Ahad, 16 Jun 2019
12 Syawwal 1440
A- A A+

Terma dan Takrifan

 

TERMA

TAKRIFAN

1.

Anggota

Ahli Lembaga Kenaikan Pangkat atau Lembaga Rayuan Kenaikan Pangkat mengikut peraturan yang berkuat kuasa bagi perkhidmatan yang berkenaan

2.

Jawatan Kumpulan

Jawatan yang diwujudkan bagi menampung keperluan perkhidmatan pegawai berkenaan sementara menunggu penempatan yang sesuai

3.

Jawatan Sementara

Jawatan yang diwujudkan untuk melaksanakan sesuatu tugas tertentu bagi suatu tempoh yang tertentu di mana peruntukan emolumennya ditetapkan di bawah Anggaran Belanja Mengurus dan tersenarai dalam senarai perjawatan sebagai jawatan sementara

4.

Jawatan Simpanan Latihan

Jawatan yang diwujudkan bagi menampung keperluan perkhidmatan pegawai yang bercuti kerana berkursus / belajar melebihi setahun

5.

Jawatan Terbuka

Jawatan tetap dan grednya telah ditentukan yang boleh diisi oleh pegawai yang sesuai dari mana-mana skim dan / atau perkhidmatan dan tidak boleh digunakan bagi tujuan kenaikan pangkat

6.

Kekananan

Susunan kedudukan pegawai berdasarkan tarikh lantikan bagi pegawai di gred lantikan atau tarikh kenaikan pangkat terakhir bagi pegawai yang berada di gred kenaikan pangkat dalam skim perkhidmatan yang sama.
Pegawai akan hilang kekananan atas sebab faktor-faktor berikut:

  1. pelanjutan tempoh percubaan dengan denda;
  2. cuti separuh gaji dan cuti tanpa gaji kecuali cuti belajar yang diluluskan oleh pihak berkuasa berkenaan; dan / atau
  3. pegawai yang pernah dilantik ke jawatan dalam skim perkhidmatan yang lain tetapi kemudiannya kembali ke skim perkhidmatan terdahulunya.

7.

Kenaikan Pangkat

Peningkatan secara hakiki dari satu gred ke suatu gred yang lebih tinggi dalam perkhidmatan dan skim perkhidmatan yang sama dengan kelulusan Lembaga Kenaikan Pangkat

8.

Kesilapan Fakta

Kesilapan maklumat mengenai perkhidmatan seseorang pegawai yang pada hakikatnya pegawai tidak atau masih belum memenuhi syarat yang sedang berkuat kuasa untuk dia layak dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat semasa Lembaga mempertimbangkan kenaikan pangkat pegawai itu

9.

Ketua Jabatan

Seseorang pegawai yang mengetuai sesuatu jabatan atau mana-mana pegawai yang diwakilkan kuasa secara bertulis oleh Ketua Jabatan untuk bertindak bagi pihaknya

10.

Ketua Perkhidmatan

Seseorang pegawai yang mengetuai sesuatu perkhidmatan atau mana-mana pegawai yang ditentukan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam

11.

Lembaga

Lembaga Kenaikan Pangkat yang ditubuhkan di bawah mana-mana peraturan yang berkaitan

12.

Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam (LKPPA)

Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam yang ditubuhkan di bawah Peraturan 3, dan hendaklah termasuk suatu Lembaga Kenaikan Pangkat tambahan yang ditubuhkan di bawah Peraturan 11, [P.U.(A) 75 Tahun 2010]

Keanggotaan adalah berdasarkan Jadual Keanggotaan Kenaikan Pangkat Mengikut Peraturan-peraturan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam, 2010 [P.U(A) 75 Tahun 2010]

13.

Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP)

Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran yang ditubuhkan di bawah Peraturan 3, dan hendaklah termasuk suatu Lembaga Kenaikan Pangkat tambahan yang ditubuhkan menurut kuasa-kuasa yang diberi oleh Peraturan 3, [P.U.(A)24 Tahun 2010]


Keanggotaan adalah berdasarkan Jadual Keanggotaan Kenaikan Pangkat Mengikut Peraturan-peraturan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran, 2010 [P.U(A) 24 Tahun 2010]

14.

Lembaga Rayuan

Lembaga Rayuan Kenaikan Pangkat yang ditubuhkan di bawah mana-mana peraturan yang berkaitan

15.

Pegawai

Semua kategori pegawai yang sedang berkhidmat yang dilantik oleh Suruhanjaya secara tetap, semantara atau tetap

16.

Pemangkuan

Pelaksanaan tugas oleh seseorang pegawai secara sepenuh masa, suatu jawatan lain yang lebih tinggi grednya daripada gred hakiki pegawai itu dalam skim perkhidmatan dan perkhidmatan yang sama dengan kelulusan Lembaga Kenaikan Pangkat

17.

Urus setia

Mana-mana bahagian, cawangan, seksyen atau unit di sesebuah kementerian atau jabatan yang bertanggungjawab menguruskan urusan pemangkuan, kenaikan pangkat dan rayuan kenaikan pangkat

18.

Jabatan

Sesuatu Kementerian, Jabatan Persekutuan di peringkat persekutuan, wilayah, negeri, atau daerah dalam persekutuan, di luar negara dan mana-mana entiti lain dalam Perkhidmatan Awam yang ditentukan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam

19.

Urus Setia Naik Pangkat

Pegawai yang dipertanggungjawabkan melaksanakan urusan kenaikan pangkat bagi sesuatu Kementerian

20.

Urus Setia Mesyuarat LKPPA / LKPPP

Pegawai yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan Mesyuarat LKPPA / LKPPP

21.

Kertas Pertimbangan

Kertas yang disediakan oleh Urus Setia Naik Pangkat untuk pertimbangan Mesyuarat Pra LKPPA / LKPPP dan Mesyuarat LKPPA / LKPPP

22.

Surat Makluman

Surat untuk memberitahu keputusan LKPPA / LKPPP mengenai pemangkuan / pegawai kepada Ketua Jabatan

23.

Surat Penyiaran

Surat untuk memberitahu keputusan LKPPA / LKPPP mengenai kenaikan pangkat pegawai. Surat ini dihantar kepada pegawai melalui Ketua Jabatan

 

Syarat-syarat umum Pemangkuan / Kenaikan Pangkat
    1. disahkan dalam perkhidmatan;
    2. mencapai tahap prestasi yang ditetapkan;
    3. diperaku oleh Ketua Jabatan / Ketua Perkhidmatan;
    4. bebas dari hukuman tatatertib;
    5. telah mengisytiharkan harta;
    6. lulus tapisan keutuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM);
    7. bebas daripada disenaraikan sebagai Peminjam Pendidikan Tegar daripada institusi pinjaman pendidikan; dan
    8. syarat-syarat lain yang ditetapkan oleh Lembaga.

Jawatan Untuk Pemangkuan

Jawatan tetap yang boleh diisi bagi tujuan pemangkuan adalah seperti berikut:

  1. jawatan yang diwujudkan sama ada melalui Anggaran Belanja Mengurus (ABM) atau waran perjawatan;
  2. jawatan yang kosong secara hakiki disebabkan oleh penyandangnya dinaikkan pangkat, ditukar tetap, bersara, meninggal dunia, meletak jawatan, dibuang kerja, ditamatkan perkhidmatan, dilantik ke skim perkhidmatan lain atau bertukar;
  3. jawatan yang kosong secara operasi melebihi enam (6) bulan disebabkan penyandang dalam peminjaman, pertukaran sementara, pemangkuan, cuti bergaji penuh, cuti separuh gaji dan cuti tanpa gaji; dan
  4. jawatan yang skim perkhidmatan tidak mensyaratkan kekosongan seperti skim perkhidmatan Pegawai Penyelidik dan Pegawai Perkhidmatan Pengajian Tinggi.
Selain jawatan tetap, jawatan sementara boleh diisi bagi tujuan pemangkuan. Jawatan terbuka, jawatan simpanan latihan dan jawatan kumpulan tidak boleh digunakan untuk tujuan pemangkuan.


Jawatan Untuk Kenaikan Pangkat

Jawatan tetap yang boleh diisi bagi tujuan kenaikan pangkat hendaklah memenuhi kriteria berikut:

  1. jawatan yang ditetapkan skim perkhidmatannya;
  2. jawatan yang diwujudkan sama ada melalui Anggaran Belanja Mengurus (ABM) atau waran perjawatan;
  3. jawatan yang kosong secara hakiki disebabkan oleh penyandangnya dinaikkan pangkat, ditukar tetap, bersara, meninggal dunia, meletak jawatan, dibuang kerja, ditamatkan perkhidmatan atau dilantik ke skim perkhidmatan lain; dan
  4. jawatan yang skim perkhidmatannya tidak mensyaratkan kekosongan antaranya skim perkhidmatan Pegawai Penyelidik dan Pegawai Perkhidmatan Pengajian Tinggi.
Selain jawatan tetap yang kosong secara hakiki, jawatan yang kosong secara operasi disebabkan penyandang dalam peminjaman, pertukaran sementara, pemangkuan, cuti bergaji penuh, cuti separuh gaji dan cuti tanpa gaji tidak boleh diisi bagi tujuan kenaikan pangkat.

Jawatan sementara, jawatan terbuka, jawatan kumpulan dan jawatan simpanan latihan  tidak boleh digunakan bagi tujuan kenaikan pangkat.

Pegawai Yang Layak Dipertimbangkan Pemangkuan

Pegawai yang telah memenuhi syarat umum layak dipertimbangkan pemangkuan termasuk:

    1. pegawai dalam peminjaman atau pertukaran sementara;
    2. pegawai sedang bercuti belajar bergaji penuh, separuh gaji atau tanpa gaji;
    3. pegawai yang ditohmah tetapi tidak dapat dibuktikan; dan
    4. pegawai yang sedang dalam prosiding tatatertib. Walau bagaimanapun, kes pegawai hendaklah dimaklumkan kepada Lembaga.
 
Pegawai Yang Tidak Layak Dipertimbangkan Pemangkuan

Pegawai berikut tidak layak dipertimbangkan pemangkuan:

    1. tidak memenuhi syarat umum; atau
    2. telah dikenakan hukuman tatatertib.
 
Pegawai Yang Layak Dipertimbangkan Kenaikan Pangkat

Pegawai yang telah memenuhi syarat umum layak dipertimbangkan kenaikan pangkat termasuk pegawai berikut:

    1. pegawai dalam peminjaman atau pertukaran sementara;
    2. pegawai sedang bercuti belajar bergaji penuh, separuh gaji atau tanpa gaji;
    3. pegawai yang ditohmah tetapi tidak dapat dibuktikan;
    4. pegawai yang sedang dalam prosiding tatatertib. Walau bagaimanapun, kes pegawai hendaklah dimaklumkan kepada Lembaga; dan
    5. pegawai yang telah memangku (jika disyaratkan oleh Lembaga) termasuk pegawai yang telah bersara atau meninggal dunia.
 
Pegawai Yang Tidak Layak Dipertimbangkan Kenaikan Pangkat

Pegawai berikut adalah tidak layak dipertimbangkan kenaikan pangkat :

    1. pegawai tidak memenuhi syarat umum;
    2. pegawai bukan lantikan tetap;
    3. pegawai yang memangku dan kemudiannya dibersarakan demi kepentingan awam atau demi kepentingan perkhidmatan awam; dan
    4. pegawai yang telah dikenakan hukuman tatatertib.
 
Pegawai Yang Telah Dikenakan Hukuman Tatatertib

Tempoh tidak layak dipertimbangkan pemangkuan adalah berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 3 Tahun 2009, Dasar Kenaikan Pangkat Bagi Pegawai Yang Sedang Disiasat dan Telah Dikenakan Hukuman Tatatertib seperti berikut:

Bil. Jenis Hukuman Tempoh Tidak Layak Dipertimbangkan Pemangkuan
(a) Amaran 12 bulan
(b) Denda 18 bulan
(c) Lucut Hak Emolumen 24 bulan
(d) Tangguh Pergerakan Gaji 30 bulan
(e) Turun Gaji 36 bulan
(f) Turun Pangkat 48 bulan

Tempoh kuat kuasa tidak layak dipertimbangkan pemangkuan ialah mulai tarikh hukuman tatatertib dijatuhkan.
 

Perlembagaan Persekutuan – Bahagian X:
  1. Perkara 132 – Perkhidmatan-Perkhidmatan Awam;
  2. Perkara 139 – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam; dan
  3. Perkara 144 – Fungsi Suruhanjaya Perkhidmatan.
Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat Dan Penamatan Perkhidmatan) 2012 [P.U.(A) 1/2012];

Peraturan-Peraturan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam 2010 [P.U.(A)75/2010];

Peraturan-Peraturan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran 2010 [P.U.(A)24/2010];


Pekeliling-Pekeliling Perkhidmatan (PP) yang berkaitan:

Pekeliling Perkhidmatan Bil. 10 Tahun 2017 – Kenaikan Pangkat Secara Time-Based Berasaskan Kecemerlangan Bagi Pegawai Kumpulan Pelaksana

Pekeliling Perkhidmatan Bil. 7 Tahun 2010 – Panduan Pengurusan Pemangkuan dan Kenaikan Pangkat dalam Perkhidmatan Awam;

Pekeliling Perkhidmatan Bil. 3 Tahun 2009 – Dasar Kenaikan Pangkat Bagi Pegawai Yang Sedang Disiasat Dan Telah Dikenakan Hukuman Tatatertib;

Pekeliling Perkhidmatan Bil. 14 Tahun 2007 – Kaedah Penetapan Gaji Permulaan Dan Pelarasan Gaji Kenaikan Pangkat; dan

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2006 – Panduan Mewujudkan Search Committee dan Proses Pelaksanaan Pelan Penggantian (Succession Planning).


Surat Pekeliling Perkhidmatan (SPP) yang berkaitan:
Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 4 Tahun 2009 – Kesan Ke Atas Perkhidmatan Bagi Pegawai Yang Diluluskan Cuti Bergaji Penuh, Cuti Separuh Gaji dan Cuti Tanpa Gaji;

Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 3 Tahun 2009 – Borang Laporan Penilaian Prestasi Khas Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam; dan

Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 9 Tahun 2008 – Kaedah Pelarasan Gaji Kenaikan Pangkat Dengan Elaun Pemangkuan.


Surat Edaran (SE) yang berkaitan:
JPA.BK(S)134/2/8 Jld 4(3) bertarikh 3 September 2013 – Pelaksanaan Penamatan Pemangkuan bagi pegawai Yang Sedang Memangku Yang Dikenakan Hukuman Tatatertib

JPA.BK(S)134/4/8-3 Jld 2(71) bertarikh 19 Ogos 2013 – Tempoh Minimum Pemangkuan Sebelum Dipertimbangkan Kenaikan Pangkat;

JPA.BK(S) 134/2/8 Jld. 2(7) bertarikh 10 Mei 2012 - Kaedah Pengiraan Elaun Pemangkuan Berikutan Pelaksanaan Jadual Gaji Minimum Maksimum (JGMM) di bawah Sistem Saraan Malaysia;

JPA.BK(S) 134/2/8 (9) bertarikh 17 Februari 2011 – Pengecualian Syarat Kursus Kenegaraan Di Tahap Kecekapan 1 (TK1) Dan Urusan Kenaikan Pangkat Selepas Pemansuhan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK);

JPA(S)NP.134/8/1 Jld.23 (13) bertarikh 18 Oktober 2010 – Urusan Kenaikan Pangkat Secara Khas Untuk Penyandang (KUP) Di Badan Berkuasa Berkanun Dan Pihak Berkuasa Tempatan;

JPA(S)NP.134/8/1 Jld.21 (55) bertarikh 05 Ogos 2010 – Arahan Penempatan Dan Melaksanakan Tugas Jawatan Lebih Tinggi Tanpa Kelulusan Lembaga Kenaikan Pangkat;

JPA(S)NP.134/1 Klt.21 (42) bertarikh 15 Jun 2010 – Pengecualian Syarat Lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) Untuk Urusan Pemangkuan Pegawai Penyelidik;

JPA(S)K 256/6/27 Klt. 2/s.k 2(4) bertarikh 03 Julai 2009 – Penetapan Wajaran Markah Prestasi Bagi Urusan Pemangkuan / Kenaikan Pangkat Pegawai Perkhidmatan Awam; dan

JPA(S)NP.134/KLT.16/S.K(3) bertarikh 24 Mac 2008 – Panduan Kriteria Penilaian Penyelidik Bagi Pegawai Penyelidik.