Khamis, 21 November 2019
24 Rabi'ul-Awwal 1441
A- A A+

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk kepada artikel bertajuk "Mohon Kerajaan Naik Pangkat Pembantu Makmal" bertarikh 30 Ogos 2012 yang disiarkan di dalam akhbar Sinar Harian.

Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sebagai Pihak Berkuasa Melantik boleh melantik Pembantu Makmal Gred C17 yang telah mengikuti kursus peralihan untuk mengisi kekosongan jawatan Penolong Pegawai Sains Gred C27 di IPTA. Kursus peralihan yang dilaksanakan oleh IPTA bertujuan menyediakan laluan kepada Pembantu Makmal Gred C17 meningkatkan kerjaya mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Namun, pelantikan Pembantu Makmal Gred C17 yang telah mengikuti kursus peralihan kepada Penolong Pegawai Sains Gred C27 adalah tidak secara automatik kerana ianya tertakluk kepada kekosongan jawatan di sesebuah IPTA.

Sehingga 31 Ogos 2012, jumlah keseluruhan perjawatan Pembantu Makmal Gred C17/C22 di 20 IPTA adalah 1,296 jawatan. Manakala jumlah perjawatan Penolong Pegawai Sains Gred C27/C32 adalah 750 jawatan. Jawatan Penolong Pegawai Sains Gred C27 diwujudkan mengikut keperluan berdasarkan skop fungsi tugas makmal di sesuatu fakulti atau pusat di IPTA sama ada sesuai atau wajar dilaksanakan oleh Pembantu Makmal Gred C17 atau Penolong Pegawai Sains Gred C27.

Justeru, Jabatan ini berpandangan, IPTA dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu mengenal pasti jawatan Pembantu Makmal Gred C17 yang boleh ditukar ganti kepada Penolong Pegawai Sains Gred C27 berdasarkan skop dan kompleksiti tugas yang sesuai dan setaraf dengan peningkatan gred jawatan. Dalam masa yang sama, KPT dan IPTA juga perlu merancang dengan teliti keperluan untuk melaksanakan kursus peralihan kerana pelantikan Pembantu Makmal Gred C17 ke jawatan Penolong Pegawai Sains Gred C27 tertakluk kepada kekosongan jawatan.

 

Corporate Communications Unit
Public Service Department Malaysia
Putrajaya
14 September 2012