Soalan Lazim Yang Selalu Dibangkitkan Dalam Mesyuarat MBJ
Skim Perkhidmatan & Perjawatan
-
Bolehkah Pembantu Am Pejabat (PAP) Gred N1 yang telah lulus Peperiksaan PTK dan telah berkhidmat melebihi 10 tahun dinaikkan pangkat ke Gred N4 secara “time based“?
Tidak bolehkerana urusan kenaikan pangkat sesuatu jawatan adalah berdasarkan
kepada syarat-syarat kenaikan pangkat yang telah ditetapkan dalam skim perkhidmatan seperti di Lampiran A, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 14 Tahun 2006. -
Apakah jawatan- jawatan kenaikan pangkat secara lantikan (KPSL) yang boleh dipohon oleh Pembantu Am Pejabat ?
Terdapat lapan (8) jawatan memperuntukkan kenaikan pangkat secara lantikan(KPSL) kepada Pembantu Am Pejabat seperti di Lampiran A1, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 14 Tahun 2006.
-
Apakah yang dimaksudkan dengan Perkhidmatan Jumud?
Buku Istilah Perkhidmatan Awam yang boleh dilayari di http://www.jpa.gov.my/daftar/d1.htm merujuk Perkhidmatan Jumud sebagai Perkhidmatan yang tidak diperlukan lagi dan semua perlantikan baru diberhentikan kecuali pengisian jawatan kenaikan pangkat yang dikosongkan oleh penyandang dalam perkhidmatan yang dijumudkan.
-
Bolehkah seseorang pegawai awam dipinjamkan ke perkhidmatan awam Negeri, pihak berkuasa berkanun, pihak berkuasa tempatan atau mana-mana organisasi di dalam atau di luar Malaysia?
Boleh, seperti di Bahagian II, perenggan 12 Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2005 dan perenggan 4, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2007.
-
Jabatan manakah yang perlu dirujuk sekiranya agensi ada keraguan dalam mana-mana skim perkhidmatan mengenai maksud kelulusan yang setaraf?
Agensi boleh merujuk kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam seperti di perenggan 16, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan
Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2005.Catatan: Perkara ini hendaklah disalurkan ke Bahagian Pembangunan Modal Insan, JPA.
-
Apakah perkara yang perlu dinyatakan dalam iklan kekosongan jawatan untuk tujuan pengambilan ?
Perkara-perkara yang perlu dinyatakan seperti di Bahagian III, perenggan 14 (2), Peraturan-peraturan Pegawai Awam ( Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan ) 2005.
-
Bolehkah seseorang pegawai yang telah ditamatkan perkhidmatan atau dibuang kerja dilantik semula ke dalam perkhidmatan awam?
Boleh dengan kebenaran khas Suruhanjaya seperti di perenggan 9 Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2005.





