Ahad, 16 Jun 2019
12 Syawwal 1440
A- A A+

Maklumbalas Akhbar

PUTRAJAYA, 19 Disember 2014 - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ingin memaklumkan berita dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 19 Disember 2014 (Jumaat) bertajuk “60 Peratus CEO Badan Berkanun kurang faham tugas” adalah kurang tepat, mengelirukan dan menimbulkan persepsi yang negatif.

Dalam kenyataan tersebut, Pengarah Bahagian Pembangunan Organisasi, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Dato’ Norzam bin Mohd Nor menafikan kenyataan mengenai 60 peratus CEO badan berkanun kurang faham akan tugas mereka, sebaliknya hanya menasihatkan supaya semua CEO atau Ketua Jabatan untuk sentiasa meneliti dan mengkaji semula fungsi serta hala tuju sebenar agensi agar sentiasa relevan dengan kehendak stakeholder dan perkembangan semasa.

Mengenai kenyataan bahawa terdapat 738 badan berkanun adalah tidak tepat di mana jumlah tersebut adalah jumlah keseluruhan agensi-agensi sektor awam merangkumi Perkhidmatan Awam Persekutuan, Perkhidmatan Awam Negeri, Badan Berkanun Persekutuan, Badan Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Di samping itu, kenyataan yang melaporkan sebagai syarikat dalam perenggan lima (5) rencana berkenaan adalah sepatutnya dilaporkan sebagai badan berkanun.

Diharapkan melalui kenyataan ini akan memberikan penjelasan yang lebih tepat atas kesilapan laporan yang dikeluarkan oleh akhbar terbabit.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Pasukan Komunikasi
Jabatan Perkhidmatan Awam
Tel: 03-88853706/3146
Emel : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

 

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk kepada surat pembaca Ikmal Hasyim, Subang Jaya, bertajuk "Kaji Pencen" bertarikh 5 Mac 2013 yang disiarkan di dalam akhbar Harian Metro

Kerajaan sentiasa prihatin dan mengambil berat kebajikan pesara perkhidmatan awam. Justeru itu, Kerajaan sentiasa menambah baik skim pencen sektor awam dari semasa ke semasa.

Antara penambahbaikan yang telah dilaksanakan adalah kenaikan had tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 360 bulan bagi maksud penghitungan pencen (berkuat kuasa mulai 1 Januari 2009) dan peningkatan amaun pencen terendah dari RM720 kepada RM820 bagi pegawai yang mempunyai tempoh perkhidmatan sekurang-kurangnya 25 tahun (berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012).

Selain itu, mulai tahun 2013 Kerajaan telah bersetuju untuk memberikan penyelarasan pencen setiap tahun dengan kadar kenaikan 2% bagi membantu pesara menangani masalah peningkatan kos sara hidup. Di samping itu, pesara dan tanggungan yang layak juga dapat menikmati kemudahan perubatan percuma di hospital-hospital kerajaan.

Sebarang pertanyaan sila hubungi Bahagian Pasca Perkhidmatan di talian 03-8885 4475/4476/4477/4478.

 

Corporate Communications Unit
Public Service Department Malaysia
Putrajaya
07 March 2013

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk kepada surat pembaca Bakal Pesara Kecewa, Selangor yang disiarkan di dalam akhbar Berita Harian bertarikh 6 Disember 2012.

Terlebih dahulu JPA berasa kesal dan memohon maaf atas kesulitan yang telah dihadapi oleh pengadu. Diakui bahawa terdapat sejumlah panggilan daripada pemanggil yang tidak dapat dijawab memandangkan kadar panggilan masuk yang tinggi. Pada masa yang sama, JPA sentiasa mencari penyelesaian kepada masalah panggilan masuk yang tidak berjawab agar semua pertanyaan dapat dilayani dalam masa yang ditetapkan.

Selain itu, JPA juga terus berusaha untuk memperbanyakkan lagi saluran perhubungan alternatif seperti MySMS 15888, Portal Pencen di http://www.jpapencen.gov.my dan 1Malaysia One Call Centre di talian 03-8000 8000 agar semua pertanyaan, aduan dan cadangan dapat diterima dan diambil tindakan sewajarnya.

JPA bersedia menerima cadangan-cadangan lain yang dapat membantu meningkatkan tahap sistem penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan khususnya kepada pesara.


Download Paper Cutting: Feedback Statement: "Operator Sibuk Pemanggil Tak Dilayan"

Corporate Communications Unit
Public Service Department Malaysia
Putrajaya
19 December 2012

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk kepada surat pembaca Waris Penjawat Awam, Pahang Darul Makmur bertajuk 'Pencen Pesara Sedikit Wajar Diseragamkan' bertarikh 3 Januari 2013 dan Ismail, Muar Johor bertajuk 'Kaji Semula Pencen Bekas Penjawat Awam' bertarikh 12 Januari 2013 yang disiarkan di dalam akhbar Berita Harian.

JPA sentiasa mengambil berat akan kebajikan para pesara Perkhidmatan Awam. Walau bagaimanapun buat masa ini, bagi pesara yang jumlah tahun perkhidmatannya kurang daripada 25 tahun (termasuk mereka yang terlibat dengan Dasar Pengkorporatan/Pengasingan/Penswastaan), pihak JPA masih belum ada sebarang cadangan ke arah kadar pencen yang seragam.

Tidak dinafikan bahawa terdapat pesara yang terlibat dengan penswastaan dan diserapkan ke Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) atau sebagainya, mereka menerima amaun pencen yang agak kecil memandangkan tempoh perkhidmatan (yang boleh diambil kira) yang singkat dan gaji akhir sebelum penyerapan ke dalam syarikat adalah rendah.

Bagi pesara yang terlibat dalam Dasar Pengkorporatan/Pengasingan/Penswastaan, sebenarnya mereka telah memperoleh dua faedah, iaitu faedah persaraan (pencen, ganjaran dan faedah perubatan) berdasarkan kepada tempoh perkhidmatan dengan Kerajaan serta faedah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berdasarkan kepada tempoh perkhidmatan dengan syarikat. Bagi pesara Kerajaan yang biasa, mereka memperoleh hanya satu faedah persaraan (pencen, ganjaran, wang tunai gantian cuti rehat dan faedah perubatan) berdasarkan kepada tempoh perkhidmatan dengan Kerajaan. Demi memelihara prinsip kesamarataan kepada semua pesara, Kerajaan belum bercadang untuk meminda undang-undang berkenaan.

Sungguhpun demikian, golongan pesara ini sentiasa diambil kira apabila ada semakan gaji ataupun penyelarasan yang dilaksanakan untuk kemudahan para pesara. Selain daripada kadar pencen, golongan pesara ini menikmati kemudahan lain yang sama sepertimana yang diperolehi oleh pesara yang berkhidmat 25 tahun atau lebih.

Sebarang pertanyaan sila hubungi:

Jabatan Perkhidmatan Awam
Bahagian Pasca Perkhidmatan
Blok C2, Kompleks C
62510 Putrajaya

Tel.: 03-8885 4475 / 4476 / 4477 / 4478
Faks: 03-8888 4028

 

Corporate Communications Unit
Public Service Department Malaysia
Putrajaya
16 January 2013

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk kepada surat pembaca dengan nama gelaran "Waris Penjawat Awam", Pahang Darul Makmur bertajuk "Skim Jawatan Statik Perlu Dinilai Semula", "Juruteknik Tiada Peluang Naik Pangkat" dan "Kakitangan Sokongan Ada Ijazah Di Anak Tiri" yang disiarkan di dalam akhbar Berita Harian bertarikh 28 September 2012, 6 November 2012 dan 28 November 2012. Terlebih dahulu Jabatan ini merakamkan penghargaan terima kasih kepada pengadu di atas pandangan dan cadangan yang dikemukakan dalam usaha menambah baik skim perkhidmatan yang berkuat kuasa dalam Perkhidmatan Awam.

Merujuk kepada isu penyandang masih di gred lantikan walaupun telah 20 tahun berkhidmat, sukacita dimaklumkan Kerajaan pada 14 Mei 2009 telah bersetuju supaya Pegawai Kumpulan Pelaksana yang berkhidmat 15 tahun dan lebih, telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan serta masih berada di gred lantikan dalam skim perkhidmatan dan perkhidmatan semasa, boleh dipertimbang untuk kenaikan pangkat sebagaimana yang ditetapkan dalam skim perkhidmatannya secara Khas Untuk Penyandang (KUP) berkuat kuasa mulai 1 Julai 2009. Pegawai yang masih belum menerima faedah daripada urusan tersebut boleh merujuk kepada bahagian sumber manusia jabatan/kementerian masing-masing untuk tindakan sewajarnya.

Merujuk kepada persoalan mengenai perbezaan gred di antara skim perkhidmatan Juruteknik Perancang Bandar dan Desa serta skim perkhidmatan Penolong Pegawai Tanah, perkara ini berlaku disebabkan keperluan perkhidmatan berkenaan serta struktur perkhidmatan yang berbeza. Manakala berhubung isu skim perkhidmatan Pembantu Setiausaha Pejabat/Setiausaha Pejabat (PSP/SP), dimaklumkan kelayakan masuk ke perkhidmatan ini bagi lantikan di Gred N17 adalah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala bagi lantikan di Gred N27 adalah di peringkat diploma. Bagi penyandang yang memiliki kelayakan lebih tinggi seperti ijazah sarjana muda, laluan kemajuan kerjaya ke gred lebih tinggi di bawah Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P & P) telah disediakan di bawah perbekalan Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) ke skim perkhidmatan Pegawai Tadbir Gred N41.

Bagi skim perkhidmatan Juru X-Ray pula, ia merupakan skim perkhidmatan bersepadu yang memperuntuk lantikan di peringkat diploma dan ijazah. Juru X-Ray di Gred U29 atau U32 yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam skim perkhidmatan tersebut boleh memohon kepada Ketua Perkhidmatan untuk dipertimbang bagi kenaikan pangkat ke Gred U42.

Kerajaan sentiasa menggalakkan penjawat awam menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam usaha melahirkan pegawai yang berpengetahuan dan mampu menguasai pelbagai kemahiran serta melaksanakan pelbagai tugas (multi-skilling, multi-tasking). Dalam usaha Kerajaan membentuk perkhidmatan awam yang kejat, pewujudan jawatan baru bagi menampung penyandang Kumpulan Pelaksana dengan kelayakan yang lebih tinggi tidak dapat dilaksanakan kecuali bagi perkhidmatan pendidikan di bawah Program Pensiswazahan Guru (PPG) melalui proses tukar ganti jawatan. Namun demikian, mana-mana penyandang yang memiliki kelayakan lebih tinggi dan berhasrat dilantik ke lain-lain skim perkhidmatan Kumpulan P & P bersesuaian dengan kelayakan yang dimiliki boleh mengemukakan permohonan melalui prosedur yang telah ditetapkan.

JPA memberi perhatian ke atas isu yang dibangkitkan dan kajian ke atas penambahbaikan skim perkhidmatan sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa berdasarkan kepada keperluan perkhidmatan berkenaan. Dalam hal ini, sebarang perubahan sesuatu skim perkhidmatan perlu diperhalusi kesannya kepada lain-lain skim perkhidmatan yang berkaitan dan dibincangkan dengan Ketua Perkhidmatan, pihak yang berkenaan serta tertakluk kepada persetujuan Kerajaan.


Download Paper Cutting: Feedback Statement: "Kakitangan Sokongan Ada Ijazah Di Anak Tiri"

Corporate Communications Unit
Public Service Department Malaysia
Putrajaya
17 December 2012