
KERAJAAN SERI
PADUKA BAGINDA
MALAYSIA
SURAT PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 2 TAHUN 2002
PERTUKARAN
PELANTIKAN ANGGOTA DALAM SKIM
PERKHIDMATAN PEMBANTU TADBIR RENDAH KE SKIM
PERKHIDMATAN PEMBANTU KESIHATAN AWAM
DI PIHAKBERKUASA TEMPATAN
1. Surat Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan melaksanakan keputusan kerajaan supaya anggota dalam skim perkhidmatan Pembantu Tadbir Rendah Gred N11, N10 yang menjalankan fungsi-fungsi kesihatan awam di Pihakberkuasa Tempatan (PBT) ditukar lantik ke skim perkhidmatan Pembantu Kesihatan Awam Gred U14, U13 mulai 1 Oktober 2001.
LATAR BELAKANG
2. Perkhidmatan Pembantu Tadbir Rendah Gred N11, N10 dan Pembantu Kesihatan Awam Gred U14, U13 merupakan dua skim perkhidmatan yang masing-masing dipertanggungjawab dengan bidang tugas yang berbeza. Anggota dalam perkhidmatan
Pembantu Tadbir Rendah Gred N11, N10 menjalankan tugas-tugas perkhidmatan bandar manakala Pembantu Kesihatan Awam Gred U14, U13 pula melaksanakan tugas-tugas yang berkaitan dengan aspek kesihatan awam. Ringkasan senarai tugas bagi kedua-dua perkhidmatan adalah seperti di Lampiran A, A1, A2 dan A3.
3. Sungguhpun demikian, berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh kerajaan ke atas PBT didapati sebahagian Pembantu Tadbir Rendah Gred N11, N10 telah diarah menjalankan tugas-tugas Pembantu Kesihatan Awam Gred U14, U13. Amalan ini adalah tidak teratur dan perlu dibetulkan.
PELAKSANAAN
4. Semua PBT dikehendaki menyemak pelaksanaan tugas-tugas berkaitan dan mengenal pasti anggota masing-masing yang telah diarah dan masih menjalankan tugas-tugas yang tidak selaras dengan senarai tugas seperti yang telah ditetapkan.
OPSYEN
5. Pelaksanaan urusan ini dibuat melalui pemberian opsyen dan pilihan yang dibuat adalah muktamad. Anggota terlibat diberi tempoh 30 hari bermula dari tarikh surat tawaran untuk membuat opsyen sama ada menerima atau menolak tawaran opsyen ini. Anggota yang tidak membuat sebarang opsyen atau gagal mengembalikan borang opsyen dalam tempoh yang ditetapkan tanpa sebarang sebab yang munasabah atau membuat opsyen dengan bersyarat akan dianggap sebagai tidak bersetuju untuk ditukar lantik ke skim perkhidmatan Pembantu Kesihatan Awam Gred U14, U13. Mereka akan kekal dalam skim perkhidmatan sekarang secara Khas Untuk Penyandang (KUP).
6. Tawaran opsyen ini hanya diberi mengikut jumlah anggota lantikan tetap yang telah memilih ospyen Sistem Saraan Baru (SSB) serta sedang menjalankan tugas-tugas kesihatan awam seperti di Lampiran A2 dan A3 secara sepenuh masa. Anggota lantikan sementara/kontrak/sambilan dan anggota tetap yang menjalankan tugas-tugas Pembantu Kesihatan Awam secara berkala kerana sistem pergiliran kerja tidak terlibat dalam pemberian opsyen ini.
7. Anggota yang menerima opsyen dan belum menghadiri kursus asas Pembantu Kesihatan Awam, adalah dikehendaki menghadiri kursus tersebut sebagaimana yang ditetapkan oleh Ketua Jabatan. Kursus ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kemahiran anggota Pembantu Tadbir Rendah supaya dapat menjalankan tugas-tugas setanding dengan Pembantu Kesihatan Awam.
KAEDAH PELARASAN GAJI
8. Kaedah pelarasan gaji anggota dalam skim perkhidmatan Pembantu Tadbir Rendah Gred N11, N10 ke skim perkhidmatan Pembantu Kesihatan Awam Gred U14, U13 adalah seperti berikut:-
(a) Pembantu Tadbir Rendah Gred N11 dan N10 diselaraskan ke Pembantu Kesihatan Awam Gred U14 dan U13 masing-masing mulai 1 Oktober 2001;
(b) gaji anggota diselaraskan ke mata gaji tertinggi berhampiran mengikut Peringkat (P) gaji masing-masing dalam tanggagaji skim perkhidmatan baru sekiranya gaji dalam skim perkhidmatan lama adalah sama atau lebih tinggi daripada gaji permulaan dalam skim perkhidmatan baru seperti di Lampiran B dan B1; dan
(c) anggota yang berada di mata gaji maksimum dan mendapati gaji sekarang tidak dapat ditampung oleh mana-mana mata gaji dalam skim perkhidmatan baru maka sifir pemindahan gaji Khas Untuk Penyandang (KUP) hendaklah dipohon daripada Bahagian Saraan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
TARIKH PERGERAKAN GAJI
9. Tarikh Pergerakan Gaji (TPG) asal bagi anggota yang terlibat dalam urusan ini hendaklah diubah kepada satu TPG baru pada tahun berikutnya selepas pelaksanaan pelarasan gaji. TPG baru ialah 1 Oktober tahun berikutnya.
10. Anggota terlibat yang TPG asalnya adalah sama dengan tarikh kuat kuasa urusan ini hendaklah diberi pergerakan gaji tahunan mengikut keputusan Panel Penyelarasan Penilaian Prestasi dan Pergerakan Gaji (PPG) terlebih dahulu sebelum diberi pelarasan gaji dalam skim perkhidmatan yang baru. Contoh pelarasan gaji adalah seperti di Lampiran B2, B3, B4 dan B5.
KAEDAH PELAKSANAAN OPSYEN
11. Bagi melaksanakan urusan pertukaran pelantikan ini pihak Ketua Jabatan dan anggota yang terlibat diminta mematuhi kaedah yang ditetapkan seperti berikut:-
(a) Ketua Jabatan
(i) Pihak Berkuasa Melantik/Ketua Jabatan dikehendaki mengedarkan surat tawaran opsyen pertukaran pelantikan kepada anggota yang terlibat sahaja. Contoh surat tawaran opsyen, borang opsyen dan syarat-syarat pertukaran pelantikan adalah seperti di Lampiran C, C1 dan C2;
(ii) memberi penjelasan secara terperinci mengenai opsyen kepada anggota yang terlibat dan implikasi keputusan yang dibuat;
(iii) melaporkan kepada Bahagian Saraan, Jabatan Perkhidmatan Awam mengenai implikasi kewangan yang terlibat dalam melaksanakan urusan ini dengan menggunakan borang seperti di Lampiran D;
(iv) memaklumkan perubahan perjawatan kepada Bahagian Pembangunan Organisasi, Jabatan Perkhidmatan Awam bagi tujuan pindaan senarai perjawatan secara tukar ganti antara jawatan Pembantu Tadbir Rendah Gred N11, N10 kepada Pembantu Kesihatan Awam Gred U14, U13; dan
(v) memastikan pelaksanaan opsyen ini tidak melibatkan pertambahan jawatan yang baru.
(b) Anggota
(i) membaca dengan teliti serta faham mengenai opsyen sebelum membuat keputusan. Sebarang opsyen yang dibuat adalah muktamad;
(ii) melengkapkan dua (2) salinan borang opsyen, iaitu satu salinan untuk disimpan oleh pihak pengurusan PBT dan satu salinan untuk anggota berkenaan; dan
(iii) membuat pilihan dalam tempoh 30 hari mulai tarikh surat tawaran.
TARIKH KUAT KUASA
12. Surat Pekeliling Perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai 1 Oktober 2001.
PEMAKAIAN
13. Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, Surat Pekeliling Perkhidmatan ini terpakai kepada Pihakberkuasa Tempatan sahaja.
“BERKHIDMAT UNTUK
NEGARA”
( DATO’ SERI
JAMALUDDIN BIN HAJI AHMAD DAMANHURI )
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Malaysia.
JABATAN PERKHIDMATAN AWAM
MALAYSIA
PUTRAJAYA
31 Januari 2002
Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Semua Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri
Semua Datuk Bandar/Yang DiPertua Pihakberkuasa Tempatan