Skip to main content

Kemudahan Tambang

Soalan Lazim

Pengisytiharan Wilayah Menetap Ibu Bapa

1. Bagaimanakah pengisytiharan wilayah menetap ibu bapa pegawai dibuat?
  1. Pegawai perlu mengisytiharkan wilayah menetap ibu bapa melalui borang pengisytiharan yang ditetapkan dalam Ceraian yang berkuat kuasa. Pengisytiharan ini hanya sekali dalam tempoh perkhidmatan dan direkodkan. Pegawai hanya layak menggunakan kemudahan ini setelah mengisytiharkan wilayah menetap ibu bapa. Pengisytiharan yang dibuat ini kekal walaupun setelah ibu bapa meninggal dunia.
  2. Sekiranya ibu bapa telah meninggal dunia, pegawai boleh membuat pengisytiharan wilayah menetap ibu bapa bagi tujuan kemudahan tambang antara wilayah ini berdasarkan wilayah tempat meninggal ibu bapa.
2. Bilakah pegawai perlu membuat pengisytiharan wilayah menetap ibu bapa?

Pada bila-bila masa sebelum pegawai memohon penggunaan kemudahan tambang.

3. Sekiranya ibu bapa tinggal di dua (2) wilayah yang berbeza, adakah pegawai boleh mengisytiharkan kedua-dua wilayah tersebut?

Boleh. Pegawai boleh mengisytiharkan kedua-dua wilayah tersebut melalui satu (1) pengisytiharan dalam borang yang sama.

4. Adakah pegawai perlu membuat pengisytiharan wilayah menetap ibu bapa walaupun telah membuat pengisytiharan wilayah asal?

Pegawai masih perlu mengisytiharkan wilayah menetap ibu bapa untuk membolehkan pegawai menggunakan kemudahan ini. Pengisytiharan wilayah asal kekal digunakan bagi tujuan pembayaran elaun pegawai bertukar wilayah.

5. Apakah dokumen yang perlu dikemukakan bagi pengisytiharan wilayah menetap ibu bapa?

Pengisytiharan wilayah menetap ibu bapa perlu disertakan dengan pembuktian dokumen sokongan berkaitan seperti bil utiliti/ surat pengesahan Penghulu/ Ketua Kampung/ Akuan Bersumpah atau apa-apa dokumen yang bersesuaian. Salinan sijil kematian perlu dikemukakan sekiranya ibu bapa telah meninggal dunia.

Tempoh Peralihan

6. Memandangkan SSPA berkuat kuasa pada 1 Disember 2024, bagaimanakah penerima TMWA semasa ingin menggunakan tambang tersebut pada 1 Disember hingga 31 Disember 2024?
Bagi penerima TMWA yang belum menggunakan kemudahan tersebut bagi kelayakan tahun perkhidmatan sehingga 31 Disember 2024, pegawai boleh terus menggunakan kemudahan TMWA berdasarkan syarat kelayakan sedia ada sehingga 31 Disember 2024.

Kemudahan Tambang Ziarah Wilayah (Tzw)

A.) Penentuan Kelayakan Kali Pertama

1. Pegawai telah berkhidmat di wilayah berbeza dengan wilayah menetap ibu bapa melebihi enam (6) bulan sebelum tarikh kuat kuasa SSPA. Adakah pegawai perlu berkhidmat selama enam (6) bulan terlebih dahulu untuk membolehkan pegawai menggunakan TZW untuk kali pertama?

Pegawai tidak perlu menunggu tempoh enam (6) bulan dan layak menggunakan TZW pada bila-bila masa sekali dalam tempoh 1 tahun kalendar mulai 1 Januari 2025 tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

3. Pegawai berkhidmat di Labuan dan ibu bapa pegawai turut menetap di Labuan. Pegawai kemudiannya ditempatkan bertugas di Putrajaya pada 1 Mac 2025 dan mengisytiharkan wilayah menetap ibu bapa (Labuan). Bagaimana kelayakan penggunaan TZW bagi pegawai ini?

Pegawai hendaklah berkhidmat selama enam (6) bulan selepas tarikh lapor diri terlebih dahulu di wilayah berkhidmat bagi membolehkan pegawai menggunakan TZW pada kali pertama.

4. Pegawai telah melapor diri berkhidmat di Jabatan Kesihatan Negeri Sabah pada 1 Mac 2025. Pegawai telah mengisytiharkan Semenanjung Malaysia sebagai wilayah menetap ibu bapa. Pada 1 Jun 2026, pegawai telah bertukar ke Jabatan Pendidikan WP Labuan. Adakah pegawai masih tertakluk kepada syarat berkhidmat selama enam (6) bulan terlebih dahulu untuk penggunaan TZW semasa di WP Labuan?

Pegawai tidak tertakluk kepada tempoh enam (6) bulan tersebut kerana pegawai telah memenuhi tempoh berkhidmat selama enam (6) bulan selepas tarikh lapor diri semasa berkhidmat di Jabatan Kesihatan Negeri Sabah yang membolehkan pegawai menggunakan kemudahan ini untuk kali pertama.

5. Pegawai merupakan lantikan baharu yang melapor diri pada 1 Mac 2025 dan layak menikmati TZW setelah mengisytiharkan wilayah menetap ibu bapanya. Setelah menggenapkan tempoh enam (6) bulan berkhidmat, adakah pegawai layak dipertimbangkan TZW memandangkan pegawai belum mempunyai markah penilaian prestasi tahunan?

Pegawai layak dipertimbangkan dan dalam situasi ini, pengecualian syarat markah penilaian prestasi diberikan kepada pegawai lantikan baharu yang dilantik pada 1 Januari hingga 30 Jun. Manakala bagi pegawai lantikan 1 Julai hingga 31 Disember, syarat markah penilaian prestasi adalah terpakai.

B.) Kelayakan Pegawai

7. Pegawai berkhidmat di Putrajaya dan ibu bapa sedang menetap di Sabah. Pegawai telah mengisytiharkan Sabah sebagai wilayah menetap ibu bapanya. Ibu bapa pegawai kemudiannya berpindah dan menetap di Labuan. Adakah pegawai layak diberikan TZW untuk melawat ibu bapa di Labuan?

Pegawai layak diberikan TZW untuk melawat ibu bapa di Labuan tertakluk kepada kadar bersamaan atau lebih rendah daripada kadar tambang ke Sabah. Sekiranya kadar tambang adalah lebih tinggi, perbezaannya hendaklah ditanggung oleh pegawai.

9. Pegawai berkhidmat di Sandakan, Sabah dan mengisytiharkan Sarawak sebagai wilayah menetap ibu bapa. Pegawai kemudiannya telah kembali ke Kuching, Sarawak. Walau bagaimanapun, sebulan selepasnya, ibu bapa pegawai telah berpindah dan menetap di Labuan. Bagaimanakah kelayakan TZW untuk pegawai?

PSemasa pegawai berkhidmat di Sabah, pegawai layak TZW. Apabila pegawai kembali ke wilayah menetap yang diisytiharkan (Sarawak), pegawai hilang kelayakan TZW walaupun ibu bapanya telah berpindah dan menetap di wilayah lain.

10 Pegawai telah mengisytiharkan ibu dan bapa menetap secara berasingan di wilayah berbeza. Dalam situasi ini, pegawai berkhidmat di Sarawak, ibu menetap di Sabah dan bapa menetap di Labuan. Bagaimanakah penentuan kelayakan pegawai?

Pegawai boleh memilih sama ada untuk menggunakan TZW untuk melawat ibu atau bapa di wilayah yang diisytiharkan terhad sekali kelayakan dalam tempoh satu (1) tahun kalendar.

11. Pegawai berkhidmat di Semenanjung Malaysia sejak dari mula dilantik ke dalam perkhidmatan awam pada tahun 2006. Ibu bapa pegawai telah meninggal dunia masing-masing pada tahun 2001 dan 2010 dan dikebumikan di kampung pegawai iaitu di Sabah. Bagaimanakah penentuan kelayakan pegawai untuk diberi TZW?

Pegawai perlu mengisytiharkan wilayah menetap ibu bapa iaitu wilayah tempat jenazah ibu bapa disempurnakan bagi membolehkan pegawai menikmati kemudahan TZW. Pegawai dan keluarga layak diberi kemudahan TZW untuk melawat wilayah menetap yang diisytiharkan.

12. Ibu bapa pegawai telah meninggal dunia dan dikebumikan di dua wilayah yang berlainan dan kedua-dua wilayah berkenaan adalah berbeza dengan wilayah berkhidmat pegawai. Adakah pegawai boleh memilih destinasi TZW ke mana-mana wilayah?

Pegawai perlu mengisytiharkan wilayah menetap ibu bapa iaitu wilayah tempat jenazah ibu bapa disempurnakan bagi membolehkan pegawai menikmati kemudahan TZW. Pegawai boleh memilih mana-mana wilayah bagi tujuan destinasi tambang yang diperlukan untuk melawat wilayah tersebut terhad mengikut kelayakan sekali dalam tempoh satu (1) tahun kalendar.

13. Pegawai berkhidmat di Semenanjung Malaysia dan mengisytiharkan Sabah sebagai wilayah menetap ibu bapa. Ibu bapa pegawai telah berpindah ke Sarawak dan meninggal dunia di Sarawak serta jenazah disempurnakan di Sarawak. Adakah pegawai layak diberikan kemudahan TZW ke Sarawak?

Pegawai layak diberikan kemudahan TZW ke Sabah. Walau bagaimanapun pegawai turut layak diberikan kemudahan TZW ke Sarawak tertakluk kepada kadar bersamaan atau lebih rendah daripada kadar tambang ke Sabah. Sekiranya kadar tambang adalah lebih tinggi, perbezaannya hendaklah ditanggung oleh pegawai.

15. Pegawai berkhidmat di Semenanjung Malaysia dan mengisytiharkan Sabah sebagai wilayah menetap bapanya. Semasa bapa melawat pegawai di wilayah berkhidmat, bapa pegawai telah meninggal dunia dan jenazahnya dikebumikan di Semenanjung Malaysia. Adakah pegawai layak diberikan kemudahan TZW untuk melawat wilayah menetap yang diisytiharkan? Sekiranya pegawai kemudiannya bertukar ke wilayah lain, adakah pegawai layak TZW?

Tidak layak kerana pegawai tidak memenuhi syarat di perenggan 3(b) iaitu pegawai hendaklah berkhidmat di wilayah berbeza dengan wilayah menetap ibu bapa. Dalam keadaan ibu bapa telah meninggal dunia, wilayah menetap adalah merujuk kepada wilayah tempat jenazah ibu bapa disempurnakan.

Sekiranya pegawai kemudiannya bertukar ke wilayah lain selain dari wilayah menetap yang diisytiharkan (Sabah), maka pegawai akan kembali layak diberikan kemudahan TZW dengan tertakluk kepada kadar tambang adalah bersamaan atau lebih rendah daripada kadar tambang ke Sabah.

C.) Kelayakan Keluarga (Tidak Mengikut Pegawai Di Wilayah Berkhidmat)

16. Pegawai berkhidmat di wilayah yang berbeza dengan wilayah menetap ibu bapa yang diisytiharkan. Pasangan dan anak-anak pegawai tidak mengikut pegawai bertukar dan menetap di wilayah lain yang juga berbeza dengan wilayah menetap ibu bapa. Adakah pegawai layak untuk melawat pasangan dan anak-anak atau pasangan dan anak-anak boleh diberikan TZW untuk melawat pegawai?

Pegawai layak diberikan kemudahan TZW untuk melawat pasangan dan anak-anak di wilayah menetap mereka tertakluk kadar tambangnya bersamaan atau lebih rendah daripada kadar tambang ke wilayah menetap ibu bapa yang diisytiharkan.

Selain itu, pasangan dan anak-anak pegawai juga layak diberikan kemudahan TZW untuk melawat pegawai di wilayah berkhidmat tertakluk kadar tambangnya bersamaan atau lebih rendah daripada kadar tambang dari wilayah menetap ibu bapa yang diisytiharkan

17. Pegawai berkhidmat di wilayah yang sama dengan wilayah menetap ibu bapa yang diisytiharkan. Pasangan dan anak-anak pegawai tidak mengikut pegawai bertukar dan menetap di wilayah lain yang juga berbeza dengan wilayah menetap ibu bapa. Adakah pegawai layak untuk melawat pasangan dan anak-anak atau pasangan dan anak-anak boleh diberi TZW untuk melawat pegawai?

Pegawai tidak layak diberikan kemudahan TZW kerana tidak memenuhi syarat iaitu pegawai hendaklah berkhidmat di wilayah berbeza dengan wilayah menetap ibu bapa. Pasangan dan anak-anak pegawai juga tidak layak diberikan kemudahan TZW untuk melawat pegawai di wilayah berkhidmat.

19. Ibu bapa pegawai menetap di wilayah berbeza dengan wilayah berkhidmat pegawai secara berasingan (pegawai berkhidmat di Sarawak, ibu menetap di Sabah dan bapa menetap di Labuan). Bagaimanakah cara penentuan kadar tambang bagi tujuan pegawai menggunakan kemudahan TZW untuk melawat pasangan dan ahli keluarga di wilayah berbeza?

Pegawai mengisytiharkan Sabah sebagai wilayah menetap ibu dan Labuan sebagai wilayah menetap bapa. Oleh itu, pegawai layak diberi kemudahan ini. Dengan kelayakan itu, pegawai boleh disediakan kemudahan TZW untuk melawat ahli keluarga yang menetap di wilayah selain wilayah menetap ibu bapa tertakluk kadar tambang adalah bersamaan atau lebih rendah dari kadar tambang ke wilayah menetap ibu bapa yang diisytiharkan.

Dalam keadaan di mana ibu bapa menetap di wilayah berbeza, penentuan kadar tambang bagi tujuan penggunaan untuk melawat pasangan dan anak-anak atau sebaliknya adalah mengikut wilayah mana yang paling rendah dan menjimatkan Kerajaan.

D.)Pegawai Hilang Kelayakan

20. Bagaimanakah kaedah penentuan kelayakan pegawai yang diluluskan Cuti Tanpa Gaji (CTG)?
  1. Tempoh CTG tidak melebihi 180 hari dalam satu tahun kalendar
    Tempoh CTG: 1 April 2025 – 28 September 2025 (180 hari)
    Tarikh penggunaan tambang terakhir: 15 – 18 Februari 2025
    Kelayakan seterusnya: Januari – Disember 2026
    Catatan: Kelayakan kemudahan TZW tidak terjejas kerana tempoh CTG kurang dari 180 hari dalam satu tahun kalendar.
  2. Tempoh CTG melebihi 180 hari dalam satu tahun kalendar
    Tempoh CTG: 1 April 2025 – 18 Oktober 2025 (200 hari) Tarikh penggunaan tambang terakhir: 15 – 18 Februari 2025
    Kelayakan seterusnya: Januari – Disember 2027
    Catatan: Pegawai telah menggunakan kemudahan lebih awal sebelum diluluskan CTG melebihi 180 hari. Pegawai tidak layak menggunakan kemudahan TZW untuk tahun berikutnya (Januari-Disember 2026).
  3. Tempoh CTG melebihi 180 hari dalam satu tahun kalendar dan melangkaui tahun berikutnya
    Tempoh CTG: 1 November 2025 – 9 Julai 2026 (250 hari)
    TTarikh penggunaan tambang terakhir: 15 – 18 Februari 2025
    TKelayakan seterusnya: Januari – Disember 2027
    TCatatan: Pegawai hilang kelayakan TZW pada tahun pegawai bercuti tanpa gaji melebihi 180 hari (1 Januari – 9 Julai 2026).
  4. Tempoh CTG melebihi 180 hari dalam satu tahun kalendar dan melangkaui tahun berikutnya.
    Tempoh CTG: 1 Oktober 2025 – 13 Februari 2027 (500 hari)
    Kelayakan: Pegawai layak menggunakan TZW selepas enam (6) bulan melapor diri bertugas iaitu mulai 14 Ogos 2027 sehingga 31 Disember 2027.
    Catatan: Bagi pegawai yang diluluskan CTG/ Cuti Separuh Gaji melebihi 12 bulan, pegawai perlu berkhidmat selama enam (6) bulan selepas tarikh melapor diri di wilayah berkhidmat.
21. Pegawai merupakan penerima kemudahan ini dan pada tahun 2026 pegawai dikenakan hukuman tatatertib. Bagaimanakah penentuan kelayakan kemudahan TZW bagi pegawai pada tahun tersebut?
  1. Pegawai telah menggunakan kemudahan TZW sebelum tarikh pegawai dikenakan hukuman tatatertib.
    Pegawai tidak layak menggunakan kemudahan TZW pada tahun kalendar berikutnya
  2. Pegawai belum menggunakan kemudahan TZW sebelum tarikh pegawai dikenakan hukuman tatatertib.
    Pegawai tidak layak menggunakan kemudahan TZW pada tahun kalendar tersebut.
22. Pegawai ingin memohon menggunakan kemudahan TZW pada 1 Februari 2026. Walau bagaimanapun markah penilaian prestasi pegawai bagi tahun 2025 masih belum disahkan oleh PPSM. Adakah pegawai layak diluluskan penggunaan TZW pada tarikh tersebut?

Pegawai layak diluluskan permohonan penggunaan TZW pada tarikh tersebut. Walau bagaimanapun sekiranya markah penilaian prestasi pegawai yang disahkan oleh PPSM di bawah 75%, pegawai akanhilang kelayakan penggunaan TZW ini pada tahun berikutnya.

E.) Permohonan Kemudahan

23. Adakah pegawai perlu mengemukakan pembuktian wilayah menetap ibu bapa setiap kali permohonan dikemukakan?
Pegawai perlu mengemukakan pembuktian alamat semasa wilayah menetap ibu bapa setiap kali membuat permohonan.
24. Bagaimanakah perkiraan kelayakan bagi pegawai yang sedang menerima kemudahan tambang mengunjungi wilayah asal (TMWA) dan memenuhi kelayakan kemudahan TZW?

Tempoh kelayakan TMWA : 1 Ogos 2024 – 31 Julai 2025
Penggunaan TMWA kali terakhir : 15 Oktober 2024
Kelayakan TZW : 1 Januari – 31 Disember 2025
25. Bagaimanakah pengiraan tahun kalendar bagi menentukan kelayakan kemudahan TZW?

Pegawai yang layak diberikan kemudahan TZW boleh memohon untuk menggunakan kemudahan ini padanbila-bila masa sekali (1) dalam tempoh Januari hingga Disember tahun tersebut.

26. Bagaimanakah kaedah penentuan kelayakan pegawai selepas tamat cuti belajar?

Pegawai yang diluluskan cuti belajar jangka masa panjang, pegawai perlu berkhidmatselama enam (6) bulan selepas tarikh melapor diri di wilayah berkhidmat terlebih dahulu untuk menggunakan kemudahan TZW.

27. Adakah pegawai, pasangan dan anak-anak boleh menggunakan kemudahan TZW untuk melawat ibu bapa pegawai di wilayah mereka menetap secara berasingan?

Pegawai semasa membuat permohonan penggunaan kemudahan TZW perlu menyatakan tarikh perjalanan pegawai, pasangan dan anak-anak dan tarikh-tarikh berkenaan boleh berbeza antara satu sama lain mengikut kelayakan dan tempoh yang ditetapkan.

28. Sekiranya pegawai mempunyai lebih daripada seorang isteri, adakah Kerajaan menanggung perbelanjaan tambang bagi isteri-isteri dan anak-anak pegawai?

Bagi pegawai yang mempunyai lebih daripada seorang isteri, Kerajaan memperuntukkan kemudahan tambang bagiseorang isteri sahaja. Manakala semua anak di bawah tanggungan pegawai layak mendapat kemudahan TZW.

29. Pegawai telah membuat pembelian tiket sendiri [tanpa Waran Perjalanan Udara Awam (WPUA)] bagi tujuan penggunaan kemudahan TZW dan kemudiannya membuat tuntutan kepada jabatan. Adakah caj baggage 30kg, preferred seat dan makanan dalam pesawat turut layak ditanggung oleh Kerajaan?

Penggunaan kaedah selain dari WPUA dalam urusan pembelian tiket kapal terbang dibenarkan oleh Kerajaan melalui Pekeliling Perbendaharaan WP 2.5. Antara kaedah yang dibenarkan ialah melalui pembelian sendiri oleh pegawai dan kemudiannya mengemukakan tuntutan bayaran balik kepada jabatan. Perenggan 5, WP 2.5 telah menyenaraikan tindakan dan kos yang boleh dituntut oleh pegawai dan tuntutan-tuntutan lain yang boleh diluluskan oleh Pegawai Pengawal berdasarkan kewajaran dan keperluan.

30. Apakah yang dimaksudkan dengan klausa “sekiranya kadar tambang adalah lebih tinggi, perbezaannya hendaklah ditanggung oleh pegawai”?

Klausa berkenaan bertujuan untuk memaklumkan ketetapan sekiranya kadar tambang bagi pegawai atau ahli keluarga pegawai lebih tinggi dari kadar tambang yang ditetapkan, pegawai perlu menanggung perbezaan kadar tersebut. Kaedah pembayaran perbezaan kadar tersebut adalah mengikut ketetapan peraturan kewangan yang berkuat kuasa.

31. Siapakah yang boleh menentukan status anak-anak yang kurang upaya pemikiran atau atau hilang upaya jasmani secara kekal dan tidak berupaya menanggung dirinya sendiri?

Bagi maksud menentukan status anak yang kurang upaya pemikiran atau hilang upaya jasmani secara kekal dan tidak berupaya menanggung dirinya sendiri, pengesahan daripada Pegawai Perubatan hendaklah diperolehi.

F.) Syarat Kelayakan

24. Adakah pegawai yang memilih untuk tidak mengisi borang penilaian prestasi bagi tahun 2024 layak untuk dipertimbangkan kemudahan TZW pada tahun berikutnya dengan menggunakan markah LNPT tahun 2023?
Tidak layak kerana ketiadaan markah LNPT tahun 2024 disebabkan pegawai memilih sendiri untuk tidak mengisi borang LNPT pada tahun 2024.

G.) Kelayakan Pegawai

25. Pegawai telah memohon untuk menggunakan kemudahan TZW bagi kelayakan tahun 2025 iaitu pada 24 Disember 2025 (pergi) dan 3 Januari 2026 (kembali ke wilayah berkhidmat). Adakah permohonan ini telah menjejaskan kelayakan pegawai untuk tahun 2026?
Kemudahan TZW merangkumi perjalanan pergi dan balik pegawai dari wilayah menetap ibu bapa yang diisytiharkan kembali ke wilayah berkhidmat. Dalam situasi tersebut, perjalanan balik pegawai wilayah berkhidmat pada 3 Januari 2026 tidak menjejaskan kelayakan pegawai bagi tahun 2026.

H.) Penetapan Kadar

27. Bagi penggunaan laluan darat untuk kemudahan TZW, adakah kelayakan kadar tambang itu merujuk kepada kadar tambang pengangkutan awam atau kadar Elaun Perjalanan Kenderaan?
Penentuan kadar kemudahan TZW adalah bersamaan dengan kadar tambang pengangkutan awam bagi perjalanan laluan pergi balik yang paling dekat dari wilayah berkhidmat ke wilayah menetap ibu bapa yang diisytiharkan.

Bagi pegawai yang menggunakan kenderaan sendiri, pegawai hanya boleh membuat tuntutan mengikut perbatuan berdasarkan kadar Elaun Perjalanan Kenderaan seperti yang ditetapkan melalui Pekeliling Perbendaharaan WP1.4 tertakluk kepada kadarnya adalah sama atau lebih rendah dari kadar kemudahan TZW yang telah ditentukan di atas.

Kemudahan Tambang Ihsan Wilayah

2. Pegawai berkhidmat di Putrajaya dan ibu bapa pegawai menetap di Kota Kinabalu, Sabah. Pegawai telah mengisytiharkan Sabah sebagai wilayah menetap ibu bapanya. Ibu mentua pegawai yang menetap di Labuan telah meninggal dunia. Bolehkah pegawai menggunakan kemudahan TIW untuk menziarahi jenazah ibu mentuanya di Labuan?

Kemudahan TIW diberikan kepada pegawai untuk menziarahi ibu, bapa, ibu mentua dan bapa mentua yang sakit tenat atau meninggal dunia sebanyak satu (1) kali bagi setiap individu yang dinyatakan sepanjang tempoh perkhidmatan pegawai.

Dalam hal ini, pegawai layak diberikan kemudahan tambang kapal terbang pergi dan balik dari tempat tinggal pegawai di wilayah berkhidmat sehingga ke ibu negeri atau bandar utama di wilayah menetap ibu bapa atau mana-mana wilayah lain tertakluk kadar tambang adalah bersamaan atau lebih rendah dari kadar tambang ke wilayah menetap ibu bapa yang diisytiharkan. Sekiranya kadar tambang adalah lebih tinggi, perbezaannya hendaklah ditanggung oleh pegawai.

3. Pegawai berkhidmat di Putrajaya dan ibu bapa pegawai menetap di Johor Bahru. Pegawai telah mengisytiharkan Semenanjung Malaysia sebagai wilayah menetap ibu bapanya. Bapa pegawai telah berkunjung ke Kuching, Sarawak untuk melawat sanak saudara dan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak. Bolehkah pegawai menggunakan kemudahan TIW untuk menziarahi jenazah bapanya di Kuching, Sarawak?

Kelayakan kemudahan TIW diberikan kepada pegawai yang berkhidmat di wilayah yang berbeza dengan wilayah menetap ibu bapa yang diisytiharkan. Dalam hal ini, pegawai tidak layak diberikan kemudahan TIW kerana wilayah berkhidmat pegawai adalah sama dengan wilayah menetap ibu bapa.

Kemudahan Tambang Mengiringi Jenazah Dan Tambang Mengurus Pemindahan Barang Antara Wilayah

1. Sekiranya salah seorang daripada ahli keluarga pegawai meninggal dunia di wilayah berkhidmat. Bagaimanakah kelayakan kemudahan Tambang Mengiringi Jenazah dan Tambang Mengurus Pemindahan Barang Antara Wilayah yang boleh diberikan kepada pegawai dan ahli keluarga yang lain?

Penentuan kelayakan kemudahan Tambang Mengiringi Jenazah dan Tambang Mengurus Pemindahan Barang Antara Wilayah hendaklah dibuat terlebih dahulu dengan memastikan bahawa pegawai berkenaan berkhidmat di wilayah yang berbeza dengan wilayah menetap ibu bapanya yang diisytiharkan.

Berdasarkan kelayakan tersebut, sekiranya ahli keluarga pegawai meninggal dunia di wilayah berkhidmat, pegawai dan ahli keluarga diberi kemudahan tambang kapal terbang untuk mengiringi jenazah ke tempat pengebumian atau penyempurnaan mayat terhad dalam Malaysia sahaja. Kemudahan tambang kapal terbang juga diberi kepada pegawai dan ahli keluarga untuk pulang semula ke wilayah berkhidmat selepas selesai urusan pengebumian jenazah.

2. Pegawai berkhidmat di Kota Kinabalu, Sabah dan ibu bapa pegawai menetap di Melaka. Pegawai telah mengisytiharkan Semenanjung Malaysia sebagai wilayah menetap ibu bapanya. Sekiranya pegawai meninggal dunia di wilayah berkhidmat, bagaimanakah pelaksanaan kemudahan tambang untuk menguruskan perpindahan barang pegawai?

Kemudahan Tambang Mengurus Pemindahan Barang pergi dan balik boleh diberikan kepada pasangan atau seorang ahli keluarga atau waris untuk menguruskan pemindahan barang pegawai dari wilayah berkhidmat ke wilayah menetap ibu bapa pegawai yang diisytiharkan atau mana-mana wilayah lain tertakluk kadar tambang adalah bersamaan atau lebih rendah dari kadar tambang ke wilayah menetap ibu bapa pegawai yang diisytiharkan.