KERAJAAN SERI PADUKA BAGINDA

MALAYSIA

 

_____________________________

 

SURAT PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN  3 TAHUN 2001

_____________________________

 

PERTUKARAN PELANTIKAN  ANGGOTA DALAM SKIM

PERKHIDMATAN JUMUD KEPADA SKIM  PERKHIDMATAN

SISTEM SARAAN BARU (SSB) YANG TIDAK JUMUD

 

 

TUJUAN

 

1.                  Surat Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan untuk melaksanakan keputusan kerajaan supaya anggota-anggota dalam skim perkhidmatan jumud yang tiada peruntukan Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) ditukar lantik  kepada skim perkhidmatan SSB yang tidak jumud.

 

LATAR BELAKANG

 

2.         Jabatan Perkhidmatan Awam telah mengkaji semula semua skim perkhidmatan jumud yang tiada KPSL bagi membuka peluang kemajuan kerjaya kepada anggota dalam skim perkhidmatan tersebut.  Dengan itu, kerajaan telah bersetuju, di mana berkenaan, supaya anggota terlibat ditukar lantik ke skim perkhidmatan yang tidak jumud yang bersesuaian. 

 

 

SKIM PERKHIDMATAN JUMUD YANG

MENDAPAT FAEDAH DALAM URUSAN INI

 

 

3.         Setelah kajian dibuat,  hanya skim-skim perkhidmatan yang telah dikenalpasti dan berdasarkan kriteria-kriteria kesesuaian fungsi dan bidang tugas, keseragaman skim bagi fungsi yang setanding di pelbagai agensi, keperluan agensi dan peluang kemajuan kerjaya kepada anggota seperti di Lampiran A akan diteruskan pelaksanaannya.

 

4.         Bagi skim-skim perkhidmatan seperti di Lampiran A1, pelaksanaannya ditangguhkan dahulu bagi membolehkan jabatan ini menyelesaikan masalah-masalah perkhidmatan berkaitan dengan pelonggaran syarat, perjawatan dan penyemakan semula tugas dengan agensi-agensi yang berkaitan. 

 

 

SYARAT UMUM PERTUKARAN PELANTIKAN

DI BAWAH URUSAN INI

 

 

5.         Urusan tukar lantik ini hanya melibatkan anggota dalam skim perkhidmatan jumud yang memenuhi syarat-syarat berikut:-

 

(i)         anggota telah dilantik tetap dalam skim perkhidmatan jumud tiada peruntukan KPSL sebelum dan semasa SSB sehingga tarikh kuatkuasa urusan ini;

           

(ii)        anggota telah membuat opsyen untuk memilih SSB; dan

 

(iii)               anggota telah dilantik tetap dalam skim perkhidmatan ad hoc yang telah dijumudkan semasa SSB.

 

 

 

 

 

 

6.         Anggota yang menerima opsyen di bawah urusan ini hendaklah tertakluk kepada:-

 

(i)         bersedia dan sanggup untuk menerima tanggungjawab dalam skim perkhidmatan baru yang ditetapkan oleh Ketua Jabatan/Ketua Perkhidmatan berkenaan;       

 

(ii)        bersedia dan sanggup untuk menerima mana-mana penempatan yang ditentukan oleh Ketua Jabatan/Ketua Perkhidmatannya; dan

 

(iii)       berumur kurang dari 54 tahun pada tarikh kuatkuasa pertukaran pelantikan ini.

 

 

7.         Anggota yang tidak menerima opsyen dalam urusan ini kekal dalam perkhidmatan sekarang secara Khas Untuk Penyandang (KUP) sehingga meninggalkan perkhidmatan melalui peletakan jawatan, persaraan, penamatan perkhidmatan atau dibuang kerja.

 

 

KAEDAH PELAKSANAAN

 

 

8.         Bagi melaksanakan urusan ini, Ketua Jabatan, Pihak Berkuasa Melantik dan anggota yang terlibat hendaklah mengikut kaedah-kaedah seperti berikut:-
 
8.1       Ketua Jabatan

 

 

(i)         mengenalpasti anggota dalam skim perkhidmatan jumud yang ditetapkan di bawah urusan ini;

 

(ii)        memberi penjelasan secara terperinci syarat-syarat opsyen kepada anggota yang terlibat serta implikasi keputusan yang dibuat dengan mengambil kira syarat umum di perenggan 6;

 

(iii)       mengemukakan senarai anggota yang terlibat kepada Pihak Berkuasa Melantik yang berkenaan yang akan mengeluarkan surat tawaran melalui Ketua Jabatan;

 

(iv)       menyampaikan surat tawaran kepada anggota yang terlibat; 

 

(v)        memastikan anggota yang layak dalam skim-skim perkhidmatan di Lampiran A mengisi jawatan kosong yang sedia ada seperti yang ditetapkan di ruang 4 Lampiran A;

 

(vi)       merujuk kepada Bahagian Pembangunan Organisasi, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)  bagi mewujudkan jawatan secara KUP sekiranya tiada kekosongan jawatan seperti di perenggan 8.1 (v)  di agensi berkenaan dan  jawatan ini akan dimansuhkan apabila anggota meninggalkan perkhidmatan;

 

(vii)      menghubungi Bahagian Saraan, JPA untuk mendapatkan matriks gaji yang baru jika matriks gaji SSB tidak boleh menampung gaji anggota yang ditukar lantik di bawah urusan ini;

 

(viii)      menyesuaikan bidang tugas dan tanggungjawab anggota terlibat selaras dengan skim perkhidmatan yang ditawarkan;

 

(ix)       mengemaskini buku perkhidmatan anggota terlibat selaras dengan perubahan-perubahan berkaitan; dan

 

(x)        melaporkan kepada Bahagian Saraan, JPA  implikasi kewangan yang terlibat dalam melaksanakan urusan ini dengan menggunakan borang seperti di Lampiran B.

 

 

 

 

8.2       Pihak Berkuasa Melantik

 

(i)         mengeluarkan surat tawaran pertukaran pelantikan melalui pemberian opsyen kepada setiap anggota melalui Ketua Jabatan.   Contoh Surat Tawaran, Syarat Pertukaran Pelantikan Melalui Pemberian Opsyen serta Kertas Opsyen adalah seperti di Lampiran-Lampiran  C, C1 dan C2.

 

8.3       Anggota

 

(i)         membaca dengan teliti serta faham syarat-syarat opsyen sebelum membuat keputusan.  Sebarang opsyen yang dibuat adalah muktamad; dan

 

(ii)        membuat pilihan sendiri dalam tempoh 30 hari dari tarikh surat tawaran.  Sekiranya Ketua Jabatan tidak menerima keputusan opsyen selepas tempoh tersebut, anggota dianggap menolak opsyen dan akan kekal dalam perkhidmatan sekarang secara KUP sehingga mereka meninggalkan perkhidmatan. 

 

 

TARIKH KUATKUASA

 

 

9.         Tarikh kuatkuasa urusan pertukaran pelantikan ini adalah mulai 1 Oktober 2001.  

 

UMUM

 

10.       Mana-mana agensi yang mempunyai anggota dalam skim perkhidmatan jumud yang tiada KPSL yang tidak tersenarai dalam Lampiran-Lampiran  A dan A1, bolehlah mengemukakan maklumat-maklumat yang berkaitan kepada Bahagian Pembangunan Organisasi, JPA selewat-lewatnya pada 30 Jun 2002 dengan menggunakan format seperti di Lampiran-Lampiran D dan D1.  Walau bagaimanapun, urusan pertukaran pelantikan ini akan diproses secara berasingan.     

 

 

 

11.               Ketua-ketua Jabatan/Agensi serta semua Pihak Berkuasa Melantik adalah diminta mengambil tindakan yang sewajarnya bagi melaksanakan keputusan di atas.

 

PEMAKAIAN

 

12.              Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, Surat Pekeliling Perkhidmatan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

 

 

'' BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ''

 

 

( DATO’ SERI JAMALUDDIN BIN HJ. AHMAD DAMANHURI )

 Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam

 Malaysia

 

 

JABATAN PERKHIDMATAN AWAM

MALAYSIA

PUTRAJAYA

 
27  DISEMBER  2001

 

s.k.

Semua Ketua Setiausaha Kementerian

Semua Ketua Jabatan Persekutuan

Semua Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri

Semua Pihak Berkuasa Berkanun

Semua Pihak Berkuasa Tempatan

 

MUAT TURUN LAMPIRAN