SPP22001

 

KERAJAAN SERI PADUKA BAGINDA

MALAYSIA

______________________________________________

SURAT PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 2 TAHUN 2001

_______________________________________________

 

PERTUKARAN PELANTIKAN ANGGOTA DALAM SKIM PERKHIDMATAN MATA-MATA DAN PEGAWAI RENDAH PASUKAN SENOI PRAAK KE SKIM PERKHIDMATAN PEGAWAI RENDAH POLIS DAN KONSTABEL ORANG ASLI

 

TUJUAN

1.    Surat Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan untuk melaksanakan keputusan kerajaan supaya anggota dalam skim perkhidmatan Mata-mata dan Pegawai Rendah Pasukan Senoi Praak Gred YS10, YS9, YS8, YS7, YS6 ditukar lantik ke skim perkhidmatan Pegawai Rendah Polis dan Konstabel Orang Asli Gred YP11, YP10, YP9, YP8, YP7, YP6 mulai 1 Januari 2001.

LATAR BELAKANG

2.    Skim perkhidmatan Mata-mata dan Pegawai Rendah Pasukan Senoi Praak telah dijumudkan semasa pelaksanaan Sistem Saraan Baru (SSB). Sehubungan itu kerajaan telah mengkaji kedudukan semasa perkhidmatan ini dan seterusnya bersetuju supaya anggota yang terlibat ditukar lantik ke skim perkhidmatan Pegawai Rendah Polis dan Konstabel Orang Asli untuk menyediakan peluang kemajuan kerjaya.

PELAKSANAAN

3. Syarat-syarat pertukaran pelantikan Mata-mata dan Pegawai Rendah Pasukan Senoi Praak ke Pegawai Rendah Polis dan Konstabel Orang Asli adalah seperti berikut:-

a. tamat darjah 6 sekolah rendah bantuan penuh kerajaan ; atau
b. jika tidak memiliki kelayakan seperti di perenggan 3(a) di atas hendaklah berkhidmat sekurang-kurangnya 6 tahun dalam perkhidmatan sekarang.

4.    Pertukaran pelantikan ini akan dijalankan mengikut pangkat anggota ke pangkat yang sama dalam skim perkhidmatan Pegawai Rendah Polis dan Konstabel Orang Asli.

OPSYEN

5. Pelaksanaan urusan ini dibuat melalui pemberian opsyen dan pilihan yang dibuat adalah muktamad. Anggota yang layak dalam skim perkhidmatan Mata-mata dan Pegawai Rendah Pasukan Senoi Praak diberi tempoh 30 hari dari tarikh surat tawaran untuk membuat opsyen sama ada menerima atau menolak tawaran opsyen ini. Anggota yang tidak membuat sebarang opsyen atau gagal mengembalikan borang opsyen dalam tempoh yang ditetapkan tanpa sebab yang munasabah atau membuat opsyen dengan bersyarat akan dianggap sebagai tidak bersetuju untuk ditukar lantik ke skim perkhidmatan Pegawai Rendah Polis dan Konstabel Orang Asli. Mereka akan kekal dalam skim perkhidmatan sekarang secara Khas Untuk Penyandang (KUP) sehingga meninggalkan perkhidmatan.

6.    Tawaran opsyen ini hanya diberi kepada anggota yang bertaraf tetap dalam skim perkhidmatan Mata-mata dan Pegawai Rendah Pasukan Senoi Praak dan telah memilih opsyen SSB. Anggota lantikan sementara/kontrak/sambilan tidak diberi opsyen ini.

7.    Bagi maksud urusan pemberian opsyen, contoh Surat Tawaran, Peraturan dan Syarat-syarat Pertukaran Pelantikan dan Borang Opsyen adalah seperti di Lampiran-lampiran A, A1 dan A2.

KAEDAH PELARASAN GAJI

8.    Kaedah pelarasan gaji anggota dalam skim perkhidmatan Mata-mata dan Pegawai Rendah Senoi Praak Gred YS10, YS9, YS8, YS7, YS6 ke skim perkhidmatan Pegawai Rendah Polis dan Konstabel Orang Asli Gred YP11, YP10, YP9, YP8, YP7, YP6 mengikut pangkat yang sama pada tarikh kuatkuasa tukar lantik adalah seperti berikut :-

a. gaji anggota diselaras ke mata gaji tertinggi berhampiran mengikut Peringkat gaji Gred YP11, YP10, YP9, YP8, YP7, YP6 dalam tangga gaji jawatan baru sekiranya gaji jawatan lama adalah sama atau lebih tinggi daripada gaji permulaan dalam jawatan baru; dan
b. anggota yang berada di mata gaji maksimum mengikut Peringkat gaji pada tarikh kuatkuasa tukar lantik dan mendapati gaji sekarang tidak dapat ditampung oleh mata gaji maksimum Gred YP11, YP10, YP9, YP8, YP7, YP6 dalam skim perkhidmatan barunya, maka sifir-sifir pemindahan gaji KUP hendaklah dipohon dari Bahagian Saraan, Jabatan Perkhidmatan Awam.

TARIKH PERGERAKAN GAJI

9.    Tarikh Pergerakan Gaji (TPG) asal bagi anggota yang terlibat dalam urusan ini hendaklah diubah kepada satu TPG baru pada tahun berikutnya selepas pelaksanaan pelarasan gaji. TPG baru ialah mulai 1 Januari tahun berikutnya.

KAEDAH PELAKSANAAN PERGERAKAN GAJI TAHUN 2001

Pergerakan Gaji Lama Sama Dengan Tarikh Kuatkuasa

10.    Anggota terlibat yang TPG asalnya sama dengan tarikh kuatkuasa urusan ini hendaklah diselaraskan gajinya ke matagaji tertinggi berhampiran mengikut Peringkat gaji dalam tanggagaji skim perkhidmatan Pegawai Rendah Polis dan Konstabel Orang Asli terlebih dahulu. Apabila keputusan Panel Penilaian Prestasi dan Pergerakan Gaji (PPG) tahun 2001 diumumkan, anggota yang berkenaan diberi pergerakan gaji tahunan dan diselaraskan gaji mengikut keputusan PPG pada 1 Januari 2001. Contoh pelarasan gaji adalah seperti di Lampiran B.

Pergerakan Gaji Lama Tidak Sama Dengan Tarikh Kuatkuasa

11.    Anggota yang TPG asalnya ialah pada 1 April 2001, 1 Julai 2001 dan 1 Oktober 2001 hendaklah juga diselaraskan gajinya ke matagaji tertinggi berhampiran mengikut Peringkat gaji dalam tanggagaji skim perkhidmatan Pegawai Rendah Polis dan Konstabel Orang Asli terlebih dahulu. Apabila keputusan Panel Penilaian Prestasi dan Pergerakan Gaji (PPG) tahun 2001 diumumkan, anggota yang berkenaan diberi pergerakan gaji tahunan dan diselaraskan gaji mengikut keputusan PPG pada 1 Januari 2001. Contoh pelarasan gaji adalah seperti di Lampiran-lampiran C, C1, C2, C3 dan C4.

KAEDAH PELAKSANAAN OPSYEN

12. Bagi melaksanakan urusan ini, Pihak Berkuasa Melantik/Ketua Perkhidmatan/Jabatan dan anggota yang terlibat hendaklah mematuhi kaedah yang ditetapkan seperti berikut:-

a. Pihak Berkuasa Melantik berkenaan melalui Ketua Perkhidmatan/ Jabatan hendaklah mengedarkan surat tawaran opsyen kepada anggota yang terlibat;
b. Ketua Jabatan hendaklah memberi penjelasan secara terperinci mengenai opsyen kepada anggota yang terlibat dan implikasi keputusan yang dibuat;
c. Ketua Jabatan hendaklah mengemukakan permohonan ke Bahagian Pembangunan Organisasi, Jabatan Perkhidmatan Awam bagi urusan pewujudan jawatan Pegawai Rendah Polis dan Konstabel Orang Asli bagi menampung pelantikan di bawah urusan ini;
d. anggota yang terlibat hendaklah membaca dengan teliti dan faham mengenai opsyen sebelum membuat keputusan. Jika terdapat sebarang keraguan, anggota hendaklah merujuk kepada Ketua Jabatan untuk mendapat penjelasan selanjutnya. Sebarang opsyen yang dibuat adalah muktamad;
e. anggota hendaklah membuat pilihan dalam tempoh 30 hari mulai tarikh surat tawaran; dan
f. anggota yang tidak menerima opsyen ini akan kekal dalam perkhidmatan Mata-mata dan Pegawai Rendah Pasukan Senoi Praak secara Khas Untuk Penyandang (KUP) sehingga meninggalkan perkhidmatan.

TARIKH KUATKUASA

13. Surat Pekeliling Perkhidmatan ini berkuatkuasa mulai 1 Januari 2001.

PEMAKAIAN

14.    Surat Pekeliling Perkhidmatan ini terpakai untuk pasukan Polis Diraja Malaysia sahaja.


" BERKHIDMAT UNTUK NEGARA "

(DATO’ SERI JAMALUDDIN BIN HJ. AHMAD DAMANHURI)
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Malaysia.
JABATAN PERKHIDMATAN AWAM
MALAYSIA
PUTRAJAYA

Oktober 2001

Setiausaha Suruhanjaya Pasukan Polis

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri

Ketua Polis Negara