Pergigian dan Juruteknologi Pergigian yang baru ialah seperti di Lampiran 'A' dan 'A1'.

 

TARIKH KUATKUASA

4. Tarikh kuatkuasa skim-skim perkhidmatan Jururawat Pergigian dan Juruteknologi Pergigian yang baru ini ialah mulai 1 Julai 1996. Anggota yang dilantik ke skim-skim perkhidmatan berkenaan mulai 1 Januari 1999 hendaklah ditawarkan gaji permulaan P1T6 Gred U8.

 

PELAKSANAAN

5. Anggota yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan diselaraskan ke gaji permulaan mengikut kaedah-kaedah berikut:-

5.1. Lantikan baru bagi anggota yang memiliki kelayakan Sijil Jururawat Pergigian dan Sijil Juruteknologi Pergigian ke perkhidmatan-perkhidmatan berkenaan mulai 1 Januari 1999 diberi gaji permulaan P1T6 Gred U8.

5.2. Penyandang Jururawat Pergigian dan Juruteknik Pergigian Gred U8 yang berkhidmat tidak kurang daripada 3 tahun pada 1 Julai 1996 dan berada di matagaji P1T5 atau P2T5 atau P3T5 dan ke bawah hendaklah diselaraskan ke matagaji permulaan baru P1T6 atau P2T6 atau P3T6 Gred U8 mengikut mana yang berkenaan mulai 1 Julai 1996. Tarikh Pergerakan Gaji (TPG) mereka hendaklah berubah ke tahun berikutnya mengikut tarikh ulang tahun diberi pelarasan gaji, iaitu 1 Julai.

5.3. Penyandang Jururawat Pergigian dan Juruteknik Pergigian Gred U8 yang berkhidmat kurang daripada 3 tahun pada 1 Julai 1996 dan telah menghadiri dengan jayanya kursus peningkatan boleh diselaraskan ke gaji P1T6 Gred U8 mengikut tarikh yang ditetapkan oleh Panel Program Peningkatan ke Skim Diploma Jururawat Pergigian dan Juruteknologi Pergigian Kementerian Kesihatan Malaysia tetapi tidak lebih awal daripada tarikh tamat kursus.

5.4. Penyandang Jururawat Pergigian dan Juruteknik Pergigian Gred U8 yang masih dalam tempoh percubaan atau telah dilanjutkan tempoh percubaan sama ada berdenda atau tanpa berdenda juga diselaraskan ke gaji permulaan P1T6 Gred U8. Bagi Penyandang yang dilanjutkan tempoh percubaan dengan berdenda tarikh pergerakan gajinya berubah mengikut tarikh ulang tahun pengesahan dalam perkhidmatan tahun berikutnya. Manakala penyandang yang dilanjutkan tempoh percubaan tanpa berdenda tarikh pergerakan gaji berubah mengikut tarikh ulang tahun kuatkuasa pelarasan skim iaitu pada 1 Julai.

5.5. Penyandang Jururawat Pergigian dan Juruteknik Pergigian Gred U8 yang telah berada di matagaji P1T6, P2T6 atau P3T6 dan ke atas pada tarikh kuatkuasa, tidak terlibat dalam pelarasan gaji ke skim perkhidmatan yang baru ini.

 

6. Dalam melaksanakan urusan ini pergerakan gaji yang diputuskan oleh Panel Penyelarasan Penilaian Prestasi dan Pergerakan Gaji (PPG) pada tahun 1996 dikekalkan pada tarikh gaji asal (TPG asal). Tarikh pergerakan gaji seterusnya akan berubah pada tarikh ulang tahun kuatkuasa pelarasan skim ini iaitu pada 1 Julai. Contoh bagi menjelaskan kaedah pelaksanaan pelarasan ke gaji permulaan baru Gred U8 bagi penyandang yang terlibat adalah seperti di Lampiran'B'.

7. Skim-skim perkhidmatan yang terlibat dengan pindaan-pindaan ini hanya terpakai kepada anggota yang telah memilih terima opsyen Sistem Saraan Baru (SSB). Anggota yang telah menolak tawaran opsyen SSB adalah kekal dalam skim perkhidmatan dan syarat perkhidmatan Laporan Jawatankuasa Kabinet (JKK). Walau bagaimanapun apabila dinaikkan pangkat mengikut skim perkhidmatan berkenaan, anggota tersebut hendaklah tertakluk kepada skim perkhidmatan dan syarat perkhidmatan SSB mulai tarikh kenaikan pangkatnya.

 

PEMBATALAN

8. Dengan berkuatkuasanya Pekeliling Perkhidmatan ini, maka skim-skim Perkhidmatan Jururawat Pergigian dan Juruteknologi Pergigian yang berkuatkuasa pada 1 Januri 1992 melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil. 9 tahun 1991 adalah dibatalkan.

 

 

PEMAKAIAN

9. Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, peruntukan pekeliling ini dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

 

 

"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"

 

 

(TAN SRI DATO' SAMSUDIN BIN OSMAN)

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Malaysia

 

JABATAN PERKHIDMATAN AWAM
MALAYSIA
KUALA LUMPUR

September 1999

Semua Ketua Setiausaha Kementerian
Semua Ketua Jabatan Persekutuan
Semua Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri
Semua Pihak Berkuasa Berkanun
Semua Pihak Berkuasa Tempatan